Bicara kalam...

Wahai Muhammad!Kobarkanlah semangat para mukmin untuk berperang. Jika ada 20 orang yang sabar di antara kamu, nescaya mereka dapat mengalahkan 200 orang musuh. Dan jika ada 100 orang yang sabar di antara kamu, nescaya mereka dapat mengalahkan 1000 orang kafir, kerana orang-orang kafir itu adalah kaum yang tidak mengerti. Al-Anfal:65

My Photo
Name:
Location: Shah Alam, Selangor, Malaysia

Dilahirkan di Pasir Mas, Kelantan, menamatkan ijazah sarjana muda di Saitama University dan ijazah sarjana di Shibaura Institute of Technology dalam Kejuruteraan Mekanikal. Bertugas sebagai pensyarah Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, UiTM Shah Alam. Sebarang ambilan dari blog ini, diharap dengan kebenaran. Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku hanya untuk Allah, tuhan semesta alam.

Thursday, September 20, 2007

Ramadhan Ini

Semalam Ikram mimpi, mimpi ngeri. Nyaris-nyaris dia terlepas Subuh. Kuala Lumpur turun salji! Mustahil, ya, memang mustahil. Malah teramat mustahil. Dan dia teruja-uja bermain kepul-kepul putih itu di pekarangan Menara Berkembar Petronas. Ramai yang turut serta, namun ramai juga yang beredar menjauhkan diri. Petaka dari Allah, dalam bulan mulia ini. Kepalanya penuh dengan perkataan mustahil, namun hatinya gembira bukan kepalang melihat salji. Pertama kali hidupnya dikelilingi salji putih itu. Akhirnya dia makin asyik, basah kuyup rambutnya. Salji makin lebat, dirinya hampir tenggelam dalam timbunan salji. Sedar-sedar dia mula kebekuan, nafasnya tersekat-sekat. Sudah lebih separuh badannya tenggelam dalam salji. Ikram menjerit meminta tolong. Namun semua orang sibuk melayan kegembiraan sendiri. Salji sudah mula mencecah dada. Ketika itulah Ikram menjerit merayu bantuan Allah. Sebuah tangan keras menarik Ikram dari timbunan salji, sungguh Ikram amat bersyukur.

Melihat hero yang menyelamatkannya, Ikmal! Sahabat teman serumah yang.. yang...yang dia..

Mustahil!!

Ikram tersedar. Panjang istighfarnya. Bergegas ke bilik air untuk berwuduk. Seperti hari biasa, Ikram terlepas waktu bersahur. Menjeling ke arah bilik Ikmal, kelihatan cahaya lampu menerangi dan kedengaran suara garau Ikmal mengalunkan bacaan quran. Ikram mengeluh. Sudah seminggu berpuasa, sudah lebih sebulan dia tidak bertegur dengan Ikmal. Ikram yang salah, namun egonya menghalang kata maaf untuk keluar dari bibir.

Isyak. Ikram termenung di atas sejadah. Berfikir samada mahu membaca al-quran, atau mendirikan solat terawih dahulu. Sudah seminggu Ramadhan bermula, seminggu jualah Ikram dan Ikmal kerugian kerana tidak berjemaah. Ikram mengeluh lagi.

*****

Ikmal mendengar bunyi paip dibuka. Tanda Ikram sudah terjaga untuk menunaikan solat Subuh. Sejak mula Ramadhan, Ikram masih belum pernah bersahur, juga belum qiam. Kebiasaannya Ikmal yang akan mengejutkan Ikram untuk bangun. Sahabatnya itu sangat susah untuk bangun dengan hanya bunyi alarm telefon bimbit atau jam loceng. Sudah sebulan jugalah mereka tidak pernah bertegur sapa dan makan bersama.

Ramadhan ini Ikmal kerugian amat. Kerana tidak bermaafan dengan sahabat, kerana tidak berjemaah, kerana tidak merebut pahala mengejutkan sahabat bersahur dan pelbagai lagi. Hanya kerana egonya. Dia tahu Ikram yang bersalah, maka kerana itu dia menunggu kata maaf keluar dari mulut Ikram. Tiada usaha untuk dia yang memulakan kata maaf itu. Beratkah untuk melafazkan sebuah kata maaf itu?!

