Rasa malas menguasai diri. Malas menghadiri perjumpaan yang dijadualkan berlangsung di International Student Hall. Semasa adik – panggilan yang selalu saya gunakan kepada seorang junior saya, menghantar pengumuman di Yahoo Messenger semalam, saya agak teruja untuk menghadiri perjumpaan tersebut. Perjumpaan untuk membincangkan tentang jamuan hari raya yang akan diadakan di International Student Hall pada hari Sabtu yang akan datang. Syawal tahun ini 1427 Hijrah merupakan Syawal ketiga saya di bumi sakura ini. juga mungkin menjadi Syawal terakhir saya di sini membuatkan saya lagi teruja untuk mejadikan majlis tahun ini yang terbaik berbanding tahun-tahun sebelumnya. Persiapan perlu ada untuk pembahagian tugasan. Siapa yang perlu memasak rendang, siapa yang perlu memasak soto dan sebagainya. Tambahan pula kami berniat untuk membuat sate sebagai menu utama tahun ini. Pastinya kerja yang ada akan semakin bertambah. Siapa yang mahu mencucuk sate, buat kuah kacang, nasi himpit dan sebagainya. Lantas apabila memikirkan semua itu, saya bergegas menyiapkan diri sekadarnya untuk menghadiri perjumpaan yang sepatutnya berlangsung jam 8 malam. Sekarang jam sudah menunjukkan ke 8:15 malam. Bergegas saya mencapai jaket dan kunci basikal.
Di luar suasana makin sejuk, mencengkam ke tulang. Bumi sakura sudah mula memasuki musim luruh. Di kampus juga sudah mula kelihatan daun-daun yang mula kekuning-kuningan, malah sudah ada yang mula berguguran. Basikal yang telah saya miliki sejak mula saya tiba di sini dikayuh sepantas yang boleh. Awal-awal lagi sudah saya maklumkan yang saya akan tiba lewat, namun masih merasa bersalah andai saya menjadi manusia yang terakhir sampai malam ini. Semasa saya menghantar SMS kepada adik memberitahu saya akan lewat tiba, adik sekadar membalas ok. Padahal ketika itu jam sudah menunjukkan jam 8 malam dan saya masih sedang enak melipat pakaian yang baru diangkat dari ampaian. Tidak enak rasanya meninggalkan rumah dengan pakaian berselerak dan tidak kemas. Kerana tabiat itu, saya sanggup datang lewat dan membiarkan semua orang menunggu kedatangan saya. Pantas rasa bersalah kembali menyelinapi dalam diri. Perjumpaan diadakan di lobi International Student Hall. Dari jauh kelihatannya semua sedang seronok berbual. Tidak semua warga Malaysia di Saitama ini menghadiri perjumpaan malam ini. Satu kelompok sedang sibuk berborak hal sendiri, dan satu kelompok lagi begitu asyik menonton televisyen yang disediakan untuk kegunaan ramai. Dan, yang sibuk membincangkan aturcara dan pembahagian tugasan hanya beberapa orang sahaja. Haa.. perkara biasa di Saitama saya kira. Meskipun saya sudah dikira senior dikalangan warga Malaysia di sini, tapi saya juga selalu mengambil sikap tidak mengambil tahu. Bukan berniat untuk curi tulang, tapi saya tidak mempunyai bakat dalam management dan leadership. Malam ini pun, seperti kebiasaannya, saya hanya menjadi pendengar setia.
Kesimpulannya, setelah tugasan siap dibahagikan, semua pun bersurai. Di sini suka saya sebutkan, menjadi pelajar tahun akhir memberi anda satu keistimewaan. Kami tidak diberi tugasan utama, sekadar diberi tugas yang ringan. Saya tidak diberi apa-apa tugasan, sekadar diberitahu – bawalah kuih apa-apa sahaja, yang senang dimasak. Hehe.. alasannya kerana kami pelajar tahun akhir sentiasa sibuk dengan thesis final year. Kerana itu saya begitu menyayangi warga Saitama barangkali. Selesai semuanya, saya, adik dan beberapa teman membuat keputusan untuk makan malam di luar. Sudah hampir ke pukul 9 malam, malas untuk memasak makan malam. Semua sepakat untuk menikmati makan malam di Kappa Sushi. Wah..wah.. sudah menjadi anak Jepun agaknya kami ini. seolah-olah sudah biasa menikmati sushi sebagai makan malam kami. Hidup di negara orang perlu membiasakan diri. Bukannya boleh mencari nasi lemak di warung-warung untuk makanan malam kami. Terima sajalah budaya di sini(mengeluh).
