Bicara kalam...

Wahai Muhammad!Kobarkanlah semangat para mukmin untuk berperang. Jika ada 20 orang yang sabar di antara kamu, nescaya mereka dapat mengalahkan 200 orang musuh. Dan jika ada 100 orang yang sabar di antara kamu, nescaya mereka dapat mengalahkan 1000 orang kafir, kerana orang-orang kafir itu adalah kaum yang tidak mengerti. Al-Anfal:65

My Photo
Name:
Location: Shah Alam, Selangor, Malaysia

Dilahirkan di Pasir Mas, Kelantan, menamatkan ijazah sarjana muda di Saitama University dan ijazah sarjana di Shibaura Institute of Technology dalam Kejuruteraan Mekanikal. Bertugas sebagai pensyarah Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, UiTM Shah Alam. Sebarang ambilan dari blog ini, diharap dengan kebenaran. Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku hanya untuk Allah, tuhan semesta alam.

Monday, May 28, 2007

Ummu `Imarah berbicara

Dia mengetahui bahawa kebaikan dan keburukan
mempunyai batas waktunya masing-masing

Nasibah binti Ka`ab (Ummu `Imarah) meriwayatkan tentang suasana dalam perang Uhud: "Aku keluar pagi hari untuk melihat apa yang dilakukan oleh pasukan kaum muslimin, sedang ketika itu aku membawa sebuah timba berisi air. Akhirnya aku berjumpa dengan Rasululah SAW bersama sahabat-sahabatnya, dan pada saat itu keadaan perang dikuasai oleh pasukan kaum muslimin. Ketika pasukan kaum muslimin mengalami kekalahan, aku bergabung dengan Rasulullah SAW, dan ikut terjun ke medan perang melindungi diri Rasulullah dengan pedangku dan melepaskan anak-anak panahku dari busurnya ke arah musuh, sehingga aku sendiri terluka.

Setelah kaum muslimin terdesak dan meninggalkan Rasulullah, datanglah Ibnu Qumai`ah seraya berkata:"Tunjukkanlah kepadaku Muhammad, aku tidak ingin selamat bila dia selamat dari tanganku."Aku pun menghadapinya bersama Mush`ab bin Umair. Dia melukaiku di bahu. Aku juga telah menebaskan pedangku berkali-kali di tubuhnya, namun musuh Allah itu menggunakan baju besi dua lapis."

Inilah perjuangan yang dilakukan oleh Ummu `Imarah yang dipuji oleh Rasulullah Shallallahu `alaihi wassalam melalui sabdanya:

Tidak sekali-kali aku menoleh, baik ke arah kanan mahupun ke arah kiri, dalam peperangan Uhud, melainkan aku melihatnya sedang bertempur melindungiku.

Bagaimana seorang wanita, berani mengadapi sebuah peperangan yang tercatat dalam seerah Islam dan saya- masih lagi bersedih kerana lisan seorang sahabat, dan kerana urusan dunia semata. Allahu akhbar.

*Petikan dari buku `Jangan bersedih-Jadilah Wanita Yang Paling Bahagia` tulisan Dr. Aidh bin `Abdullah Al-Qarni terjemahan Muhammad Huzaifah.

Friday, May 25, 2007

Tanya Imanmu Sahabatku



Angin puputnya lembut menerjah dahan

bintang mula muncul, bulan mula gemilang

dia berkata-

Aku tak punya keberanian itu kerana aku bukannya si fulan

bukan juga si fulanah yang tegar dengan prinsipnya

ada sejarah yang menarik dari melangkah

kosong dada jadi tembok suara.


Angin puput lagi, makin kencang

dahan mula tunduk ke bumi

entah menyembah Yang Esa, atau

mengalah dengan degil angin.

aku menjawab-

Kalau Umar bisa menyebar Islam

mampu jadi khalifah dengan sejarah jahiliyyahnya

maka kenapa beralasan sebegitu;

ilmu tidak cukup kerana kau tidak mencari.

Bukan begitu?

Yang tidak cukupnya adalah imanmu, bukan begitu?


Wahai sahabat.

Thursday, May 24, 2007

Hashika

Komeda Laboratory, May 24, 2007. Jam 1815.

Fujisawa: Weyh, esok universiti cuti. Takleh masuk kampuslah!

Ichimura: Aku pun ada dengar. Katanya tidak dibenarkan masuk kampus bermula esok sehingga 3 Jun. Tadi Kaneko ada sebut masa lunch.

