Bicara kalam...

Wahai Muhammad!Kobarkanlah semangat para mukmin untuk berperang. Jika ada 20 orang yang sabar di antara kamu, nescaya mereka dapat mengalahkan 200 orang musuh. Dan jika ada 100 orang yang sabar di antara kamu, nescaya mereka dapat mengalahkan 1000 orang kafir, kerana orang-orang kafir itu adalah kaum yang tidak mengerti. Al-Anfal:65

My Photo
Name:
Location: Shah Alam, Selangor, Malaysia

Dilahirkan di Pasir Mas, Kelantan, menamatkan ijazah sarjana muda di Saitama University dan ijazah sarjana di Shibaura Institute of Technology dalam Kejuruteraan Mekanikal. Bertugas sebagai pensyarah Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, UiTM Shah Alam. Sebarang ambilan dari blog ini, diharap dengan kebenaran. Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku hanya untuk Allah, tuhan semesta alam.

Thursday, January 31, 2008

Ulangtahun tokkura

Oowhh... saya terlupa. Hari ini 31 Januari 2008, Khamis.

Selamat Menyambut Ulangtahun ke *4 buat diri saya.



Moga tokkura akan terus gemilang dalam meniti hari-hari mendatang.



Wednesday, January 30, 2008

Kejayaan vs Kegagalan

(Ilustrasi tidak berkaitan dengan Okada Japan dan entri)

Saya baru selesai menonton rancangan 報道 Station (News Station) di chanel 10 - Asahi Television mengulas tentang kemenangan pasukan bola sepak Jepun melawan Bosnia Herzegovina dalam siri perlawanan Kirin Challenge Cup 2008, di mana pada separuh masa kedua defender Nakazawa membolosi satu gol dan midfielder Yamase 2 gol menjadikan 3-0. Kemenangan pertama buat Okada Japan. Jika ada sebarang kesalahan, minta ditegur. Saya bukan arif tentang bola. Apa yang mahu saya sentuh adalah ulasan tetamu jemputan berkenaan kemenangan pertama Okada Japan kali ini dalam menuju W杯予選 (World Cup Preliminary) nanti.

Tetamu jemputan News Station menyebut, 'sudah sikap bangsa Jepun, takut untuk menghadapi kegagalan, gagal sekali bermakna gagal selamanya'. Itu isi penting daripada ulasannya. Beliau meluahkan rasa kekecewaan dengan kemenangan pertama Okada Japan, dengan 3 gol oleh midfielder dan defender bukan dari forward. Walaupun kemenangan ini membuktikan kehebatan semua pemain, gol sepatutnya dikuasai oleh forward dan dibantu oleh yang lain. Satu kelemahan pemain bola sepak Jepun adalah 'takut' untuk menjaringkan gol. Takut sekiranya tendangan yang dibuat menemui kegagalan dan disalahkan kerana kecuaian sendiri. Kerana itu ramai pemain Jepun lebih gemar passing dan dribble.

Malahan perkara 'takut' ini bukan sahaja berlaku dalam permainan bola sepak, ia juga berlaku dalam kehidupan seharian bangsa Jepun yang diagungkan sebagai salah satu bangsa termaju di dunia. Satu kegagalan membawa maksud kegagalan seluruh hidup, dan mentaliti ini disampaikan kepada kanak-kanak di luar sedar orang-orang dewasa.

Jadi, apakah itu kegagalan? Atau lebih tepat jika saya tanya, apa itu kejayaan pada mata kita?

Adakah mereka yang gagal mendapat tempat di universiti, bekerja hanya sebagai tukang sapu sepanjang hidup mereka, adalah golongan manusia yang gagal? Jika ya, makanya arwah atuk saya adalah seorang yang gagal kerana tidak ke universiti dan hanya bekerja sebagai tukang buat rumah sepanjang hayatnya. Sebaliknya, adakah berjaya masuk universiti, mendapat segulung ijazah, sambung master dan bekerja dengan gaji lima angka membuktikan bahawa anda seorang yang berjaya dalam hidup? Jika itu adalah jawapannya, saya merupakan golongan yang hampir berjaya (gaji saya mungkin tidak mencapai lima angka).

