Bicara kalam...

Wahai Muhammad!Kobarkanlah semangat para mukmin untuk berperang. Jika ada 20 orang yang sabar di antara kamu, nescaya mereka dapat mengalahkan 200 orang musuh. Dan jika ada 100 orang yang sabar di antara kamu, nescaya mereka dapat mengalahkan 1000 orang kafir, kerana orang-orang kafir itu adalah kaum yang tidak mengerti. Al-Anfal:65

My Photo
Name:
Location: Shah Alam, Selangor, Malaysia

Dilahirkan di Pasir Mas, Kelantan, menamatkan ijazah sarjana muda di Saitama University dan ijazah sarjana di Shibaura Institute of Technology dalam Kejuruteraan Mekanikal. Bertugas sebagai pensyarah Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, UiTM Shah Alam. Sebarang ambilan dari blog ini, diharap dengan kebenaran. Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku hanya untuk Allah, tuhan semesta alam.

Thursday, September 20, 2007

Ramadhan Ini

Semalam Ikram mimpi, mimpi ngeri. Nyaris-nyaris dia terlepas Subuh. Kuala Lumpur turun salji! Mustahil, ya, memang mustahil. Malah teramat mustahil. Dan dia teruja-uja bermain kepul-kepul putih itu di pekarangan Menara Berkembar Petronas. Ramai yang turut serta, namun ramai juga yang beredar menjauhkan diri. Petaka dari Allah, dalam bulan mulia ini. Kepalanya penuh dengan perkataan mustahil, namun hatinya gembira bukan kepalang melihat salji. Pertama kali hidupnya dikelilingi salji putih itu. Akhirnya dia makin asyik, basah kuyup rambutnya. Salji makin lebat, dirinya hampir tenggelam dalam timbunan salji. Sedar-sedar dia mula kebekuan, nafasnya tersekat-sekat. Sudah lebih separuh badannya tenggelam dalam salji. Ikram menjerit meminta tolong. Namun semua orang sibuk melayan kegembiraan sendiri. Salji sudah mula mencecah dada. Ketika itulah Ikram menjerit merayu bantuan Allah. Sebuah tangan keras menarik Ikram dari timbunan salji, sungguh Ikram amat bersyukur.

Melihat hero yang menyelamatkannya, Ikmal! Sahabat teman serumah yang.. yang...yang dia..

Mustahil!!

Ikram tersedar. Panjang istighfarnya. Bergegas ke bilik air untuk berwuduk. Seperti hari biasa, Ikram terlepas waktu bersahur. Menjeling ke arah bilik Ikmal, kelihatan cahaya lampu menerangi dan kedengaran suara garau Ikmal mengalunkan bacaan quran. Ikram mengeluh. Sudah seminggu berpuasa, sudah lebih sebulan dia tidak bertegur dengan Ikmal. Ikram yang salah, namun egonya menghalang kata maaf untuk keluar dari bibir.

Isyak. Ikram termenung di atas sejadah. Berfikir samada mahu membaca al-quran, atau mendirikan solat terawih dahulu. Sudah seminggu Ramadhan bermula, seminggu jualah Ikram dan Ikmal kerugian kerana tidak berjemaah. Ikram mengeluh lagi.

*****

Ikmal mendengar bunyi paip dibuka. Tanda Ikram sudah terjaga untuk menunaikan solat Subuh. Sejak mula Ramadhan, Ikram masih belum pernah bersahur, juga belum qiam. Kebiasaannya Ikmal yang akan mengejutkan Ikram untuk bangun. Sahabatnya itu sangat susah untuk bangun dengan hanya bunyi alarm telefon bimbit atau jam loceng. Sudah sebulan jugalah mereka tidak pernah bertegur sapa dan makan bersama.

Ramadhan ini Ikmal kerugian amat. Kerana tidak bermaafan dengan sahabat, kerana tidak berjemaah, kerana tidak merebut pahala mengejutkan sahabat bersahur dan pelbagai lagi. Hanya kerana egonya. Dia tahu Ikram yang bersalah, maka kerana itu dia menunggu kata maaf keluar dari mulut Ikram. Tiada usaha untuk dia yang memulakan kata maaf itu. Beratkah untuk melafazkan sebuah kata maaf itu?!

Mimpi malam tadi benar menyentak hati Ikmal. Tuluskah dia sewaktu menarik Ikram dari timbunan salji itu? Mulanya ingin sahaja dia tinggalkan Ikram yang asyik dengan ilusi kegembiraan bermain salji. Sedangkan Ikmal tahu, suatu waktu nanti salji putih cantik itu akan cair. Meninggalkan puing-puing hampa dalam diri Ikram. Dia juga pernah melihat salji dan hampa dengan keindahannya yang hanya seketika. Ikram tidak pernah ke luar negara. Kerana itu Ikram teruja dengan kecantikan kepingan-kepingan kecil yang turun dari langit itu. Ikmal sekadar melihat Ikram tenggelam ditimbus salji yang makin lebat. Egonya masih tidak mahu menolong seorang sahabat yang hampir kesesakan nafas.

Saat Ikram menjerit menyebut nama Allah, tangannya pantas menarik tangan Ikram. Di luar sedar, telah dia buang semua egonya. Telah dia lupakan segala sengketa sebulan yang lampau hanya kerana Ikram menyebut nama Allah. Sedangkan bukan namanya yang diseru. Bukan nama Ikmal, tetapi 'Allah, selamatkanlah hambaMu ini.' Sungguh diluar sedar badannya bertindak menarik Ikram. Apakah ini tandanya ukhuwah mereka bertaut kerana cinta kepadaNya, maka dengan kecintaan kepadaNya jugalah mereka harus kembali menjahit rekahan persabahatan yang terjadi? Ikmal masih termenung, apakah dia perlu membuang egonya sedangkan dia yang ditumbuk Ikram, sedangkan Ikram yang terang-terangan bersalah?

*****

Ikram nekad, dia yang bersalah sebulan yang lampau. Meski sengketa itu tercetus kerana lidah lancang Ikmal, namun dia tahu teguran itu untuk kebaikannya. Bukan dia tidak arif dengan teman serumahnya itu, menegur tidak pernah mahu menjaga hati teman. Biarlah egonya runtuh menjadi debu, daripada dia melihat sebuah persahabatan yang hancur terbongkah. Ikram bangun dari sejadah, melangkah keluar. Di muka pintu, tercegat Ikmal.

Ikmal redha. Biarlah egonya yang dibuang. Ikram tidak lain tidak bukan, umpama adik kandungnya sendiri. Ikmal sudah bosan berbuka puasa seorang diri, terawih seorang diri, apatah lagi bersahur tanpa Ikram. Tangannya memegang tombol pintu bilik Ikram, dan kelihatan Ikram tergamam melihatnya. Ikmal tersenyum, Ikram sengih-sengih kerang menepuk bahu Ikmal. 7 Ramadhan itu, Ikmal dan Ikram terawih berjemaah.

Ukhuwah itu manis kerana adanya cinta kepada yang Esa.


(Gambar tiada kena mengena dengan entri kali ini)



Nota :
1. Idea tentang Kuala Lumpur dihujani salji diambil dari cerpen 'Turunnya di Kuala Lumpur' oleh Siti Zaleha M. Hashim dari Dewan Sastera edisi Mac 2007.
2. Apakah punca sengketa Ikram-Ikmal sebulan yang lalu tidak ditulis tokkura kerana mahukan idea daripada pembaca semua. Sila tinggalkan idea anda di ruangan komen.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home