Bicara kalam...

Wahai Muhammad!Kobarkanlah semangat para mukmin untuk berperang. Jika ada 20 orang yang sabar di antara kamu, nescaya mereka dapat mengalahkan 200 orang musuh. Dan jika ada 100 orang yang sabar di antara kamu, nescaya mereka dapat mengalahkan 1000 orang kafir, kerana orang-orang kafir itu adalah kaum yang tidak mengerti. Al-Anfal:65

My Photo
Name:
Location: Shah Alam, Selangor, Malaysia

Dilahirkan di Pasir Mas, Kelantan, menamatkan ijazah sarjana muda di Saitama University dan ijazah sarjana di Shibaura Institute of Technology dalam Kejuruteraan Mekanikal. Bertugas sebagai pensyarah Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, UiTM Shah Alam. Sebarang ambilan dari blog ini, diharap dengan kebenaran. Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku hanya untuk Allah, tuhan semesta alam.

Tuesday, July 31, 2007

Ibu bapa kurang ajar!

Saya dulu, masa sekolah-sekolah, bukanlah pelajar yang baik. Undang-undang sekolah bagi saya hanya menyekat perkembangan mental pelajar. Itu tanggapan saya setelah saya mencapai umur 23 tahun kini (bukan umur sebenar tokkura). Kalau ketika sekolah dahulu, kesan rotan, tamparan atau apa sahaja dari guru, haram memang tak diceritakan kepada ibu bapa. Rekod disiplin yang bertimbun, tidak pernah saya ceritakan. Dipanggil diperhimpunan, dirotan, bukan perkara besar bagi saya selagi saya tahu apa prioriti saya. 7:40 pagi, semua orang sudah berkumpul di pekarangan sekolah untuk perhimpunan pagi. Saya, jam 9:00 pagi baru tiba di sekolah, terutamanya hari Ahad dan Rabu. Kata abah saya ; "Kalau ditangkap guru disiplin, jangan sekali-kali libatkan nama abah sampai dipanggil ke sekolah." Saya masih budak baik untuk tidak melakukan sesuatu yang melampaui batas. Ha ha.

Saya cemburu dengan pelajar zaman sekarang. Sedikit terkesan dengan berita - 22 murid ditampar guru besar. Anak dipukul, laju saja ibu bapa membuat laporan polis. Mungkin guru besar itu sudah melampau, tetapi yang pasti jika saya yang ditampar atau dirotan, memang tak akan sekali-kali mengadu kepada ma dan abah!

Rasanya ibu bapa memang terlampau bersifat melindungi anak masing-masing sekarang ini. Kesannya anak-anak menjadi manja dan besar kepala. Maklumlah, guru tidak berkuasa untuk menghukum mereka. Apabila anak dihukum, pihak guru disalahkan. Tetapi kalau anak mereka menjadi seorang yang tidak berguna suatu hari nanti, guru juga disalahkan. Hukum salah, tak hukum pun salah, malangnya nasib guru. Memang patut digubal undang-undang menghalang campur tangan ibubapa yang busy body ni. Halang ibu bapa ganggu hukuman.

Kepada mereka yang bergelar ibu bapa, harap jangan terasa hati dengan tajuk entri kali ini. Cuma saya merasakan ibu bapa semakin melampau kebelakangan ini. Daripada pengalaman hidup saya yang sedikit ini, kemanjaan boleh memusnahkan masa depan anak anda. Sahabat saya yang kebanyakannya dimanjakan oleh ibu bapa, berakhir dengan menjadi seorang dewasa yang gagal membuat keputusan sendiri. Kurang mampu berdikari berbanding dengan mereka yang tidak ditatang oleh ibu bapa. Anda lebih memahami peribadi anak-anak anda. Tepuk dada, tanya akal.