Inuzuka: Kau biar betul. 10 hari lama sangat tu. Nanti tak siaplah research aku. Nak buat mende kat rumah 10 hari.. Kenapa lama sangat cuti?

Ichimura: Apa lagi, pasal `hashika` lah..Habislah Komeda-ken camni. Semua mesti tak siap kerja.

Saya: `Hashika`?! Malaysia kena `hedonisme` dah lama, tak pernah pula diumum darurat. Shibaura U saja besar-besarkan masalah `hashika` ni..

Fujisawa: Alaa...Malaysia ada Islam Hadhari. Siapa-siapa yang masuk Islam Hadhari dah kebal dengan `hedonisme`. Tak perlu protection lagi. Selalu sangat `hedonisme` menyerang Malaysia.

Inuzuka: Itulah pasal, dengan Islam Hadhari, `hedonisme` dah bukan penyakit. Hebat gila Islam Hadhari ye.. Eyh, Tokkura.. kau Islam Hadhari tak?

Saya: Huh?! Islam Hadhari, apa tu? Agama baru ke..? Ha ha..

Vocabulary:-
1. Komeda-ken : Komeda lab
2. Hashika : measles(an infectious disease, especially of children, that causes fever and small red spots that cover the whole body), senang cerita-demam campak
3.Hedonisme : Satu fahaman yang dipopularkan oleh Epicurus(341-270 B.C), suatu fahaman yang menganggap kesenangan dan kenikmatan material adalah tujuan yang paling utama dalam hidup.
4.Islam Hadhari : Ini pun tak tahu ke?!

*Entri kali ini adalah suatu fiksyen yang tidak mungkin terjadi dalam perbualan seharian di Komeda-ken kerana budak-budak yang disebut tu tidak mengetahui apa itu hedonisme dan sebagainya.
**Entri ini untuk mereka yang memahami sahaja. Siapa-siapa tak faham, abaikan.



Tuesday, May 22, 2007

Khaleed

"Pada belikat Habib tertulis Sharjeel, dan pada belikat enta tertera larikan tulisan Khaleed."-Jeneral Nusaybah

"Ana Sharjeel enta Khaleed. Ana pahlawannya, sedang enta panglimanya. Pada belikat kita berdua tertera nasib yang sama sedang menunggu. Ana Sharjeel Hasanah, pemuda Banu Adul, enta Khaleed ibnu Walid, pedang Allah yang akan menegakkan Islam."-Komander Habib

Komander Abdullah tahu dia takkan sempat ke mana-mana. Dipejamkan mata, menghubungi sahabat-sahabat yang lain dengan fikiran. Dalam fikiran mereka yang lain kedengaran isyarat Komander Abdullah melafazkan syahadah. Tiada komunikasi. Sidang komander kehilangan Komander Abdullah. Dia sudah berjaya. Dia syahid. Allahu.

"White house akan dikenali sebagai white mosque. Dan kota Washington akan digelar sebagai kota Emrullah."-Komander Muhammad Ameen (Khaleed)

*Petikan dari 1511H [Kombat] karya Faisal Tehrani. Saya impikan semangat futuwwah yang ada pada 11 sidang komander, pada as-Syahid Jeneral Nusaybah, pada al-Haj cyborg sekalian. Juga impikan ukhuwwah seperti Muhammad Ameen dan as-Syahid Komander Emrullah.
**Entri suka-suka hati. Tiada yang penting.


Thursday, May 17, 2007

Mimpi 1522 Hijrah

Karya asal : tokkura
May 17, 2007 4:45 pm

Saya terjaga, mata masih terpisat-pisat cuba menyesuaikan dengan keadaan yang sedikit terang selepas terjaga dari tidur. Cuba mengingati kembali, apa yang telah saya lakukan sebelum tidur. Itulah, ibu selalu berpesan, jangan tidur waktu remang senja, nanti boleh jadi gila. Haha.. Saya tersenyum sendiri mengingati amanat arwah ibu. Tubuh sasa itu, di mana Adam? Kembali saya tersenyum mengingatkan detik-detik romantis siang tadi. Adam memang romantis, berbeza dengan lelaki-lelaki lain yang saya kenali. Masih menyimpul senyum, saya kembali menarik selimut membalut badan.

“Ibu, kakak sudah bangun!”