Mimpi malam tadi benar menyentak hati Ikmal. Tuluskah dia sewaktu menarik Ikram dari timbunan salji itu? Mulanya ingin sahaja dia tinggalkan Ikram yang asyik dengan ilusi kegembiraan bermain salji. Sedangkan Ikmal tahu, suatu waktu nanti salji putih cantik itu akan cair. Meninggalkan puing-puing hampa dalam diri Ikram. Dia juga pernah melihat salji dan hampa dengan keindahannya yang hanya seketika. Ikram tidak pernah ke luar negara. Kerana itu Ikram teruja dengan kecantikan kepingan-kepingan kecil yang turun dari langit itu. Ikmal sekadar melihat Ikram tenggelam ditimbus salji yang makin lebat. Egonya masih tidak mahu menolong seorang sahabat yang hampir kesesakan nafas.

Saat Ikram menjerit menyebut nama Allah, tangannya pantas menarik tangan Ikram. Di luar sedar, telah dia buang semua egonya. Telah dia lupakan segala sengketa sebulan yang lampau hanya kerana Ikram menyebut nama Allah. Sedangkan bukan namanya yang diseru. Bukan nama Ikmal, tetapi 'Allah, selamatkanlah hambaMu ini.' Sungguh diluar sedar badannya bertindak menarik Ikram. Apakah ini tandanya ukhuwah mereka bertaut kerana cinta kepadaNya, maka dengan kecintaan kepadaNya jugalah mereka harus kembali menjahit rekahan persabahatan yang terjadi? Ikmal masih termenung, apakah dia perlu membuang egonya sedangkan dia yang ditumbuk Ikram, sedangkan Ikram yang terang-terangan bersalah?

*****

Ikram nekad, dia yang bersalah sebulan yang lampau. Meski sengketa itu tercetus kerana lidah lancang Ikmal, namun dia tahu teguran itu untuk kebaikannya. Bukan dia tidak arif dengan teman serumahnya itu, menegur tidak pernah mahu menjaga hati teman. Biarlah egonya runtuh menjadi debu, daripada dia melihat sebuah persahabatan yang hancur terbongkah. Ikram bangun dari sejadah, melangkah keluar. Di muka pintu, tercegat Ikmal.

Ikmal redha. Biarlah egonya yang dibuang. Ikram tidak lain tidak bukan, umpama adik kandungnya sendiri. Ikmal sudah bosan berbuka puasa seorang diri, terawih seorang diri, apatah lagi bersahur tanpa Ikram. Tangannya memegang tombol pintu bilik Ikram, dan kelihatan Ikram tergamam melihatnya. Ikmal tersenyum, Ikram sengih-sengih kerang menepuk bahu Ikmal. 7 Ramadhan itu, Ikmal dan Ikram terawih berjemaah.

Ukhuwah itu manis kerana adanya cinta kepada yang Esa.


(Gambar tiada kena mengena dengan entri kali ini)



Nota :
1. Idea tentang Kuala Lumpur dihujani salji diambil dari cerpen 'Turunnya di Kuala Lumpur' oleh Siti Zaleha M. Hashim dari Dewan Sastera edisi Mac 2007.
2. Apakah punca sengketa Ikram-Ikmal sebulan yang lalu tidak ditulis tokkura kerana mahukan idea daripada pembaca semua. Sila tinggalkan idea anda di ruangan komen.

Wednesday, September 12, 2007

Marhaban ya Nur!



Marhaban ya Nur!
(sempena kehadiran bulan barakah - Ramadhan)

Mencelah dari gelap futur
Mengintai dari tirai dosa
Mencari nur
Dari intaian, celahan selesa.

Tenggelam dalam noda
Terkikis dalam sibuk
Ditanya mengapa
Sedang nur berdiri tercatuk
jangan sampai diri terhantuk.

Kasih Rabb terhampar segalaksi
nur disisi berbasa-basi
Celik hati yang lama luka
tanpa rahmat merana.
Melukut kamu haq Malik
Kerna kamu bertuan.

Rebutlah, rampaslah!
Peluang diberi bukan sementelah
nur hadir minta ditatang
nur hadir minta disayang.

Selamat datang kepada seri
Selamat kembali kepada diri
Marhaban ya nur
Marhaban ya Ramadhan!




tokkura
1 Ramadhan 1428 H
Kopo Hara Giwa



Tuesday, September 11, 2007

Salam Ramadhan

11 September, bermakna kurang sehari lagi kita akan menyambut Ramadhan al-Mubarak. Bersediakah anda semua? Bersediakah saya untuk mengharungi Ramadhan tahun ini?



