Uncovered meat and a cat pt.II
Sudah kalian baca Utusan Malaysia ruangan Dalam Negeri edisi 16 Februari 2007 berkenaan artikel Perkenal semula cawat besi elak rogol?
Sungguh tajuk itu berjaya menarik minat saya untuk membaca apakah isi kandungannya. Dan pastinya memang satu artikel yang menarik. Kaum Hawa tanpa mengira usia kini terdedah kepada sikap Adam yang tidak dapat mengawal nafsu mereka, lalu terjadilah kes rogol. Oowh..seramnya saya menyebut perkataan itu. Mungkin kaum Adam tidak memahami bagaimanakah perasaan yang saya rasa ketika menyebut perkataan `rogol`, apatah lagi untuk saya membayangkan apakah kesan daripada tindakan sesetengah golongan yang hanya tahu memuaskan nafsu sendiri kepada kaum Hawa.
Namun pastinya akan ada suara yang membidas mengatakan, sekiranya mereka tahu menjaga akhlak dan sopan dalam berpakaian, pastinya masalah ini mampu dibendung sedikit, jika tidak secara keseluruhan. Lalu, kenapa masih ada golongan kanak-kanak dan orang tua dan juga mereka yang sopan dalam berpakaian menjadi mangsa? Susahnya masalah ini...
Penyelesaiannya, kaum Hawa perlu kembali memakai cawat besi, sebagai satu cara untuk membendung masalah ini. Kalau kita bersikap acuh tak acuh dalam menyelesaikan permasalahan ini, bagaimana untuk kita melahirkan umat lelaki yang berkualiti yang bakal memimpin negara.
Kaum Hawa memakai cawat besi sekalipun, belum tentu Adam akan menjadi umat yang berkualiti. Ya, mungkin masalah rogol akan berkurangan, namun matlamat sebenar tidak akan tercapai dengan hanya menyembunyikan daging di bawah saji. Kucing yang bijak akan cuba membuka tudung saji yang ada, atau mencari daging lain di rumah jiran sebelah. (Kisah daging dan kucing : sila rujuk entri pertama saya, uncovered meat and a cat) . Maka, akan wujudkah pemimpin yang berkualiti?
Seharusnya, masalah utamanya adalah dengan mengajar si kucing, daging apa yang patut dimakan. Mengajar mereka dengan hanya mencari makanan yang halal, melentur dan mendidik sejak si kucing masih kecil. Peribadi yang dibentuk dari kecil akan menghasilkan kucing jantan yang berguna juga menghasilkan baka yang baik. Oops.. maaf kiranya ada yang berkecil hati dengan bahasa saya. Tidak bermaksud untuk melabelkan Hawa dan Adam dengan gelaran-gelaran sebegitu. Sekadar memberi contoh dan melepaskan rasa ketidakpuasan hati saya sahaja.
Sekiranya pemakaian cawat besi mampu menyelamatkan maruah dan keselamatan kaum Hawa, insyaAllah pastinya tidak akan ada bantahan dari golongan ini. Namun, masalah tidak akan selesai dengan hanya mencegah dan menghalang sahaja. Seharusnya apa yang patut dilentur, dibentuk, itulah yang seharusnya didahulukan.
Hanya Dia yang lebih tahu.
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home