Siapa? Suara kanak-kanak manakah itu? Gemersik sekali, seperti saya pernah berjumpa dengannya di suatu tempat. Dan tiba-tiba, suasana yang suram itu dilimpahi cahaya kalimantang terang benderang. Saya memejamkan mata cuba untuk menyesuaikan dengan jumlah cahaya masuk ke mata. Berdiri di hadapan saya seorang wanita berambut panjang hitam ke pinggang. Lurus dan cantik sekali. Mungkin dalam lingkungan pertengahan 40-an. Lembut wajahnya, sepertinya dia seorang ibu yang sangat penyayang dan di sisinya berdiri seorang kanak-kanak perempuan dalam usia sepuluh atau sebelas tahun. Seketika kanak-kanak itu cuba berselindung di belakang ibunya ketika bertentangan mata dengan saya.

“Bagaimana, sudah rasa sihat sedikit?”

Saya masih bingung. Tidak menjawab soalan yang dilemparkan. Suasana dalam bilik saya juga sudah berubah. Ya, masih bilik saya yang dahulu. Cumanya hiasan dalamannya sudah berubah, dan yang pasti, bukan milik saya. Kertas dindingnya dipenuhi dengan bunga-bunga kecil warna ungu, seolah seperti lavender. Katilnya juga bercadar ungu dan segalanya berwarna ungu. Ada meja belajar di suatu sudut, dan buku-buku disusun rapi. Ilmu hisab dan senibina, kejuruteraan mekanikal Islam…?? Peliknya nama. Ada sejadah, ada kopiah putih. Di mana saya?

“Ini bilik anak sulung saya, Amar. Kamu selamat saja, jangan risau.”

“Kejap, kejap.. siapa awak, siapa budak kecil tu, siapa Amar? Dan sini ni, rumah siapa. OK, ok, this is your house right?! Tapi kenapa dan bagaimana aku.. emm, saya boleh berada di sini?”

Wanita itu mengukir senyum. Mungkin berniat untuk mempersendakan saya yang kebingungan. Manusia memang suka mentertawakan manusia lain. Mencari kesalahan orang lain. Saya diajar oleh dunia untuk pesimis kepada semua orang, termasuklah Adam. Namun, senyumnya kelihatan ikhlas. Saya rasa selamat. Tenang.

“Saya Sumayyah. Ini Balqis.” Sambil tangannya memegang bahu kanak-kanak perempuan itu. Mata Balqis berwarna biru laut. Barulah saya sedar, mereka mempunyai sepasang mata yang cantik. Wanita yang menggelar dirinya Sumayyah itu juga mempunyai sepasang mata yang berwarna biru laut.

“Amar yang menemukan kamu.”

“Natasya. Ain Natasya binti Abdullah.”

“Amar yang menemukan Ain. Tiba-tiba Ain ada dalam bilik ini, di atas katil ini. Tiada siapa yang tahu dari mana Ain datang, melainkan Allah yang Satu.” Sudah saya katakan Natasya, dipanggil juga Ain. Huh..!!

Dalam bilik ini? Takkan saya turun dari langit pula. Apalah perempuan ini mengarut.

“Saya nak mandi. Bilik air di mana?”

Wanita itu masih tersenyum. Dan menghulurkan tuala bersih dan sepasang persalinan lengkap. Selepas menunjukkan di mana bilik air, mereka berdua meminta izin untuk keluar. Bersopan sekali tingkah Sumayyah dan Balqis. Walaupun saya mungkin turun dari langit, tapi saya masih tetap tetamu yang perlu dilayan dengan baik. Haha..

Seusai mandi dan bersiap, saya merayau-rayau sekeliling kamar itu. Menyelak langsir dengan corak abstrak dengan rona ungu – betulkah ini kamar Amar, tak sesuainya ungu dengan lelaki. Fikir saya. Ternyata, pemandangan di balik langsir itu masih sama dengan pemandangan dari bilik saya. Tidak syak lagi, ini adalah rumah saya. Kondominium tingkat 15 ini saya beli dengan wang titik peluh sendiri. Kondominium tiga bilik ini, saya miliki kala umur baru mencecah 24 tahun. Tahun 2007 hadir, dan saya baru berusia 26 tahun. Bagaimana saya mampu memiliki semua ini dalam usia yang muda? Haha.. terima kasih kepada ayah yang mengajar saya untuk mencari rezeki dengan maruah saya.