Pada pelajar-pelajar, jangan rasa sendiri sudah cukup dewasa dan sudah besar. Guru-guru anda juga pernah menjadi pelajar suatu waktu dahulu. Malah mungkin lagi nakal daripada anda. Berani buat salah, beranilah mengaku, beranilah menerima hukuman. Kalaupun anda tidak bersalah tetapi menerima hukuman kerana sahabat anda tidak mahu mengaku, yang salah adalah sahabat anda itu. Walaupun kami di sekolah dulu sanggup dirotan bersama-sama, janji rahsia tidak pecah. Sahabat lebih penting dari guru. Ha ha.

Teman-teman sepersekolahan saya, saya rindu kalian!!


Monday, July 30, 2007

Monyet

Beberapa minggu kebelakangan ini saya kekurangan idea untuk menulis, sedikit sibuk dengan peperiksaan dan assignment, dan terlalu asyik meneliti perkembangan berita semasa tentang dunia blog dan bloggers.

Ternyata bloggers yang digelar monyet oleh Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berjaya meresahkan barisan pemimpin negara. Kiranya saya juga terasa hati apabila digelar monyet, walaupun yang dimaksudkan mungkin adalah sahabat bloggers yang menulis membangkang kerajaan. Mungkin monyet yang dimaksudkan adalah penulis aktivis politik, namun sebutan monyet tidak wajar digunakan oleh seorang yang lulusan luar negara yang 'hebat' seperti Khairy Jamaluddin.

Wajar rasanya jika barisan pemimpin negara risau dengan tulisan-tulisan Raja Petra Kamarudin, Roslan SMS, Jeff Ooi dan lain-lain yang menceritakan tentang keburukan mereka dan kisah-kisah disebalik tabir yang tidak diketahui pembaca budiman sekalian. Namun, jika kisah yang ditulis hanya gembar-gembur mereka sahaja seperti kata Agenda Daily, mengapa perlu dirisaukan. Siapa yang makan cili, dia yang terasa pedasnya.

Kalau benar itu menyentuh sensitiviti kedudukan Yang Dipertuan Agung, maka pastinya rakyat akan mengamuk. Dan, kenapa Pak Lah sebagai Perdana Menteri Malaysia sanggup untuk tidak hadir mesyuarat Majlis Raja-raja menemani Yang Dipertuan Agong sebaliknya pergi berbulan madu di Australia? Erkk...dengar-dengarnya siapa makan malam di kasino. Alaahai..imam Islam Hadhari. Sekarang, siapakah yang menghina Yang Dipertuan Agong?

Semakin dekat dengan PRU, semakin pelik kes yang timbul di Malaysia. Risau dengan pelbagai gejolak yang melanda. Risau kiranya ada negara saudara mengambil kesempatan atas keruh yang makin berkeladak ini.

Mungkin patut dibiarkan sahaja pulau kecil itu tenggelam dalam letupan gunung berapi.(sigh)

Untuk bacaan teman-teman blogger yang lain. Tindakan Undang-undang Ke Atas Penulis Blog - Khairy.


Friday, July 27, 2007

I am Harry Potter!


Find out your Harry Potter personality at LiquidGeneration!


Geez..I am Harry Potter!

What's yours?



Dumbledore's Army

Terbayangkan Albus Dumbledore disoal dan disiksa oleh Death Eaters. Dengan gambaran serpents pada dinding interrogation room balai polis Dang Wangi. 8 jam waktu siksaan dengan cruciatus curse dan Nagini berlingkar di penjuru, but the great Albus Dumbledore will never give up. The Dumbledore's Army will always support behind all scenes.

Bellatrix Lestrange keep calling asking whether the interrogation have any progress, but they will never ever get the point. Lord Voldemort will lose his power.

First round, Raja P**** ... oops, Albus Dumbledore win. Second round, will Albus Dumbledore win? Or will he die because of his loyal Severus Snape? Times will tell.

Menanti kewujudan seorang Harry Potter untuk menentang Lord Voldemort and his Death Eaters. Albus Dumbledore has started the war, we need an army!

** Mungkin anda tidak memahami entri kali ini. Sekiranya anda memahami erti sebaliknya, you're most welcome to join the DA.


Wednesday, July 25, 2007

Takrif Islam?