Kehadiran Ramadhan akan disambut oleh semua penduduk langit. "Apabila tiba malam pertama Ramadhan, akan dibuka semua pintu langit. Ia tidak akan ditutup walaupun satu pintu sehinggalah ke malam terakhir Ramadhan." (Riwayat Baihaqi)

Sahabat saya baru sahaja melancarkan kempen Ramadhan. Makanya saya juga mahu berkongsi kempen yang telah dilancarkan dengan semua. Mahu join saya dalam memeriahkan Ramadhan?

KEMPEN SEMPENA RAMADHAN

1) tilawah 30 juz
2) qiam - setiap malam
3) hafazan Quran (sila letakkan target anda masing-masing)
4) solat dhuha setiap hari
5) mathurat 2 kali sehari
6) bersedekah setiap hari
7) berakhlak terpuji sepanjang masa
8) menganjurkan iftar untuk teman-teman
9) menonton hanya berita (tanpa movies, tanpa dramas, tanpa anime)

Susah? Ya, teramat. Terutamanya untuk dhuha, mathurat dan yang pasti tanpa televisyen!! Macam mana ya untuk melatih diri ke arah yang lebih baik? Kerana itulah saya melancarkan kempen ini untuk pembaca tersayang sekalian. Mahu sambut cabaran saya? Atau lebih tepat kalau saya katakan cabaran dari Allah?

"Ramadhan datang kepada kamu. Ia adalah bulan keberkatan. Allah akan mendatangi kamu pada bulan ini, menurunkan rahmatNya, menghapuskan dosa dan memperkenankan doa. Allah melihat perlumbaan kamu di bulan ini dan berbangga dengan perlumbaan kamu itu di hadapan malaikatnya. Tunjukkanlah kebaikan dari dirimu di hadapan Allah. Sesungguhnya orang yang celaka adalah orang yang diharamkan dari mendapat rahmat Allah." (Riwayat Tobrani)






Wednesday, September 05, 2007

Cinta seperti ....

Berada dalam lingkungan mereka yang berusia awal 20an, pelbagai cerita berkisar cinta menjadi topik utama mungkin. Malah, beberapa teman sudah mula menjejakkan kaki ke alam perkahwinan. Tahniah dari tokkura, dan semoga kalian sentiasa menjalani alam rumahtangga yang barakah.

Kata saudara Hafez Iftiqar (seorang dari ahli grup karyawanluarnegara) di dalam blognya, 'cinta adalah sekelompok tahi'. Saya mungkin tidak akan menggunakan perkataan sebegitu, namun tidak pula saya tidak bersetuju dengan kenyataan yang ditulis saudara Hafez Iftiqar. Malah saudara Hafez Iftiqar juga telah menambah dalam kenyataaannya, 'cinta adalah seperti mengorek punggung'. Anda bacalah sendiri kata-katanya. Keji, marah, terhina atau terasa seperti diprovok? Anda lebih memahami istilah cinta pada diri anda. Di tahap manakah anda?

Bagi saya, cinta adalah seperti seorang kanak-kanak yang gembira bermain kahwin-kahwin sewaktu kecil dahulu. Apabila anda terbangun di waktu pagi hari, anda merasa gembira kerana punya janji dengan kawan untuk bermain kahwin-kahwin hari ini. Bergegas berpakaian cantik dan segera ke taman. Anda punya 'pasangan' anda, dan mula berangan untuk melakukan majlis persandingan dan sebagainya. Mula membina pinggan mangkuk plastik buat dijadikan alatan pinggan mangkuk rumah yang sebenar. Pura-pura gembira dengan menuang air atau memasak. Menunggu 'pasangan' anda pulang dari bekerja, dan sebagainya. Namun anda lupa, itu hanyalah anganan dan khayalan semata. Anda lupa pinggan mangkuk itu hanyalah plastik sahaja. Menjelang petang, anda akan dipanggil pulang ke rumah. Untuk menyiapkan homework yang terbengkalai kerana anda keluar bermain, dan untuk meneruskan solat yang anda tinggalkan kerana terlalu asyik bermain. Ya, anda punya tanggungjawab lain yang lebih besar untuk dilaksanakan. Sebagai seorang manusia, anda masih perlu meneruskan hidup dan tidak wajar anda lupa, anda punya Tuan yang sedang menunggu anda melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang hamba dan khalifah di muka bumi ini. Sudah selesaikah segala tanggungjawab anda sehingga anda punya banyak masa luang untuk bermain kahwin-kahwin?