Kisah hidup saya tidak seindah dan secantik kisah hidup manusia-manusia biasa. Tidak pernah berpeluang untuk menjejakkan kaki ke sekolah menengah. Semasa arwah ibu masih hidup, kami berdua mencari rezeki dengan menjual nasi lemak ke kantin sekolah. Saya tidak pernah mengenal siapa itu ayah saya. Orang kampung menggelar saya anak haram. Kata ibu, biarkan saja mereka berkata-kata, nanti mereka akan penat sendiri. Namun, ibu yang setia menemani saya meninggal ketika saya masih berumur 15 tahun. Dan entah dari mana, tiba-tiba ayah muncul. Saya pernah melihat wajah ayah dari sekeping gambar yang ibu simpan. Ayah mengajak saya pindah dari kampung, dan kami melangkah ke bandar. Mulanya saya fikir, Allah pasti membantu anak yatim dan kerana itu Dia mengembalikan ayah kepada saya yang kehilangan ibu. Di bandar, ayah ajar saya bagaimana untuk menjual diri dan maruah.

Mulanya saya menentang dan menangis, namun ayah pesan, manusia semuanya busuk hati. Siapa yang miskin akan dihina dan dicaci. Andai kita punya wang dan pangkat, tiada siapa akan bertanya asal-usul kita. Semuanya akan hormat kita. Saya tidak mahu lagi dihina dan dicaci. Tidak mahu lagi digelar anak haram. Tidak mahu menderita seperti ibu. Walau ibu tidak menceritakan kepada saya, namun saya tahu. Ibu menderita dan sakit kerana cacian orang kampung. Buat pertama kalinya, ayah suruh saya bersiap dalam sebuah bilik kecil dan seorang lelaki hadir. Selepas semuanya selesai, saya akan diberi ganjaran. Ganjaran yang diterima sangat lumayan, jumlah pendapatan menjual nasi lemak saya dan ibu untuk sebulan. Dan saya memperolehinya dalam masa 2 jam sahaja.

Saya semakin bijak berurusan dan mencari pelanggan. Sambil mencari rezeki, saya mula membina hubungan bisnes. Ketika saya mencecah 20 tahun, saya punya sugar daddy berpangkat dato` dan mendapat syer di atas nama saya. Ketika berusia 23 tahun, saya meninggalkan sepenuhnya bidang `maruah` dan menumpukan perhatian kepada perniagaan. Harta saya makin bertambah, dan pangkat saya makin tinggi di mata manusia. Saya tidak lagi digelar anak haram. Di mana-mana saya dihormati.

“Kak Ain, ibu panggil makan.” Balqis bersuara dari celahan daun pintu. Terkejut saya, kalau ye pun ketuklah dulu.

“Saya ketuk tadi, Kak Ain tak jawab. Afwan.” Erkk.. dia boleh baca hati aku ke?!

Saya sekadar mengangguk dan menurut Balqis. Balqis merenung saya dan tergak-agak untuk bersuara.

“Kenapa?” Pelik sangat ke saya pakai baju kurung ni? Dah ibunya yang bagi baju kurung ni, saya pakai sajalah. Takkan nak komplen pula walaupun saya sendiri sudah bertahun tidak berbaju kurung.

“Ermm.. abang Amar ada di rumah. Semua sedang menunggu di bawah untuk makan malam.”

“Oo..ok. Maaf kerana membuatkan semua menunggu.”

Saya melangkah ke luar kamar dan bersedia untuk menuju ke ruang makan. Namun Balqis masih tercegat. Saya memandang dan membuat isyarat kenapa. Balqis teragak-agak dan akhirnya perlahan berjalan melintasi saya dan menuju ke ruang makan.

Di ruang makan kelihatan wanita yang menggelar dirinya Sumayyah tadi dan seorang remaja perempuan sedang duduk di kerusi menghadap meja makan. Remaja perempuan itu seolah-olah terkejut melihat saya. Sumayyah sekadar tersenyum. Balqis tunduk seperti rasa bersalah. Saya tidak faham dengan keluarga ini. Seorang lelaki muncul menatang dulang berisi makanan, dan sewaktu melihatkan kehadiran saya, mata bertentang sesaat. Terus dia menundukkan pandangan dan wajahnya ke lantai.

“Ibu, Amar makan di ruang tamu saja. Afwan..” Lelaki itu yang mungkin hampir sebaya dengan saya berpaling untuk beredar. Saya masih bingung, kenapa?!