Seperti sebelum-sebelumnya, saya hanya mampu makan sekadar lima pinggan sahaja. Satu pinggan mengandungi dua ketul sushi. Cukuplah untuk mengenyangkan saya malam ini. Dan adik-adik saya juga seperti tidak berapa berselera menikmati hidangan masing-masing. Masih teringat masakan Malaysia agaknya. Maklumlah, hari ini masih 3 Syawal, semua tengah rindu mahu makan masakan emak. Setelah semua kekenyangan seadanya, maka keluarlah perbualan biasa-biasa. Kemudian disusuli dengan cerita-cerita yang makin hangat. Dalam semua perbualan yang berlaku, ada satu perkara yang benar-benar membuatkan saya benar-benar hangat, panas, dan malu.
Kawan Adik : Kalau bertudung, tapi bajunya singkat tergantung, melekat ke badan, buat apa bertudung.
Adik : Entah, masa kelas Machine Design and Drawing, kau tahu sajalah kelas tu. Kelas itukan kerusinya macam gitu, kalau duduk tertonggeng, nampak segala-galanya. Sudahlah bajunya singkat, seluar pula dah satu hal. Aku tak kisahlah pakai lowered, semua orang pun pakai je, tapi mak aaii, nampak semua lurah yang ada.
Tetiba terkeluar cerita tentang seorang teman sekelas, satu batch dengan adik dan kawan-kawannya – juga seorang junior saya. Serta merta telinga saya, muka saya terasa panas. Pedih, seolah-olah perihal saya yang sedang dibicarakan.
Kawan adik : Dulu masa dia tak pakai tudung, aku bukanlah kisah sangat dia nak pakai apa. Memang kita dah tahu, orang yang tak bertudung, mostly character dan gaya pemakaiannya memang begitu. Tapi bila dah bertudung, pakaiannya tak berubah, buat sakit hati saja.
Adik : Haah. Sakit mata yang memandang. Aku yang lelaki ini pun nak muntah tengok. Dia tak rasa apa-apa ke pakai macam tu…Bawah nampak, atas nampak, tinggal rambut saja yang terlindung.
Makin panas saya rasakan muka saya. Mungkin sudah kemerahan agaknya. Saya malu, saya rasa bersalah..
Saya : Emm, aku jarang terserempak dengan dia. Masa bbq musim bunga hari itu, aku dah hampir hilang sabar melihat dia berpakaian begitu. Bengang, tapi tak tahu apa yang patut aku katakan ….Tidak wajar pula kalau aku menegur gaya pemakaiannya di hadapan semua orang.
Alasan, alasan, dan hanya alasan yang saya mampu utarakan. Bukan saya tidak mahu menegur, tapi jarak kami terlampau jauh. Teman yang rapat pun tidak dapat saya perbetulkan, apatah lagi junior yang berbeza umur dengan saya. Dan saya tidak mahu dibenci kerana dianggap seorang yang suka menegur. Masih memberi alasan. Alasan yang tidak boleh diterima pakai. Lagipun, aurat saya sendiri tidak pernah sempurna, apalah daya saya untuk menegur insan lain.
Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? (Itu) sangatlah dibenci disisi Allah jika kamu mengatakan apa-apa yang kamu tidak kerjakan. (As-Saff : ayat 2 dan 3)
Sewaktu adik dan temannya bercerita tentang aurat, saya menjadi segan. Entah bila saya akan berubah, berubah kepada yang sempurna. Berubah sehingga saya merasakan saya layak menegur teman-teman dan adik-adik saya perihal aurat. Jika sekadar bertudung dan t-shirt lengan panjang, belum sempurna auratnya. Dan saya, masih menyinsing lengan baju sekiranya cuaca panas, dan masih tidak melabuhkan tudung ke paras dada. Maka, kerana itulah saya tidak mempunyai keyakinan diri untuk menegur, membentuk insan-insan yang terdekat dengan saya ke arah yang lebih baik. Saya takut dilabelkan sebagai manusia yang perasan sendiri baik sampai berani menegur orang berjalan tempang, walhal diri sendiri tidak pernah berjalan lurus. Justeru itu saya mengambil keputusan mendiamkan diri.
Suatu ketika saya dan beberapa teman keluar menikmati makan malam. Kali ini saya memilih untuk menikmati masakan Korea. Terasa mahu makan sotong pedas masakan Korea – kata seorang teman. Saya yang memang diketahui ramai memang seorang yang tidak gemar memasak, dengan senang hati menerima jemputan teman-teman. Selepas selesai menunaikan solat Maghrib, kami keluar beramai-ramai menuju ke sebuah mall di mana terdapatnya sebuah restoran masakan Korea. Kemudian seusai makan, tidak pantas untuk kami terus pulang. Jarang keluar beramai-ramai begini – lalu kami beramai-ramai berjalan-jalan di sekitar mall. Semasa berbual-bual, bergelak ketawa, terjadilah perbualan sebegini.
Teman : Ish..apalah perasaan manusia-manusia yang bertudung yang buat maksiat itu ye. Dah bertudung, tapi pergaulan macam perempuan-perempuan yang free hair.