Cinta itu dianugerahkan kepada setiap insan. Tidak wajar anda cemarinya dengan perbuatan seperti mengorek ..... , jua tidak wajar disamakan sebagai t***. Kemudian anda akan berkata, hanya mereka yang pernah bercinta akan memahami perasaan mereka yang bercinta. Makanya saya tidak punya hak untuk menghentam anda. Ya, mungkin anda benar! Namun saya juga manusia, punya rasa hati untuk menyayangi dan disayangi. Cuma yang saya minta, jangan kotorkan anugerah cinta itu. Pesanan dari saya yang (kata kamu) tidak pernah mengenal istilah cinta. Sayangilah diri kamu.

Sesungguhnya dosa lalu akan menjadi satu igauan ngeri.



**Tahniah dari tokkura kepada saudara Amir Muslim yang akan melangsungkan majlis perkahwinan pada 6 Syawal nanti.



Tuesday, September 04, 2007

Galeri September yang berdarah


Keranda Pejuang Hamas, Rabah Darwish dan Nabil Ibrahim AL- Su'aidi di arak ke tanah perkuburan di kem Pelarian Buriej di selatan Semenanjung Gazza pada 21 September 2004. Mereka terbunuh ketika sebuah Helikopter Tentera Jahanam Israel melepaskan peleuru berpandu ke kenderaan mereka lewat Hari Isnin dan mencederakan lapan yang lain.


Paramedik sedang membawa jenazah Beriza Aminawi, 19 tahun ke bilik mayat di Hospital di Utara Tebing Barat, pada hari Jumaat 17 September 2004. Menurut saksi dan kakitangan hospital, Tentera Jahanam Yahudi menembak wanita tersebut ketika menjalankan rondaan di kota Nablus.

Mereka yang gugur syahid (doa) dalam serangan 7 September lalu.


Dua orang anak Mahmoud Darabaih, meratapi jenazah beliau di Kem pelarian Jebaliya, Utara semenanjung Gazza, Jumaat 10 Sept 2004. Beliau terbunuh oleh tentera regim jahanam Israel semasa operasi ketenteraan secara besar-besaran.


Pemuda Palestin sedang membawa Munir Anwar Al Daqas, 10 tahun yang di tembak mati oleh tentera jahanam Israel, di Jebaliya pada Khamis 9 sept, 2004 .



Note: gambar kiriman mizy
Sumber:Palestinkini.info

Persetankan Merdeka!!


Dunia Tidak Pernah Merdeka
Kome-ken
Sept 4, 2007 (16:30)


Salam ukhuwah dari saya setelah sekian lama tidak menulis sesuatu untuk tatapan semua.

Berfikir-fikir, adakah patut saya menulis sesuatu tentang erti kemerdekaan, atau apa-apa sahaja yang berkaitan kemerdekaan sempena sambutan 50 tahun kemerdekaan Malaysia. Akhirnya saya memilih biarlah tajuk kemerdekaan itu diisi oleh penulis lain yang lebih memahami erti sebuah kemerdekaan.

Izinkan saya menulis secebis rasa hati setelah sekian lama tidak meluahkan apa yang saya fikir kebelakangan ini.

Bertahun saya memerhati perkembangan sahabat A, ternyata dia semakin hebat. Semakin memahami erti sebuah kehidupan yang dianugerahkan Allah ini. Berusaha untuk merealisasikannya walau apa sahaja mehnah dan tribulasi yang hadir. Semakin dia ke hadapan, hinggakan serasa dia teramat jauh. Saya masih belum mampu mengejarnya. Mendengar leteran dan teguran sahabat B, membuatkan saya semakin merasa hidup ini tidak semanis dan semudah yang dibentangkan mata. Tersinggung? Ya, teramat. Namun saya punya matlamat, mehnah kecil itu perlu saya atasi sesegera mungkin. Pernah anda dipuji, namun pujian itu membuatkan anda berkecil hati?

良く成長しましたねぇ。。ありがとう。。Kata-kata itu seolah satu kejian dan hinaan buat saya yang memang tidak layak untuk menerimanya. Kepada sahabat B, simpan dahulu pujian itu. Berikan ia sewaktu saya sudah kuat dan sudah mengerti erti hidup ini.