“Amar sayang, makan di sini sajalah. Tidak baik berpaling dari tetamu sebegitu.” Sumayyah berpaling menghadap saya sambil tersenyum.

“Aisyah, tolong ambilkan tudung untuk kak Ain. Boleh sayang?” Remaja perempuan itu berlalu dan kembali dengan sehelai kain tudung, menghulurkan kepada Sumayyah. Sumayyah menyelak rambut saya yang berjuntai di hadapan, dan memakaikan tudung rona coklat itu. Saya seperti orang bodoh sahaja, menurut apa yang diperlakukan. Terimbas kembali arwah ibu yang pertama kali memakaikan saya tudung sewaktu saya memberitahu ibu tentang saya yang sudah didatangi haid.

Amar kembali ke kerusi yang kosong dan kami berlima menjamu selera. Hidangannya simple, namun teryata berjaya membuka selera saya. Sekadar nasi lemak berlaukkan ayam goreng sahaja. Sambil menyuapkan nasi ke mulut, mata saya meliar ke segenap pelusuk rumah. Sekali lagi saya amat pasti, ini adalah kondo milik saya! Hiasan sudah jauh berubah. Sederhana, namun redup mata memandang. Seolah-olah saya melihat Sumayyah itu sendiri, begitulah saya melihat hasil tangannya.

Dan.. sekeping kalendar di atas rak buku. 10 Rabiulawal 1522 Hijrah. Huh.. Ada lagi ke manusia yang menggunakan kalendar Islam di Malaysia ini. Pelik sungguh keluarga ini.

“Suami awak tak pulang makan malam ke?”

“Ayah dah tiada. Meninggal tahun ke 1511 Hijrah.” Pantas remaja perempuan yang digelar Aisyah itu menjawab.

“Maaf. Sudah lamalah ye. Sudah sepuluh tahun yang lalu, tahun 1997.”

Semua serentak terhenti. Sumayyah dan anak-anaknya berpaling menghadap saya. Kenapa?! Sempat saya perhatikan, Amar sekadar memandang sekilas, dan terus menundukkan pandangannya. Jijik sangatkah saya ini? Huh.. Meluatnya saya!

“Sepuluh tahun yang lalu adalah tahun 2091 mengikut kalendar Masihi.” Tuntas Balqis.

“Sorry… ini tahun apa?” Saya bingung amat.

“Kenapa enti tahu perkataan tamadun lama itu?” Amar bersuara dalam nada yang perlahan.

Apa yang sedang berlaku ini? Saya makin tidak mengerti.

“Sekarang tahun 2101 Masihi. Ain dari tahun ke berapa Masihi?” Lembut suara Sumayyah.

“OK, what the hell is going on right now?! Kenapa tanya soalan begitu.”

“Meski ibu ana tidak memahami bahasa purba itu, tapi ana harap enti boleh menghormati ibu ana. Sila jangan guna perkataan yang kasar.” Masih tidak memandang saya.

“Maaf, saya tidak berniat begitu. Saya lahir tahun 1981, sebulan yang lepas baru sahaja menyambut ulangtahun ke 26 pada 26 Mac 2007. Minta Encik Amar yang kelihatannya sangat arif, menerangkan apa yang terjadi.”

Kami menyudahkan hidangan makan malam dengan tenang meski hati saya teramat bercelaru apabila diberitahu sekarang adalah tahun 2101. Mustahil!! Usai semua menjamu selera, Sumayyah mengajak semua ke ruang tamu. Amar masih seperti tadi, menundukkan sahaja pandangannya dari memandang saya. Saya benci amat!

Amar bercerita seringkas mungkin. Namun saya sukar menerimanya, teramat sukar.

2007, zaman saya hidup dahulu sudah lama. Terlalu lama kerana sekarang dunia sudah menghadapi tahun 2101. Wawasan 2020 yang diwar-warkan tidak kesampaian. Malaysia ketandusan pemuda-pemudi penegak bangsa. Semuanya hanyut dalam dunia masing-masing. Remajanya terlampau sibuk dengan rancangan realiti tv yang muncul semakin hebat menjelang tahun 2020. Tidak cukup dengan juara-juara lagu, bahkan ditambah lagi dengan Malaysia Top Model, dan sebagainya. Jenayah dan salahlaku moral berleluasa. Korupsi Malaysia mengatasi Filipina, para ulama dan cerdik pandai dihalau negeri kerana dikatakan terlalu sibuk memikirkan halal haram sehingga menjejaskan pentadbiran negara. Semua penceramah-penceramah masjid, imam, ustaz diturunkan gaji sehinggakan mereka terpaksa mencari sumber rezeki lain. Murtad berleluasa, jika dahulu kerajaan membantah tegas perkara ini, namun pengakhirannya kekalahan di pihak kerajaan kerana wujudnya menteri yang dahulunya beragama Islam yang juga akhirnya murtad.