Gagalkah Sultan Muhammad Fateh yang menyerang kubu kota Konstantinople selama hampir 48 hari sehingga beliau menemui jalan untuk menyeberangi kapal melalui puncak gunung ke Teluk Golden Horn, gagalkah Alexander Graham Bell yang 100 kali gagal mencipta telefon sehingga akhirnya telefon pertama di dunia tercipta? Dan gagalkah Rasulullah SAW yang mengetuk pintu rumah Abu Jahal sebanyak 70 kali mengajak Abu Jahal memeluk Islam? Apakah maksud kegagalan yang sebenarnya?

Lojikkah jika saya mengatakan istilah gagal dalam hidup juga membawa maksud kejayaan hidup seseorang? Anda setuju?

Maka di sini saya mahu membuat satu pembetulan. Tidak, saya bukan seorang yang berjaya dalam hidup. Cuma jalan hidup saya dipermudahkan oleh Yang Berkuasa. Saya masih belum bertemu 'sesuatu' yang bisa membuktikan saya sebenarnya telah berjaya.

Lantas, sekali lagi saya bertanya, apakah itu kejayaan, apakah itu kegagalan?

"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, kami telah beriman, dan mereka tidak diuji?" (al-Ankabut : 2)

Jalan hidup saya masih dipermudahkan. Ujian penanda aras kegagalan dan kejayaan saya masih belum dibentangkan. Mungkin saya akan gagal, harapannya saya akan cemerlang. Sungguh, kejayaan itu tidak ditafsir dengan kebendaan dan pancaindera. Kesan daripada kegagalan (baca;pengajaran) itulah mengubah seseorang untuk menyedari di mana ia patut mencari kejayaannya.

Saya sendiri lebih gemar menetapkan kejayaan/kegagalan sama erti dengan syurga/neraka. Mahalnya harga sebuah kejayaan...

Wallahualam.




Tuesday, January 29, 2008

Tahniah kepada Kita!

Adik saya mencebik bibir saat melihat koleksi buku saya di atas rak. Boleh dikatakan hampir semua buku-buku saya adalah buku-buku yang memenangi Hadiah Sastera Utusan yang saya beli di Ujana Ilmu.

"Inilah antara buku-buku yang saya tak minat nak baca. Banyak sangat mesej nak disampaikan. Malas nak berfikir."

Sudah saya agak, itu ayat yang bakal keluar dari mulut adik saya. Malahan ketika dia bertanya, drama Jepun apakah yang menarik dan saya mencadangkan beberapa drama yang bersifat realistik masyarakat, ditolaknya mentah-mentah. Akhirnya, drama Korea juga yang menjadi pilihannya - drama yang menceritakan kisah cinta orang kaya dan miskin, cinta terhalang dan sebagainya yang akhirnya semua orang tahu, hero dan heroin tetap akan bersatu. Drama yang nyata tidak berpijak di bumi yang nyata. Yang jauh daripada kebenaran apa yang sedang bergolak dalam masyarakat sekarang.

Saya penat, sedih, ngilu dan sebagainya. Adik saya, bakal seorang guru sekarang berumur 22 tahun, masih sibuk dengan kisah dongeng cinta yang tidak berkesudahan. Ibu saya, seorang guru, juga mempunyai minat yang sama. Ha ha.

Bukanlah saya mengatakan saya seorang yang amat sensitif dengan masalah dunia. Cuma saya kesal dengan mentaliti remaja sekarang. Mungkin ini kesan penggubalan AUKU oleh Tun Dr. Mahathir bagi menyekat seorang aktivis pelajar, Anwar Ibrahim yang sibuk membela nasib petani di Utara Malaysia dulu-dulu. Pelajar tugasnya hanya untuk belajar dan mendapat ijazah. Masalah negara, masalah dunia, hanya setelah graduasi. Makanya bagi mengisi lapang di kampus, silalah anda berkasih-kasihan, menonton cerita-cerita kasih, membaca bahan kasih-kasihan, dan sebagainya.