Pernah sahabat C memberitahu, 人生は甘くないゼ! dan saya hanya tersenyum. Benar sekali kata-katanya.

Ya, dakwah tidak dapat dipikul orang manja!!

Marilah kita telusuri perjalanan dakwah Abdul Fattah Abu Ismail, salah seorang murid Imam Hasan Al Banna yang selalu menjalankan tugas dakwahnya tanpa keluhan sedikitpun. Dialah yang disebutkan Hasan Al Banna orang yang sepulang dari tempatnya bekerja sudah berada di kota lain untuk memberikan ceramah kemudian berpindah tempat lagi untuk mengisi pengajian dari waktu ke waktu secara maraton. Ia selalu berpindah-pindah dari satu kota ke kota lain untuk menunaikan amanah dakwah. Sesudah menunaikan tugas dengan sebaik-baiknya, ia merupakan orang yang pertama kali datang ke tempatnya bekerja. Malah, ia yang membukakan pintu gerbangnya.

Pernah ia mengalami keletihan hingga tertidur di sofa rumah Zainab Al-Ghazali. Melihat keadaan tubuhnya yang lelah dan penat itu, tuan rumah membiarkan tetamunya tertidur sampai bangun. Setelah menyampaikan amanah untuk Zainab Al Ghazali, Abdul Fattah Abu Ismail meminta izin untuk ke kota lainnya. Kerana keletihan yang dialaminya, Zainab Al Ghazali memberikan belanja untuk naik teksi. Abdul Fattah Abu Ismail mengembalikannya sambil mengatakan, “Dakwah ini tidak akan dapat dipikul oleh orang-orang yang manja.” Zainab pun menjawab, “Saya sering ke mana-mana dengan teksi dan kereta-kereta mewah, tapi saya tetap dapat memikul dakwah ini dan saya pun tidak menjadi orang yang manja terhadap dakwah. Kerana itu, pakailah duit ini, tubuhmu letih dan engkau memerlukan istirehat sejenak.” Ia pun menjawab, “Berbahagialah ibu. Ibu telah berhasil menghadapi ujian Allah (SWT) berupa kenikmatan-kenikmatan itu. Namun, saya khuatir saya tidak dapat menghadapinya sebagaimana sikap ibu. Terima kasih atas kebaikan ibu. Biarlah saya naik kenderaan umum saja.”

Mampukah anda menjadi seperti Abdul Fattah Abu Ismail?

Abdul Fattah Abu Ismail hanyalah satu dari susunan batu bata yang membentuk Islam yang indah ini. Setiap seorang dari umatNya adalah satu jalinan untuk mengikat yang lain. Anda perlu menjadi kuat kerana dunia masih perlu diubah meski hanya anda yang tinggal di dunia ini. Kerana itulah anda perlu menjadi kuat.

Kitalah yang perlu menjadi seorang Umar al-Khattab yang mewakili keadilan umat, kitalah yang perlu menjadi seorang Khalid al-Walid yang mewakili umat di medan perang, kitalah yang perlu menjadi Mus'ab bin Umair dalam mewakili da'wah umat, kitalah yang perlu menjadi Muaz bin Jabal, Abdul Rahman bin 'Auf dan lain-lain. Jika bukan kita, maka siapakah yang akan menentang kezaliman Zionis. Siapakah yang akan menentang kedurjanaan 'mereka'.

Sahabat di Palestina, di Iraq, dan di segenap pelusuk dunia sedang menunggu saudara seagamanya untuk membantu mereka. Al-Quds tidak akan bebas dengan sendirinya meski Allah berkuasa melakukannya kerana Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaumNya melainkan mereka sendiri yang mengubahnya. Jangan kita jadikan tangisan anak-anak kecil di Ramallah dan Jerusalem jua di Acheh mahupun di Malaysia sendiri sebagai satu irama mengisi cuping telinga ini.

Jika bukan saya, jika bukan anda, siapakah yang akan menyelamatkan mereka?


Rujukan :
1. 'Dakwah Tidak Dapat Dipikul Orang Manja' oleh DH Al Yusni
2. 'Kamu Perlu Merubah Dunia Ini.. Walaupun anda keseorangan' oleh Dr. Kamaru Salam