Malaysia bukan negara sekular tetapi merupakan sebuah negara Islam dengan takrifnya yang tersendiri, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata Malaysia tidak pernah berpegang kepada sekularisme tetapi didorong oleh asas Islam kerana Perlembagaan jelas menyebut bahawa Islam adalah agama rasmi.

Bla..bla... Hanya kerana Islam adalah agama rasmi, itu tidak menyatakan Malaysia itu adalah sebuah negara Islam. Adakah Islam mempunyai pelbagai takrif?

Lagi sejam saya akan menghadapi peperiksaan. Sekadar melepaskan rasa ketidakpuasan hati. Doakan moga Allah permudahkan segala urusan.

Saya menanti komen kalian tentang takrif sebuah negara Islam.



Monday, July 23, 2007

Jejak kasihan




Uwaa..saya tengah bosan bermalas-malasan untuk ulangkaji subjek fluid system untuk final paper Rabu nanti, terus gatal-gatal tangan godek-godek blog.

Saya jumpa satu blog, dan nama tuan punya blog itu puterikurekure. Rupanya saya punya saudara di sini!! Entah-entah cucu cicit saya yang terpisah berpuluh tahun lampau. Maklumlah, puterikurekure itu kelihatannya sangat muda dari tokkura.

Ha ha.

Thursday, July 19, 2007

Manis



"Dosa semalam akan pasti menjadi kecurigaan hari ini, esok dan selamanya."

-Petikan kata Abu Saif-



Setiap 'manis' dosa yang dilakukan perlu ditebus dengan seluruh kehidupan, dunia dan akhirat. Perlukah kita berseronok dengan hanya 'manis' yang sementara. Perlukah kita gadaikan seluruh dunia dan akhirat hanya kerana nafsu cinta semata. Perlukah kita penuhi permintaan syaitan durjana yang mengajak diri ke arah neraka dengan bayangan 'syurga dunia'?

Saya perlu muhasabah diri kembali. Beberapa hari kebelakangan ini saya teramat rapuh. Semalam baru sahaja kecundang. Moganya hari ini saya makin tabah.

Anda? Terpulang kepada anda. Saya tidak punya hak dan kuasa untuk menghalang tindakan anda. Namun satu saya ingatkan, dosa itu akan menghambat anda sehingga ke akhir hayat perkahwinan anda.

O0opss.. lupa. Entri ini adalah kepada mereka yang sedang bergembira dengan 'manis' berkapel. Bercanda mesra. Walau tidak bertemu, walau hanya SMS, anda tahu apa kata hati anda. Anda lebih mengenali hati anda.



Moga saya bertabah hati.



Tuesday, July 17, 2007

Tulang temulang

Tercipta engkau dari rusuk lelaki
Bukan dari kaki untuk dialasi
Bukan dari kepala untuk dijunjung
Tapi dekat di bahu untuk dilindung
Dekat jua di hati untuk dikasihi

Munsyid : Dehearty

Bumi sakura hampir tiba ke penghujung Julai, namun rintik hujan masih menemani. Rupanya musim panas masih belum tiba sepenuhnya. Taufan sudah mula menjengah kelibatnya beberapa hari belakangan ini. Juga gempa bumi berukuran 3 skala Richter mengejutkan saya yang tengah kebosanan dengan nota-nota peperiksaan semalam. Hukum alam, siapa yang mampu menduga.

Tahniah saya ucapkan kepada beberapa sahabat yang sudah bergelar puan, dan sahabat yang akan bergelar puan, Ogos nanti. Moga kebahagiaan milik kalian.

Satu pesanan dari saya kepada sahabat yang akan bergelar suami, wanita itu dicipta dari rusuk lelaki maka seorang lelaki itu hanya memerlukan satu sahaja tulang rusuk buat pelengkap hidup. Kalau siapa yang kahwin lebih, maka tulang rusuknya akan lebih dua, tigalah gitu! Ha ha. Sekadar gurauan, jangan benci saya..(Saya tengah kesedihan kerana gagal menjawab soalan peperiksaan dengan baik.)