Pedih hati saya ditambah dengan perahan air limau pasca desas-desus yang karya SN tidak akan dimuatkan dalam teks KOMSAS. Benar atau tidak, wallahualam. Dari laman blog NHH, FT dan lain-lain, satu tindakan akan dibuat berkenaan hal ini. Malah A Samad Said juga telah bertindak bagi menjaga masa depan bahasa (baca juga; masa depan mentaliti remaja). Pak Samad telah mengisytiharkan bahawa dia bukan lagi seorang SN, cuma seorang mantan SN. Kata Pak Samad, penulis tidak hanya membangkang melalui penulisan, perlukan tindakan. Saya? Maaf kerana tidak berdaya, cuma yang pasti saya tetap akan menyokong kedaulatan bahasa.

Semalam saya berborak dengan apun. Kredit kepada apun kerana aktif dalam menghasilkan pelbagai karya walau katanya ramai yang membangkang kerana apun menggunakan bahasa Melayu campur rojak sesuka hati dia. Pun begitu, sekurangnya apun tahu apa yang perlu dia sokong, apa yang diperlukan dalam hidup berbanding drama korea dan novel-novel tipikal. Tidak pula saya tahu kalau-kalau apun juga kaki Korean. Ha ha. Tidak salah, saya juga minat anime Jepun. apun punya bakat untuk bersuara lantang menghentam mereka yang tidak mahu ambil peduli tentang bahasa kita.

Tahniah kepada barisan 'bekas guru' yang membuat keputusan tentang teks KOMSAS ini ;

Dengar, dengar. Masih belum pekak!
Hei Brother Mar - lucu, lucu, lucu!
Kita jadi kedekut kepada anak cucu;
hampir kita tutup sebuah jendela ilmu
konon untuk mengasuh warisan berdiri,
maklum kita sendiri sudah amat menjadi.
Menjadi? Kita akan menjadi bangsa membina
kilang cawat dan coli atau pasti
menjadi pendatang di serambi sendiri.

(A Samad Said - Dialog antara Jambatan Setinggan II)


Kemudian, ada pula kisah di Genting Gaza. Mungkin ramai yang tahu, dan peduli. Tapi masih ramai yang tahu, tetapi tidak mahu ambil tahu - itu kisah negara mereka, Malaysiakan negara merdeka tiada peperangan. Woo... merdeka pada mata (segelintir)remaja Malaysia hanyalah sebuah sambutan di Dataran Merdeka, di KLCC dan yang sewaktu dengannya. Selagi mana rakyat tidak mempunyai kebebasan bersuara (baca; kebebasan mengundi), kebebasan badan kehakiman (sila abaikan kisah Lingam, Altantuya dll itu) dan lain-lain, maksud perkataan 'merdeka' dalam Kamus Dewan perlu diubah.

Perihal sekatan bahan api, makanan dan ubat-ubatan di Genting Gaza oleh Israel, kata-kata cik Mira Zinnera beberapa hari lalu benar membuatkan saya kekaguman.

"Hari ini kita mendengar kisah keperitan mereka di Gaza, kita cuma mampu bersimpati, paling hebat kita cuma mampu berdoa. Moganya pedih yang kita lalu hari ini - tidak mampu bertindak saat saudara di Palestin didera, tidak dilalui oleh bakal anak cucu kita esok hari. Moga saat itu nanti, simpati itu mampu membuahkan tindakan. Anak cucu kita nanti mampu untuk menggerakkan briged-briged yang wujud untuk menghapuskan Zionis laknatullah itu. Islam tidak hanya kekal membantah di konferen OIC, di surat-surat memorandum. Seperti kata Asad Filistiniyyun - Dr. Abd Aziz Rantisi ; kekejaman mereka Zionis hanya boleh dibanteras dengan kekuatan jihad."