Teman : Alaa..yang bertudung, yang lagi alim itulah yang lagi banyak pegang-pegang tangan dengan pakwe. Makin alim orang itu, makin kuat kejutan budaya. Sentuh tangan sikit dengan budak lelaki pun, terus rasa aliran elektrik, terus jadi yang susulannya.
Kami sekadar gelak beramai-ramai apabila seorang teman menyuarakan ayat sebegitu. Kadang-kadang kalau saya fikir lojik, betul juga ye.
Teman : Tengok yang berita pasal kes dekat Vista Angkasa, dekat stesen Putra Universiti. Semuanya bertudung, berbaju kurung lagi. Emm, pakai kain lagi senang nak buat. Sebab tu berbaju kurung.
Teman : Nak buat, buat sajalah. Kenapa nak memalukan orang Islam dengan bertudung dan berbaju kurung. Ish.. tak puas hati betullah..
Saya : Entahlah.. ramai yang fikir tudung itu sebagai satu budaya. Kalau tak bertudung di Malaysia, rasa pelik. So, pakai je la tudung.
Teman : Emm, kalau ikutkan aku, aku bertudung sebab malas nak setkan rambut. Kalau time rasa malas nak tegak-tegakkan rambut, pakai minyak rambut dan lain-lain, aku pakailah tudung.
Ucap seorang teman saya yang kadang bertudung, kadang tidak bertudung. Biasanya kalau ke kampus, teman saya memilih untuk bertudung, sebab malas untuk menguruskan rambut. Bila bertudung tidak perlu risaukan apa penampilan diri kerana rambut tidak kelihatan. Bertudung, tapi tetap dengan t-shirt sendat dengan lengan baju yang singkat. Haa.. lagi sekali saya mengeluh dengan sikap diri saya. Mengeluh dalam diam. Tidak bersetuju, tapi tidak pula membantah. Saya sekadar menari mengikut rentak yang dimainkan. Terlampau bimbang andai tarian saya menjadi pincang, dan disingkirkan dari teman-teman. Berkali-kali saya cuba menghayati sabda junjungan kita nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud ;
Sesiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran hendaklah dia mengubahnya dengan tangan (kuasa). Sekiranya kamu tidak mampu hendaklah diubah dengan lidah dan sekiranya kamu tidak mampu hendaklah kamu membencinya di dalam hati kamu. Itulah selemah-lemah iman
Betapa lemahnya iman saya. Ya Allah, kuatkanlah semangat hamba-Mu ini. Pernah saya suarakan rasa hati saya kepada seorang teman, betapa saya lemah dalam hal ini. Panjang pula ceramah yang diperdengarkan. Kata teman saya – tak semestinya tunggu kita menjadi perfect dahulu baru menegur, menegur itu memang tanggungjawab setiap muslim. Dalam hadith juga mengatakan, siapa yang melihat kemungkaran, perlu ditegur samada dengan tangan, lidah mahupun hati. Dalam kes sebegini, tidak perlu tunggu diri itu perfect baru boleh menegur. Kita kena ingat, tiada manusia yang perfect di dunia ini kecuali nabi. Malahan nabi pun ditegur oleh Allah secara direct ketika berbuat salah. So, sekarang ini, apa peranan kau? Kalau rasa menegur kawan-kawan itu satu tanggungjawab, kenalah diri tu berubah menjadi yang baik. Menutup aurat secara sempurna. Bukankah senang jalan penyelesaiannya…
Aduhh.. betapa terpukul saya mendengar soalannya. Padahal saya sudah bersedia diserang dengan soalan sebegitu, tapi pedihnya tetap berbisa. Iye, iye..saya faham. Memang tengah berusaha tidak berlaku zalim pada diri sendiri. tapi kadang-kadang saya kalah. Eyh…bukan kadang-kadang, selalu sangat, kerapkali kalah dengan syaitan dan hawa nafsu sendiri.
Kesimpulannya, saya perlu mengubah diri saya sendiri, berubah ke arah kebaikan. Biar lain kali, bukan saya yang menari mengikut rentak mereka. Biar mereka menari mengikut rentak saya. Bukan dengan teguran, tapi dengan akhlak dan peribadi. Kalau Rasulullah berjaya menarik umatnya memeluk Islam hanya dengan akhlak dan peribadi, maka saya akan berusaha untuk menarik teman-teman saya memahami maksud menutup aurat dengan sempurna. Tetapi sebelum itu saya perlu mendidik diri agar memahami apa maksud aurat, apa maksud peribadi terpuji. Semoga suatu hari nanti saya tidak akan mendengar lagi ayat-ayat seperti – lagi bertudung, lagi banyak buat maksiat. Atau ayat – sebab malas nk setkan rambut, lalu aku bertudung dan sebagainya. Insya-Allah.
Dan katakanlah kepada wanita yang beriman : Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara-saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita), atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung. (An-Nur : 31)