Cuba tanya doktor, lelaki punya berapa tulang rusuk, perempuan punya berapa? Sila tinggalkan jawapan anda diruangan komen. Soalan menguji pengetahuan anda, dan pastinya tokkura punya jawapannya!

Entri ciplak dari Tuan Tanah. Moga dihalalkan.





Friday, July 13, 2007

Anak tapir

Beberapa hari kebelakangan ini, saya rasa muak membaca suratkhabar. Muak menatap blog-blog beberapa orang penulis berpengaruh negara. Saya rasakan, Malaysia sudah tidak dapat diselamatkan. Mungkin entri saya hari ini kedengaran seperti berhaluan kiri, tapi biarlah. Bukan itu yang saya perjuangkan. Sekadar mahu berkongsi apa yang saya fikir tentang Malaysia masakini.

Pemimpin Satu
Saya pernah menyimpan harapan besar kepada pimpinan negara ketika Tun berundur dari arena politik. Saya mengkagumi Tun kerana wawasan dan cita-citanya yang hebat. Belum ada dalam sejarah perdana menteri Malaysia yang bijak seperti Tun. Cuma Tun kurang menitik beratkan hal ehwal agama, itu sahaja. Bila Pak Lah naik, saya doa moga segala cita-cita Pak Lah tercapai. Alangkah bagusnya sekiranya kempen membasmi rasuah Pak Lah berjaya. Tapi sebaliknya yang terjadi. Sejak pembebasan Tan Sri Eric Chia, bekas Pengarah Urusan Perwaja Steel Sdn Bhd daripada tuduhan rasuah, saya sudah tidak menyimpan harapan. Kemudian Ezam Mohd Noor, pengerusi GERAK menyerahkan dokumen 632 mukasurat kepada Pak Lah sebagai bukti seorang menteri telah menerima rasuah. Namun, sehingga ke hari ini masih belum ada pengumuman dari Pak Lah tentang menteri berkenaan. Saya ragu, benarkah Pak Lah ingin membasmi rasuah? Ini belum saya sebutkan lagi kisah bagaimana SCOMI berjaya untung lebih 1000% selepas saja Pak Lah menjadi PM. Aarghh..syaitan suka meletakkan perasaan syak wasangka sesama muslim. Tak tahu tentang SCOMI? Apa kata anda Google perkataan SCOMI dan Kamaludin.

Pemimpin Dua
Orang munafik tidak boleh menjadi pemimpin. Anda setuju? Syaitan suka memasukkan jarum dalam hati saya untuk syak wasangka. Burmaa Oyunchimeg atau Amy, sepupu kepada Altantuya Shaariibuu mendakwa sepupunya pernah menunjukkan gambar pemimpin kedua negara pernah ke restoran Perancis makan-makan dengan Altantuya Shaariibuu dan tertuduh Razak Baginda. Sedangkan pemimpin kita ini berkali-kali menegaskan beliau tidak pernah mengenali mangsa. Sepatutnya saya mempercayai pemimpin kitakan? Tapi ketika Altantuya Shaariibuu mahu pulang ke negara asalnya, laporan data di KLIA mengatakan Altantuya Shaariibuu tidak pernah masuk ke Malaysia. Pelikkan, siapalah yang berkuasa memberi arahan untuk memadamkan data imigresen. Perbicaraan mahkamah juga pelik. Tidak sabar untuk mengetahui pengakhirannya, malah lebih excited berbanding menanti buku terakhir Harry Potter 21 Julai nanti. Ha ha.

Kalau mahu senaraikan perkara yang berlaku dalam Malaysia sejak kebelakangan ini, panjang entri ini. Entah-entah saya ditahan kerana menyebarkan propaganda. Walau tidak sehebat tulisan beberapa penulis negara yang dituduh meracun rakyat, pun begitu saya tetap tidak mahu dipaksa mendaftar kerana memiliki sebuah blog. Sekadar tulisan suka-suka melahirkan rasa pelik tentang kepemimpinan Malaysia. Itu baru saya sebut satu dan dua. Pemimpin Malaysia ada ramai. Kalau senaraikan barisan senator saja, penat tangan menaip.