Ya, pedih dan sedih dengan masa depan Islam.

Panjangnya saya membebel. Kepada apun dan Mira Zinnera yang mungkin akan membaca entri kali ini, sungguh saya bangga punya junior seperti apun dan Mira Zinnera. Sebuah sajak dedikasi buat apun dan Mira Zinnera ;

Ia menjadi suara yang ingin bermaruah
dalam hajat kita yang luhur.
Ia adalah mercu mimpi yang bening,
mengenyit dari jauh, mengerlip dari dekat -
ia menyatakan pencapaian tulus satu bangsa
yang bergolak bangun dari gelora dunia
dengan tangannya sendiri. Ia, demi warisan,
adalah rindu angin yang mengejar dan
mengucup dari sejarah abad ke celik alaf.
Ia visi pemimpin yang ingin bercakap kepada dunia
bahawa dari pesta biasa bangsa kecil juga bermaruah.

(A Samad Said - Di Sisi Menara)


Entri menarik berhubung kisah Palestin, ulasan oleh Zaatil Iffah di sini.



Wednesday, January 23, 2008





すぐ目の前にあるのに、手に入れなくて、寂しいよぉ。。。
すぐ目の前にいるのに、愛してやれなくて、苦しいぃ。。。

とか言っても、我々のすぐ目の前にあるものは一番相応しいとは限らない
神様が知っている、相応しいのは我々の知らないところにある
相応しいのはあいつではないと、神様が一番知っている。

とか言っても、心の底に痛む程の思い出が残っている
好きだから終わらせたいっていう気持ちが一度もなかった
好きだから諦めるっていう勇気が愛の言葉には合わない。

幸せになりたい、幸せにしてあげたい、
2つのこと、同じように見えるが同じとは限らない

目の前にあるのに、手を伸ばしても届かない
目の前にいるのに、愛を叫んでも聞こえない

寂しい
苦しい
痛む
でも、幸せ

あいつが笑顔で生きていけば
我々の後悔は一切なし。



tokkura
Kopo Hara Giwa 101
January 23, 2008

Tuesday, January 15, 2008

Bosan!!!

Bosan... atau lebih sesuai saya katakan pelik. Pelik bin Ajaib bin Hairan.

Pertamanya, bagaimana Malaysia sebuah negara yang menjadi negara pengeluar minyak, dan mempunyai syarikat gas dan petroleum antarabangsa - Petronas tidak boleh mengekalkan harga petrol dalam negara sendiri. Kata saya, Petronas sepatutnya menaikkan harga petrol yang dieksport, bukannya menaikkan (baca; mencekik) harga petrol dalam negara sendiri. Mungkin Malaysia tidak sehebat negara-negara pengeluar petroleum lain, tapi rasanya melampau apabila harganya naik menjadi-jadi. Kepada yang mengingati RF, teman saya yang pernah saya sebutkan dalam ruangan 'Bicara Kalam...' beberapa kali, dia sekarang bekerja di Ashgabat - sebuah negara pengeluar petroleum juga (di mana negara itu, sila jangan tanya saya). Apa yang ingin saya nyatakan cuma, di sana harga petrol cuma RM0.06/liter. Bermakna RM2.40 dah dalam 40 liter. Jadi, apa komen anda dengan harga petrol Malaysia?

Keduanya, bagaimana Malaysia sebuah negara pengeluar minyak kelapa sawit utama dunia boleh menghadapi krisis kekurangan minyak masak di pasaran. Kalaupun peniaga menyembunyikan minyak masak untuk menaikkan harga, kerajaan janganlah benarkan perkara ini berlaku. Keluarkan minyak masak banyak-banyak, supaya tidak berlaku krisis tak cukup minyak masak. Susah ke... susahlah kot ye. Sebab itu berlaku krisis tak cukup minyak masak (mengeluh).




