Bicara kalam...

Wahai Muhammad!Kobarkanlah semangat para mukmin untuk berperang. Jika ada 20 orang yang sabar di antara kamu, nescaya mereka dapat mengalahkan 200 orang musuh. Dan jika ada 100 orang yang sabar di antara kamu, nescaya mereka dapat mengalahkan 1000 orang kafir, kerana orang-orang kafir itu adalah kaum yang tidak mengerti. Al-Anfal:65

My Photo
Name:
Location: Shah Alam, Selangor, Malaysia

Dilahirkan di Pasir Mas, Kelantan, menamatkan ijazah sarjana muda di Saitama University dan ijazah sarjana di Shibaura Institute of Technology dalam Kejuruteraan Mekanikal. Bertugas sebagai pensyarah Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, UiTM Shah Alam. Sebarang ambilan dari blog ini, diharap dengan kebenaran. Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku hanya untuk Allah, tuhan semesta alam.

Monday, January 29, 2007

Haikei, chichi ue sama

Haikei, chichi ue sama...
(Ke hadapan ayahanda...)

Kata kakanda, ukhuwah itu satu perkara yang kompleks. Jika tidak menjaga hubungan dengan Allah, jika tiada rasa cinta sesama saudara, maka ukhuwah itu sukar berlaku. Juga, jika kita bertemu hanya atas dasar satu tanggungjawab, bukan kerana kecintaan, maka perlu diteliti semula perjalanan ukhuwah itu. Lagi, kata kakanda... jika kita berlari tidak parallel dengan saudara-saudara kita maka Allah akan menggugurkan kita dari perjuangan itu. Mampukah stamina anakanda berlari selari dengan mereka?

Chichi ue sama...
(Ayahanda)

Kata seorang sahabat, andai kita mengimpikan sesuatu yang jauh dari kita, punya nilai yang tinggi dibandingkan dengan diri kita, maka kita perlu berusaha. Berusaha untuk mendapatkan ia meski hakikatnya ia terlampau jauh dari kenyataan. Perlukah anakanda berusaha?

Chichi ue sama...

Sebagai muslim, hidup kita punya matlamat. Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah, tuhan semesta alam. Setiap hari anakanda berjanji dengan penciptaNya untuk setia. Namun sebagai manusia kerdil, hati ini punya nafsu untuk berfoya-foya mensia-siakan masa dunia yang pendek ini. Dan pernah terlintas betapa berat tanggungjawab yang tergalas sehingga mengganggu masa bergembira bersama teman. Tidak mahu masa gembira itu dirampas semata-mata untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang umat Islam. Bilakah kiranya anakanda akan mampu mengatasi perasaan ini?

Chichi ue sama...

Mampukah anakanda?

Tuesday, January 23, 2007

C.I..N.T.A

Pernah dengar satu kata-kata...

Tuhan memberi kita dua kaki untuk berjalan, dua tangan untuk memegang, dua telinga untuk mendengar dan dua mata untuk melihat. Tetapi mengapa Tuhan hanya menganugerahkan sekeping hati pada kita? Kerana Tuhan telah memberikan sekeping lagi hati pada seseorang untuk kita mencarinya. Itulah namanya Cinta...

Beberapa hari yang lalu, seorang teman pernah bertanya saya. Bagaimana manusia boleh begitu senang berubah hatinya? Walau mereka sentiasa berkata, bukan aku yang memilih untuk memutuskan perhubungan, tapi dia yang meminta. Namun, kalau sudah tiga kali kamu diminta untuk memutuskan hubungan, dan kamu sedang bercinta untuk kali keempat, pastinya ada salah di mana-mana yang tidak kamu sedari. Asasnya, bagaimana kamu boleh begitu mudah untuk jatuh cinta kali kedua, setelah hati kamu pernah kamu berikan pada seseorang untuk pertama kalinya. Seharusnya, kamu hanya memiliki sekeping hati, bukan begitu?