Saya tamatkan di sini saja. Terkesan dengan dua berita menarik hari ini. Kata Tok Guru Nik Aziz, 'Pemimpin Pas merokok tidak akan jadi calon pilihan raya'. Syabas Tok Guru! Dan satu lagi, 'Anak tapir kembar pertama dilahirkan'. Teringat abah kat kampung.

Thursday, July 12, 2007

Jom Kahwin


KES 1
'Sayang, jom kita kahwin kat Siam..!'
Hah, apa jawapan anda kalau yang tercinta ajak kahwin kat Siam? Dah bertahun-tahun bercinta, bertahun-tahun kumpul duit nak kahwin, tapi makin dikumpul makin mahal hantaran yang diminta bakal mertua anda. Kekasih anda memang tak kisah berapa hantaran yang diberi, tapi bakal mertua anda tak mahu ketinggalan zaman. Harga hantaran perlu mengikut harga semasa. Gaji kakitangan awam semua dah naik. Makin ditunggu, nanti gaji minimum pekerja swasta pula yang naik. MTUC dah semakin seronok berpiket sekarang ni. Tak larat nak tunggu lama lagi. 'Jom sayang, kita kahwin kat Siam.'

KES 2
'Abang, kita kahwin kat Siam sajalah...!'
Melentok kepala kekasih anda kat bahu, mengajak anda kahwin kat sana. Penat juga anda fikirkan masalah korang berdua. Dah masuk tahun ketiga bercinta. Dua tahun secara senyap-senyap, setahun secara terang-terangan. Macam dakwah zaman nabi pula anda rasakan. Duit dah cukup, tapi mak anda pula tak kasik. 'Kau tu keturunan Syed, kau nak kahwin ngan budak perempuan entah mana keturunan tu?'. Hari-hari kena dengar bebelan mak, hanya kerana kekasih jantung hati anda tiada Sharifah. Yang ada hanya Siti di depan namanya. 'Cantik apa mak nama Siti Bedah!' Jerit hati anda. Hujung minggu ni kita ke Siam ye sayang..

KES 3
'Saya tak kisah apa orang nak kata, kita kahwin kat sana ye..'
Susah..susah... Itulah, siapa suruh tak belajar tinggi-tinggi dulu. Padahal masa mengorat sang kekasih dulu, dah sedar perbezaan taraf IQ masing-masing. Sekarang siapa yang susah. Masa pergi jalan-jalan ke rumah si jantung hati dulu, mahu taknya berdesing telinga bila bakal mak mertua tanya kerja apa, anda dengan tak tahu malunya menjawab, 'operator kilang makcik'.'Owwh..ingatkan kekasih si Lela, rupanya pekerja bawahan Lela.' Nak buat macam mana, dah hati tersangkut dengan Ketua Jurutera, makcik! Akhirannya, mak Lela suruh korang putuskan hubungan. Pulanya perempuan berjawatan tinggi ni, tegas dengan prinsip - biar dibuang keluarga, Malaysia negara demokrasi, jom sayang kita ke Perlis hujung minggu ni.

KES 4
'I tak kira apa mama nak kata, I yang nak kahwin, bukan mama!'
Inilah masalahnya kalau ayah anda orang kuat parti pembangkang, bakal mak mertua anda orang kesayangan kerajaan. Memang sah-sah percintaan anda tidak direstui. Padahal baru hari ini bakal mak mertua anda buat kenyataan kat Utusan Malaysia - sistem shariah bukan punca ramai pasangan kahwin kat Siam. Memanglah Datuk, shariah tidak pernah menyusahkan pasangan yang mahu berkahwin, yang susahnya adat dan permintaan semasa. Sebab itulah ramai yang lari ke Siam. Cuba kalau Datuk ubah mentaliti masyarakat, pasti ramai saja yang kahwin dalam negara. Susah tu nak ke Siam senyap-senyap!