Ketiganya, kenapa, kenapa dan kenapa teks sekolah tidak menyenaraikan karya SN??!!! Bukan bermaksud saya membenci penulis-penulis popular, tidak sama sekali. Cumanya saya merasakan alasan yang diberikan tidak relevan. 2008 baru sahaja bermula, 1429 Hijrah baru sahaja bermula, namun langkah Malaysia seolah menapak ke belakang. Benar, tidak saya nafikan karya SN mungkin sedikit berat, tetapi tidakkah isu yang diketengahkan itu perlu untuk membina modal insan yang cemerlang? Muhammad Iqbal pernah berkata; mereka didik anak singa yang berani itu menjadi kijang pengecut. Ya, itulah yang saya lihat terjadi kepada pemuda Malaysia. Negara terlalu takut untuk mendedahkan isu yang 'berat', maka lahirlah generasi 'tak pa'. Selagi mana diri sendiri bahagia, derita yang lain tidak perlu diambil tahu.

Bosan, ya bosan. Bosan dengan rentak tari Malaysia. Mungkin kalian ada jawapannya untuk kebosanan saya ini.


Sunday, January 13, 2008

Hipokrit?!

Dalam bahasa Jepun, disebut 'yaru ki nai'. Diterjemah dalam bahasa Melayu (Malaysia?!), membawa maksud 'tiada semangat nak buat'. Kerana yaru ki nai untuk menyiapkan assignment untuk pembentangan Rabu nanti itulah, maka sepanjang malam ini saya sekadar menonton drama Jepun - Kindaichi Shounen no Jikenbou 3 (The File of Young Kindaichi 3) dibintangi oleh aktor Matsumoto Jyun episod 8 dan 9; The Murder of The Lucia Dolls tayangan 2001. Sila jangan ketawakan saya kerana menonton drama lama. Saya bosan dengan drama yang asyik membawa tema cinta klise. Maaf kepada peminat-peminat drama sedemikian.

Dalam episod 8 dan 9; The Murder of The Lucia Dolls, barisan aktor kerap mengulangi kata-kata 'setiap manusia punya rupa yang hanya diketahui oleh dirinya sendiri, tidak kendatipun oleh saudara terdekat'. Ya, setiap manusia punya rahsia sendiri dan kadang-kadang meletakkan topeng untuk menghalang orang sekeliling mengenali diri mereka. Atau, mengenakan topeng untuk menutup apa yang pernah wujud - dosa dan jahiliyyah.

Ramai manusia punya sejarah hidup yang hitam (kepekatan hitam itu, saya serahkan pada imaginasi pembaca), yang disembunyikan daripada pengetahuan rakan seperjuangan. Pun begitu, kadang-kadang hadir rasa bersalah untuk terus menyembunyikan kejahatan jua kesalahan jahiliyyah kita daripada mereka yang terdekat. Kiranya, mungkin ramai yang tidak memahami tulisan saya kali ini ya?

Saya sekadar mahu meluahkan, wajarkah saya menyembunyikan kesalahan-kesalahan lampau, dosa dan kesilapan dahulu dengan membentangkan diri saya yang 'kini'?... Lalu membuatkan saya berasa seperti seorang hipokrit. Apa hipokrit itu memang perlu dalam hidup?

Apabila dilanda 'dilemma' sebegini, perlunya saya kembali merujuk Islam - agama yang syumul. Islam menggalakkan untuk menzahirkan amal-amal soleh baik, fardhu atau sunat, dengan beberapa sebab yang tertentu. Akan tetapi, Islam tidak menggalakkan untuk menzahirkan kemaksiatan. Bahkan menggalakkan untuk menyembunyikan kemaksiatan dari orang lain sedaya mampu.

Sekiranya melakukan kesalahan, wajar dan seharusnya kita menyembunyikan kesalahan itu dan mendapat perllindungan dari Allah seperti sabda Rasulullah SAW;

اجتنبوا هذه القاذورات التي نهى الله عنها، فمن ألم بشيء منها فليستتر بستر الله تعالى”.