Saya. Terkebil-kebil. Diam. Benarkah Tuhan hanya anugerahkan kita sekeping hati hanya untuk mencintai seorang insan sahaja? Tidak mungkinkah kita ditakdirkan untuk bertemu dengan orang yang salah hanya untuk menjadi penyebab untuk kita bertemu dengan yang tepat?(Kata tokkura, bahasa saya semakin teruk. Sesiapa yang tidak memahami ayat saya, sila tinggalkan komen anda.)

Juga.. bukankah maksud CINTA itu luas? Sila jangan sempitkan maksud cinta dalam diri anda, dengan hanya memfokuskan cinta kepada insan berlainan jantina sahaja. Bagi saya, cinta itu terlalu luas, sehinggakan saya tidak punya masa untuk hanya memikirkan kenapa saya perlu menyayangi hanya dia, yang ternyata tidak memilih saya sebagai temannya. Namun, ternyata manusia itu unik. Apa sekalipun pendapat saya, belum tentu anda boleh menerimanya.

Kepada sahabat saya RF, sekiranya anda terbaca entri saya kali ini, harap boleh menerima pendapat saya yang biasa ini. Kerana saya hanya seorang pencinta biasa, sedang kamu insan yang teramat setia dengan cinta. Benar saya hanya punya sekeping hati, namun Tuhan anugerahkan saya dengan sekeping hati yang luas... untuk saya jatuh cinta bukan hanya sekali.

**Kepada ummu umar, maaf kerana saya menitipkan karya kamu di laman ini tanpa kebenaran. Sekiranya ada bantahan, mesej saya ye.
**Kata tokkura, Tuhan anugerahkan kita satu hidung, maka perlukah kita mencari yang satu lagi itu?
**Kepada RF, sebuah sajak hasil nukilan seseorang yang saya cinta.

Cinta

Bersama cinta aku melangkah
bersama cinta aku menyusur
bersama cinta aku menari
bersama cinta aku melukis...riang

Ku bersama cinta..
sekelip mata cuma
ku petik bintang cinta
ku tulis karya cinta
kerana aku cinta cinta

kerana cinta itu dihati
pastikan ku rindu kamu...cinta

Nukilan :
ummu umar
yurakucho sen densya

Saturday, January 20, 2007

Salam Maal Hijrah


Alhamdulillah dan tahniah dari saya serta tokkura kepada semua umat Islam dengan kehadiran 1 Muharam 1428 H.

Monday, January 15, 2007

Terima kasih

Indah ia dimulakan taaruf
Makin indah disimpul tafahum
Bertambah indah ditenun taawun
jua takaful.

Hati tenang
damai
Kerana hadirnya ia
Menghiasi ruangan
bukan sekadar perhiasan.

Terima kasih
pada
sebuah ukhuwah itu.





Saturday, January 13, 2007

Bangsaku

Penat. Dunia makin sakit. Tenat. Allah S.W.T mahu menguji. Atau. Sudah murka? Banjir makin menjadi, pembunuhan berleluasa. Rogol perkara biasa. Namun, yang dibimbangkan hanyalah kemasukan beras dari US? FTA yang bakal dilaksanakan 2010 nanti?

Apa nasib saudara di Palestin sana. Apa resah sahabat di Iraq jua Falujjah tidak mendapat tempat di hati masyarakat? Ahh..isi perut sendiri juga yang dirisaukan. Maafkan aku, bangsaku dan rakyatku kerana masih lena, dalam ruang kemerdekaan ini.

Walau berdegar Pak Lah membangkang, walau gegak gempita aktivis keamanan di Amerika bersuara, namun laknat itu masih bermaharaja lela. OIC, PBB, usah ditubuhkan andai tidak mampu melaksanakan tugasan masing-masing. Bukan aku mencaci mengkritik, tapi itulah hakikat dunia.

Pengunduran tentera dari bumi Iraq? Hanya harapan yang tidakkan kesampaian. Keamanan milik saudara di Iraq? Haha... jauh panggang dari api. Usah diimpikan kemanisan jika yang hadir hanya kepahitan. Belum lagi aku tanyakan, apa khabar saudaraku di Palestin? Berapa orang sudah terbunuh hari ini? Sedih, simpati? Tidak cukup jika sekadar simpati, namun masih enak menonton Akademi Ilusi Syaitan dan sibuk menghantar sms.

