Persetankan Merdeka!!
Kome-ken
Sept 4, 2007 (16:30)
Salam ukhuwah dari saya setelah sekian lama tidak menulis sesuatu untuk tatapan semua.
Berfikir-fikir, adakah patut saya menulis sesuatu tentang erti kemerdekaan, atau apa-apa sahaja yang berkaitan kemerdekaan sempena sambutan 50 tahun kemerdekaan Malaysia. Akhirnya saya memilih biarlah tajuk kemerdekaan itu diisi oleh penulis lain yang lebih memahami erti sebuah kemerdekaan.
Izinkan saya menulis secebis rasa hati setelah sekian lama tidak meluahkan apa yang saya fikir kebelakangan ini.
Bertahun saya memerhati perkembangan sahabat A, ternyata dia semakin hebat. Semakin memahami erti sebuah kehidupan yang dianugerahkan Allah ini. Berusaha untuk merealisasikannya walau apa sahaja mehnah dan tribulasi yang hadir. Semakin dia ke hadapan, hinggakan serasa dia teramat jauh. Saya masih belum mampu mengejarnya. Mendengar leteran dan teguran sahabat B, membuatkan saya semakin merasa hidup ini tidak semanis dan semudah yang dibentangkan mata. Tersinggung? Ya, teramat. Namun saya punya matlamat, mehnah kecil itu perlu saya atasi sesegera mungkin. Pernah anda dipuji, namun pujian itu membuatkan anda berkecil hati?
良く成長しましたねぇ。。ありがとう。。Kata-kata itu seolah satu kejian dan hinaan buat saya yang memang tidak layak untuk menerimanya. Kepada sahabat B, simpan dahulu pujian itu. Berikan ia sewaktu saya sudah kuat dan sudah mengerti erti hidup ini.
Pernah sahabat C memberitahu, 人生は甘くないゼ! dan saya hanya tersenyum. Benar sekali kata-katanya.
Ya, dakwah tidak dapat dipikul orang manja!!
Marilah kita telusuri perjalanan dakwah Abdul Fattah Abu Ismail, salah seorang murid Imam Hasan Al Banna yang selalu menjalankan tugas dakwahnya tanpa keluhan sedikitpun. Dialah yang disebutkan Hasan Al Banna orang yang sepulang dari tempatnya bekerja sudah berada di kota lain untuk memberikan ceramah kemudian berpindah tempat lagi untuk mengisi pengajian dari waktu ke waktu secara maraton. Ia selalu berpindah-pindah dari satu kota ke kota lain untuk menunaikan amanah dakwah. Sesudah menunaikan tugas dengan sebaik-baiknya, ia merupakan orang yang pertama kali datang ke tempatnya bekerja. Malah, ia yang membukakan pintu gerbangnya.
Pernah ia mengalami keletihan hingga tertidur di sofa rumah Zainab Al-Ghazali. Melihat keadaan tubuhnya yang lelah dan penat itu, tuan rumah membiarkan tetamunya tertidur sampai bangun. Setelah menyampaikan amanah untuk Zainab Al Ghazali, Abdul Fattah Abu Ismail meminta izin untuk ke kota lainnya. Kerana keletihan yang dialaminya, Zainab Al Ghazali memberikan belanja untuk naik teksi. Abdul Fattah Abu Ismail mengembalikannya sambil mengatakan, “Dakwah ini tidak akan dapat dipikul oleh orang-orang yang manja.” Zainab pun menjawab, “Saya sering ke mana-mana dengan teksi dan kereta-kereta mewah, tapi saya tetap dapat memikul dakwah ini dan saya pun tidak menjadi orang yang manja terhadap dakwah. Kerana itu, pakailah duit ini, tubuhmu letih dan engkau memerlukan istirehat sejenak.” Ia pun menjawab, “Berbahagialah ibu. Ibu telah berhasil menghadapi ujian Allah berupa kenikmatan-kenikmatan itu. Namun, saya khuatir saya tidak dapat menghadapinya sebagaimana sikap ibu. Terima kasih atas kebaikan ibu. Biarlah saya naik kenderaan umum saja.”
Mampukah anda menjadi seperti Abdul Fattah Abu Ismail?
Abdul Fattah Abu Ismail hanyalah satu dari susunan batu bata yang membentuk Islam yang indah ini. Setiap seorang dari umatNya adalah satu jalinan untuk mengikat yang lain. Anda perlu menjadi kuat kerana dunia masih perlu diubah meski hanya anda yang tinggal di dunia ini. Kerana itulah anda perlu menjadi kuat.
Kitalah yang perlu menjadi seorang Umar al-Khattab yang mewakili keadilan umat, kitalah yang perlu menjadi seorang Khalid al-Walid yang mewakili umat di medan perang, kitalah yang perlu menjadi Mus'ab bin Umair dalam mewakili da'wah umat, kitalah yang perlu menjadi Muaz bin Jabal, Abdul Rahman bin 'Auf dan lain-lain. Jika bukan kita, maka siapakah yang akan menentang kezaliman Zionis. Siapakah yang akan menentang kedurjanaan 'mereka'.
Sahabat di Palestina, di Iraq, dan di segenap pelusuk dunia sedang menunggu saudara seagamanya untuk membantu mereka. Al-Quds tidak akan bebas dengan sendirinya meski Allah berkuasa melakukannya kerana Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaumNya melainkan mereka sendiri yang mengubahnya. Jangan kita jadikan tangisan anak-anak kecil di Ramallah dan Jerusalem jua di Acheh mahupun di Malaysia sendiri sebagai satu irama mengisi cuping telinga ini.
Jika bukan saya, jika bukan anda, siapakah yang akan menyelamatkan mereka?
1. 'Dakwah Tidak Dapat Dipikul Orang Manja' oleh DH Al Yusni
2. 'Kamu Perlu Merubah Dunia Ini.. Walaupun anda keseorangan' oleh Dr. Kamaru Salam
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home