“Jauhilah perkara-perkara buruk yang dilarang Allah (SWT) ini, sesiapa yang terlanjur melakukannya maka hendak dia berlindung dengan perlindungan Allah (SWT).”

Kemudiannya, telah Allah lindungi aib kita maka apa perlu dihebahkan kepada umum. Sepertinya sabda Rasulullah SAW, dari Abu Hurairah ra;


“كل أمتي معافى إلا المجاهرين، وإن من المجانة أن يعمل الرجل بالليل عملا، ثم يصبح، وقد ستره الله، فيقول: يا فلان، عملت البارحة كذا وكذا، وقد بات يستره ربه، ويصبح يكشف ستر الله عنه”.

“Setiap umatku akan diampunkan kecuali orang yang bermegah (dengan kemaksiatannya). Adalah suatu kegilaan bila seseorang bermaksiat pada waktu malam, kemudian datangnya pagi - dalam keadaan Allah (SWT) telah menyembunyikan kemaksiatannya – dia pun berkata : “Wahai fulan, malam aku telah berbuat begini dan begini.” Sedangkan dia tidur dalam keadaan Allah (SWT) merahsiakan kemaksiatannya kemudian di waktu pagi dia membuka rahsia Allah (SWT).”



Sungguh, betapa syumulnya Islam itu. Betapa benarnya agama ini sehinggakan perkara sebegini jua punya jawapan. Yang perlu hanya mencari, pasti jawapannya terbentang dihadapan kita. Kiranya saat wujud perasaan malu dengan dosa dan kesalahan sendiri, malu membuka aib sendiri, itu memang yang terbaik.Daripada Rasulullah SAW, dari Imran bin Hissin ra;


“الحياء لا يأتي إلا بخير”.

“Sesungguhnya malu itu tidak mendatangkan kecuali kebaikan.”


Saya simpulkan dengan - hipokrit itu perlu dalam hidup. Saya, anda, dan semua insan, punya topeng buat menutup sejarah dan bentuk hati masing-masing. Allah jua yang tahu apa yang terdetik pada setiap denyut nadi dan pada setiap tarikan nafas kita. Bukankah 'ikhlas' itu hanya rahsia Dia?

Namun, mungkin ada pembaca yang tidak setuju dengan kesimpulan saya. Saya serah pada kalian untuk menilai diri masing-masing, apakah kalian cukup terbuka dengan semua teman sekeliling tanpa senoktah rahsia sekalipun.

Rujukan:
1.Kindaichi Shounen no Jikenbou 3 episod 8 & 9
2.artikel Merahsiakan Kemaksiatan (oleh:myKonsis)



Monday, January 07, 2008

Selamat Menyambut Tahun Baru


Selamat menyambut tahun baru Gregorian 2008, 1 Januari lepas dan juga selamat menyambut tahun baru Hijri 1429 Hijrah, 1 Muharram pada 10 Januari akan datang. Moga tahun baru yang tiba diisi dengan seribu satu azam untuk menegakkan lagi agama Allah dan impian-impian indah anda. Doa saya semoga semua azam dan impian itu tercapai.

Dan bagi saya sendiri, punya pelbagai azam dan impian. Doa saya semoga Allah kuatkan hati saya untuk terus menempuh hidup ini. Moga saya terus thabat dijalan ini, moga Allah tenangkan hati saya, moga Allah permudahkan segala urusan dunia saya yang tidak pernah selesai ini dan lain-lain juga. Lagi, moga Allah lapangkan hati saya menerima segala jawapan yang mungkin akan timbul. Dan banyak lagi...

Harapan saya soalan 'kenapa' itu akan terjawab dalam sedikit masa lagi.

Tahniah kepada yang pulang bercuti ke Malaysia winter break tempoh hari. Moga segala urusan berlaku dengan jayanya. Saya menanti berita gembira daripada semua orang.