Sedarlah bangsaku, rakyatku. Dari Rafah ke Bait Hanun, setiap meter persegi tanah yang ada, tidak akan wujud ruang yang sunyi kosong daripada kelongsong peluru tentera Zionis. Dari pesisir Mediteranean di Elei Sinai ke Erez kemudian terus ke Kem Khan Younis tempat sahabat-sahabatku berlindung, setiap satu inci tanah yang ada, pernah dan akan menjadi saksi bahawasanya di sini pernah mengalir darah setiap warga Palestin. Dan kita, rakyat Malaysia masih bergembira.

Lalu, pasti ada yang akan bertanya; uwaa..berdegar-degar kau mengkritik rakyat Malaysia, bukankan kau juga dilahirkan di Malaysia? Apa yang pernah kau lakukan untuk `sahabat-sahabat dan saudara-saudara` kau di sana? Kenapa tidak kau tembak sahaja Zionis laknat itu?

Aku. Tunduk. Kesal dengan diri yang lemah ini. Namun bertambah kesal, dengan bangsa yang pantas melatah mencari kelemahan yang lain.

Aku. Menangis. Lagi.


Terkini Palestin:

Tuesday, January 09, 2007

Teratai


Hai Bilal, sudahkah kamu membuat keputusanmu untuk beriman kepada Allah?

Ya Abu Bakar, mengapa tidak kau tunggu sahaja sehingga hari siang. Maka tidak perlulah kau mengharungi padang pasir di waktu malam kelam, bertarung nyawa semata-mata hanya untuk bertanyakan aku soalan itu. Sudah aku katakan, akan aku berikan jawapannya esok.

Sesungguhnya aku risau, seandainya usiamu tidak panjang untuk kau melihat cahaya hari esok. Sekiranya kau meninggalkan dunia dalam kekufuran tanpa sempat mengenal Penciptamu, maka aku akan kesal kerana menunggu sehingga hari esok.

Itulah Saidina Abu Bakar r.a., antara mereka yang dijanjikan Allah merasai syurgaNya kelak. Sedangkan Bilal bin Rabbah r.a. sendiri tidak memikirkan kematiannya di saat itu, sebaliknya Saidina Abu Bakar pula yang risau andai Bilal tidak sempat memeluk Islam. Betapa hebatnya semangat dakwah Saidina Abu Bakar, sehinggakan sanggup meredah padang pasir di malam hari demi mengIslamkan seorang sahabat. Dan kita, masih punya peluang untuk menonton televisyen dan bersenang lenang?

********

Saat pundi berisi wang dinar itu tiba kepada Sa'id bin Amir Al-Jumahy,pantas beliau menjawab, ‘inna lilahi wa inna ilaihi raji’un. (Kita milik Allah, pasti kembali kepada Allah).” Mendengar ucapannya itu, seolah-olah suatu mara bahaya sedang menimpanya. Kerana itu isterinya segera menghampirinya seraya bertanya, “Apa yang terjadi, hai ‘Sa'Id? Meninggalkah Amirul Mu‘minin?”

“Bahkan lebih besar dari itu!” jawab Sa’id sedih. “Apakah tentara muslimin kalah berperang?” tanya isterinya pula.

“Jauh lebih besar dari itu!” jawab Sa’id tetap sedih. ‘Apa pulakah gerangan yang lebih dari itu?” tanya isterinya tidak sabar. "Dunia telah datang untuk merosakkan akhiratku. Bencana telah menyusup ke rumahtangga kita,"jawab Sa'id mantap.

Itulah iman Sa'id bin Amir Al-Jumahy, dia telah membeli akhirat dengan dunia, dan mengutamakan keredhaan Allah dan Rasul atas segala-galanya. Kita, adakah mampu menolak dunia yang datang di hadapan mata, yang menjanjikan kebahagiaan sementara? Usahkan menghindari, malah tanpa segan silu mengejar dunia.


Sesungguhnya, dunia hanya sekadar sepohon tamar, tempat berteduh sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya. Satu ingatan dan pesanan dari tokkura kerana melihatkan saya semakin hanyut dalam arus dunia yang indah namun fana ini. Terima kasih kerana mengingatkan saya.