* Sebarang kes yang disebut di atas adalah sekadar coretan tokkura. Tiada kena mengena dengan yang masih hidup, yang sudah meninggal dunia atau yang akan lahir.
** Kasihan orang zaman sekarang, nak kahwin pun perlu ke luar negara. Nasib baiklah rumah tokkura setengah jam saja dari Siam. Senang nak pergi kahwin.. Ha ha.

Sunday, July 08, 2007

Menjemput Bidadari



"Saya mahu awak dengar lagu 'Menjemput Bidadari' nyanyian Epicentrum."

Ummu umar memberitahu, via Yahoo Messenger. Saya tersenyum melihat message ummu umar. Tak perlu diberitahu, lagu itu memang saya ketahui. Namun begitu terima kasih kerana terfikir untuk 'dedicate'kan lagu itu buat saya. Dan saya juga terfikir untuk 'dedicate'kan lagu ini buat sahabat pembaca Bicara Kalam sekalian.

Sesungguhnya telah Allah janjikan untuk tiap seorang dari kamu. Tidak perlu kamu mencari dan menggadai diri untuk merebut cinta kekasihmu. Jika benar dia untukmu, maka penyatuan itu akan tiba. Jaga akhlak jaga pergaulan. Pesanan dari saya, kerana saya sayang kamu -


Menjemput Bidadari
Munsyid : Epicentrum

Bila yakin telah tiba
Teguh didalam jiwa
Kesabaran menjadi bunga

Sementara waktu berlalu
Penantian tak berarti sia sia
Saat perjalanan adalah pencarian diri

Laksana Zulaikha jalani hari
Sabar menanti Yusuf sang tambatan hati
Dipenantian mencari diri
Memohonkan ampunan dipertemukan

(Reff)
Segera kan kujemput engkau bidadari
Bila tiba waktu kutemukan aku
Ya Ilahi Robbi keras ku mencari diri sepenuh hati
Teguhkanlahku dilangkah ini
Dipencarian hakikat diri
Dan izinkan kujemput bidadari
Tuk bersama menuju Mu mengisi hari...

Kini yakin telah tiba
Teguh didalam jiwa
Kesabaran adalah permata
Dan waktu terus berlalu
Penantian tak berarti sia sia
Saat perjalanan adalah pencarian diri

Laksana Adam dan Hawa
Turun ke bumi terpisah jarak waktu
Dipenantian mencari diri
Memohonkan ampunan dipertemukan

Bidadari telah menyentuh hati
Teguhkan nurani
Bidadari telah menyapa jiwa
Memberikan makna...





Wednesday, July 04, 2007

Merokok

Saya dan beberapa sahabat membuat keputusan untuk menikmati hidangan tengah hari di sebuah restoran makanan halal di pinggir bandar Ikebukuro lewat Ahad lepas. Sedang kami menunggu makanan yang dipesan dihantar ke meja, kelihatan beberapa pelajar lelaki Melayu yang baru sahaja tamat mengikuti kursus kepimpinan Islamik (khabarnya dijalankan di Ootsuka bersebelahan stesen Ikebukuro) melangkah masuk ke dalam restoran. Kedengaran suara salah seorang dari mereka memberitahu pelayan jumlah mereka yang sebelas orang dan minta ditunjukkan meja kosong. Senior barangkali, sekaligus merangkap ketua mereka. Hidangan yang diminta tiba di meja, dan apa lagi - makan sajalah.

Tiba-tiba saya mula pening-pening dengan satu bau yang tidak menyenangkan. Bau rokok! Uwaa.. walaupun saya masih boleh bertolak ansur, tapi masih tidak menyenangkan. Saya sebutkan kepada sahabat di sebelah, 'peningnya bau rokok.' Ketika itu saya tidak tahu siapakah yang sedang menyedut asap maut itu, bahkan dalam hati sempat lagi berfikir mungkin budak-budak lelaki yang baru masuk ke kedai sekejap tadi. Kedai itu kecil amat, dan bau yang ada merebak ke seluruh penjuru kedai. Kemudian saya diberitahu pakcik di sebelah saya yang sedang merokok. Sahabat saya sambil tergelak kecil, 'takkan barisan bakal pemimpin itu yang merokok, tak lojiklah pula.' Tertegun saya seketika. Maaf kerana mengesyaki kalian. Barulah saya sedar, sebelas orang pelajar universiti itu memang tidak merokok langsung! Alhamdulillah - sesiapa yang mahukan calon suami yang sihat, boleh saya perkenalkan. Ha ha.

