Tak Salah..eyh, Apa Salahnya..
Saya tidak menyalahkan Pak Lah ketika mengumumkan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dikekalkan, kerana Pak Lah bukannya dilahirkan dalam tahun 80-an. Pak Lah tidak memahami apa cabaran yang dihadapi generasi muda zaman sekarang. Apa rintangan yang perlu dilalui untuk menjadi insan berguna di masa akan datang. Pak Lah bandingkan dirinya yang pernah melalui proses pembelajaran bahasa Inggeris ketika bertugas di Kementerian Luar dengan generasi sekarang yang sibuk dengan internet dan PS3 yang baru dijual di pasaran. Di sekolah, Sains dan Matematik yang sepatutnya menjadi subjek yang menarik, subjek yang mampu membuahkan sifat ingin tahu di kalangan pelajar tentang sains dan alam sekeliling, akhirnya terkubur begitu sahaja kerana tidak mampu diselarikan dengan kelemahan menguasai bahasa Inggeris. Kalau sekolah suatu tempat membosankan, di luar sekolah masih banyak aktiviti yang boleh dilakukan..
Sewaktu zaman persekolahan, sehinggalah ke hari ini, kebolehan kami adik beradik tidak sama. Adik saya mempunyai bakat dalam bahasa Inggeris dan kerana bakat yang ada, alhamdulillah dia mampu melanjutkan pelajaran dalam bidang pendidikan (TESL-Teaching English as a Second Language). Namun dia punya satu kelemahan yang nyata, lemah kira-kira. Dan saya, sekarang dalam tahun akhir Kejuruteraan Mekanikal, kelemahan yang nyata adalah bahasa Inggeris. Maka kerana itulah saya terdampar di bumi sakura ini, kerana bumi sakura menyediakan ilmu dan teknologi yang tinggi tanpa memerlukan anda hebat berbahasa Inggeris. Bayangkanlah jika ketika ini saya dan adik masih di bangku persekolahan, tidak dapat saya bayangkan apa yang akan terjadi kepada masa depan kami. Yang pastinya kami akan menerima keputusan SPM yang teruk kerana kegagalan menguasai kedua-duanya sekaligus. Bukan kerana kami tidak mahu menerima cabaran Pak Lah yang menyeru supaya bumiputera bangkit menyahut cabaran, cuma kami mempunyai bakat yang berbeza.
Tapi apa-apa hal pun, Pak Lah tetap tak bersalah. Menteri-menteri kabinet pun tak bersalah dalam hal ini kerana Pak Lah dan para menteri tak kenal keluarga saya, walaupun saya kenal Pak Lah dan para menteri sekalian. Lagipun, saya sudah tamat zaman persekolahan, SPM saya pun dah 5 tahun berlalu.
** Terlambat untuk mengkritik kerana adik saya yang ke4 bakal menempuh SPM 20hb nanti. Semoga adik saya merupakan salah seorang bumiputera yang menyahut cabaran Pak Lah + berjaya menguasai Sains/Matematik dan bahasa Inggeris sekaligus. InsyaAllah.
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home