Rindu Rasulullah
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan(keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat. (al-Ahzab:21)”
Rasulullah SAW bukan sekadar pembawa risalah Allah, malah Rasulullah itu adalah sebaik-baik manusia dimuka bumi ini. Daripada segala tingkah laku, pakaian, pertuturan sehinggalah kepada dakwah baginda, tergambar betapa Rasulullah SAW itu adalah contoh terbaik kepada seluruh umat Islam.
Pernah saya terbaca satu entri dari blog seseorang yang saya tidak kenali penulisnya, katanya, apa itu manusia? Lantas, jawapan yang diberi adalah, manusia itu khalifah yang dungu, lebih dungu daripada haiwan. Kenapa, kerana Allah telah memberi amanah kepada manusia untuk dilaksanakan, namun manusia mengabaikannya. ”Wahai orang yang berselimut, bangun malamlah kamu barang sedikit, separuh malam atau kurang darinya atau lebih darinya dan bacalah al-Quran dengan tartil(perlahan dan mengamati). Sesungguhnya Kami akan menurunkan ke atas kamu perkataan (arahan) yang berat. (al-Muzammil:1-5)” Allah tidak menciptakan manusia semata-mata untuk beribadah kepadaNya sahaja. Ada tugas yang digalas disetiap bahu seorang Muslim itu. Lagi soalannya, apakah itu manusia? Jawapannya, manusia itu adalah makhluk Allah yang sentiasa bersedia dihumbankan ke dalam api neraka. Akal yang dianugerahkan tidak diguna pakai, kemudian berlaku zalim kepada diri sendiri. Maka api neraka sahajalah kesudahannya. |
Mungkin kalian terfikir, apakah kaitannya persoalan `apakah manusia itu` dengan tajuk yang saya persoalkan di awal entri ini. Rasulullah diturunkan untuk menjadi petunjuk, menjadi role model, dan sebagainya. Namun, manusia yang juga membawa maksud akal(kerana haiwan dan tumbuhan tidak dianugerahkan akal), tidak pernah mahu berfikir sebelum memilih idola hidup mereka.
Dalam dakwah baginda, ternyata risalah yang dibawa lebih mementingkan bukti-bukti yang lojik, bukannya mukjizat. Meski masih ada mukjizat yang ditunjukkan, orang Arab jahiliah dulu tidak beriman kerana mukjizat itu. Baginda memberi hujah dengan bukti yang lojik dan yang boleh diterima akal. Makanya, risalah itu, sejarah itu, boleh dijadikan panduan dan akan berulang kembali. Tetapi dengan hanya kita mencontohi Baginda Rasul dan uhlul bait serta sahabat-sahabat baginda.
Satu perkara yang kita pasti, tarbiyyah Islamiyyah itu amatlah penting untuk menyedarkan masyarakat, mendidik dan membina kembali peribadi seperti Ali bin Abi Talib, Abu Bakar, Aishah, dan lain-lain. Kerana itu seerah Rasulullah SAW itu penting untuk difahami, dihayati dan diikuti oleh mereka yang beriman kepada Allah dan RasulNya. Malah ia menjadi wajib kepada umat yang ingin mengembalikan kegemilangan Islam dan mencintai saudara-saudaranya.
Daripada Abu Hurairah r.a., nabi SAW bersabda: “Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehinggalah ia lebih mencintaiku daripada bapanya, anaknya dan manusia seluruhnya.” (Bukhari dan Muslim)
Wallahualam.
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home