Perkara merokok ini sudah lama menjadi satu isu yang tidak habis dibahas. Semua orang sudah muak mendengar. Ketika Dato' Ishak Baharom menjadi mufti Selangor, beliau telah mengeluarkan fatwa bahawa merokok itu HARAM. Tetapi, di ceruk manakah rakyat Selangor yang tidak merokok? Apa jawatan mufti itu hanya sekadar boneka, rakyat tetap juga tidak mendengar pendapat alim ulama.

Kemudian kita diberitahu oleh pelbagai media, kawasan Parlimen adalah kawasan larangan merokok sebenarnya. Tapi masih ada asap maut itu berkepul-kepul memenuhi ruangan Parlimen. Kawasan Parlimen bukanlah ruangan keluar masuk orang awam sesuka hati, hanya barisan pemimpin Malaysia tercinta yang menghadiri sebarang perbahasan di sana. Siapa, pemimpin Malaysia? Alaahai.. pemimpin yang buat hal, apa gunanya digazetkan fatwa atau dilancarkan kempen larangan merokok.

RM 20 juta telah dilaburkan untuk melaksanakan kempen Tak Nak. Kemudian, sekarang Kementerian Kesihatan pula melancarkan kempen Jom Tak Nak Merokok. Kata Roslan SMS, ada beza ke tema dua kempen tersebut? Sekali lagi RM 20 juta (mungkin lebih) akan dilaburkan untuk kempen ini. Sama-samalah kita bazirkan duit rakyat..Ha ha (ketawa pahit).

Tok Guru Nik Aziz sendiri pernah menyatakan rasa peliknya dengan sikap sesetengah pemimpin dan juga barisan imam. Kata Tok Guru, 'apa yang paling pelik ialah imam yang merokok, lebih-lebih lagi sambil berjalan.' Sepatutnya mereka inilah yang menjadi role model kepada generasi muda zaman sekarang. Salah siapa kalau zaman sekarang, pelajar-pelajar (terutama pelajar sekolah menengah) merokok secara terbuka siap berseragam sekolah lagi. Kata ibu bapa, 'kami tidak mengajar anak-anak merokok, semuanya pengaruh kawan-kawan.' Bapa kencing berdiri, anak kencing berlari. Ayah merokok di rumah, kotak rokok terdedah di atas meja untuk capaian bila-bila masa, bahkan siap minta anak pergi belikan rokok kat kedai Pak Mat. Mentang-mentanglah Pak Mat tahu rokok tu untuk ayahnya, bukan anaknya. Boleh percaya ke ayah?!

Entahlah, itulah saya katakan tadi. Bahaslah beberapa lama sekalipun. Keluarkanlah dalil atau apa sahaja, tabiat merokok takkan hilang dari rakyat Malaysia (terutama sekali orang Melayu). Seperti kata Laksamana Hang Tuah - takkan Melayu hilang di dunia. Yang tak hilangnya adalah perangai kemelayuan itu!

Sahabat saya sekalian, apa kata kalau kita buat kempen tak nak kahwin dengan mereka yang merokok? Kalau SEMUA perempuan melaksanakan kempen ini, confirm semua lelaki-lelaki itu akan tinggalkan rokok. Ha ha.





* Takkan Melayu hilang di dunia, tapi bahasa Melayu dah lama hilang. Masih sedih dengan keputusan pemimpin Melayu negara (mengeluh).
** Paling rasa sedih sekiranya melihat perempuan cantik ayu, tetapi mengepit puntung rokok di hujung jari runcing itu.