Malaysia seolah-olah sudah tidak punya harapan lagi untuk dikembalikan kepada negara Islam yang sebenar. Ekonomi Malaysia kukuh, imej Islam Hadhari juga tidak pernah luput selama maksiat bermaharaja lela itu, namun moral semakin merundum. Tahun 2050 menjelang dan berlaku rampasan kuasa di Malaysia oleh rakyat yang berusaha secara diam-diam dengan bantuan negara Jepun yang ketika itu memiliki separuh dari jumlah rakyatnya yang beragama Islam. Tarbiyyah yang dilakukan secara berperingkat mula menampakkan hasil. Mahasiswa luar negara dan dalam Negara bertindak serentak. Begitu juga dengan para sasterawan negara yang tua mahupun yang muda. Menggembeleng tenaga membentuk kembali pentadbiran dan undang-undang Malaysia.

Silibus pendidikan digubal seratus peratus, sistem jual beli malah sehingga kepada sistem mengasingkan lelaki dan perempuan dalam komuter juga telah digubal. Dalam membina sebuah negara baru itu, ramai yang syahid. Dibunuh oleh golongan hartawan yang tidak suka kepada perubahan. Namun, satu yang hilang sepuluh yang bangkit berdiri!!

Kini Malaysia sudah hilang. Yang wujud adalah Darul Iman, gabungan negara-negara Asia yang dulu. Tamadun Islam kembali teguh. US dan England masih belum bersatu, namun mereka sudah tidak punya suara. PBB dikuasai oleh Rusia, China dan Perancis yang semuanya adalah negara Islam dibawah satu pemerintahan Amirul Mukminin Darul Iman.

Panjang cerita Amar. Saya mendengar dengan khusyuk sekali seolah-olah sebuah dongeng sebelum tidur. Dan saya terjaga, tertidurkah saya? Pastinya Amar akan memarahi saya…

Ruang tamu tadi yang terang benderang, kini gelap. Saya sedang berbaring di atas katil rumah saya, tanpa sehelai pakaian pun. Adam di sebelah. Tertidur keletihan. Saya termenung, bermimpikah saya?! Tentang Sumayyah dan keluarganya. Amar yang sentiasa tunduk, Balqis yang pemalu, Aisyah yang kurang bercakap, kamar rona ungu itu… cahaya matahari mencuri masuk melalui ruang-ruang antara langsir jendela. Saya bangun mengenakan jubah tidur yang berselerakan di lantai dengan pakaian-pakaian saya dan Adam. Masih dengan kepala yang sarat seolah-olah Sumayyah dan keluarganya benar-benar wujud, saya melangkah ke kamar mandi.


Meninggalkan Adam yang masih lena.

Dari kamar mandi, saya mengeringkan rambut yang basah. Mula mengenakan pakaian untuk hari ini. Sederhana saja sudah cukup. Sepasang sut jaket rona peach dipadankan dengan skirt pendek paras lutut dan blouse merah. Menyapu bedak asas, lipstick dan segalanya. Adam sudah terjaga. Lagipun jam sudah menunjukkan ke pukul 9 pagi. Adam tidak perlu ke pejabat. Masih mahasiswa universiti, malah segala perbelanjaan sewaktu keluar makan, saya yang bayarkan. Hari ini hari biasa bagi saya. Perlu ke pejabat untuk meeting dengan client dan sebagainya. Adam memeluk pinggang saya dari belakang dan mencium pipi sebelum saya keluar rumah.


Saya kunci pintu rumah, dan melangkah ke lif. Baru saja ingin menekan punat tutup pintu, seorang lelaki berlari-lari untuk bolos masuk. Saya tekan punat buka pintu dan membenarkannya masuk. Lelaki itu memandang saya sekilas dan terus menundukkan pandangannya. Degup hati saya seolah terhenti seketika.

“Amar?!”

“Ya, saya.”

Dia dengan pandangan hairan memandang kurang dari sesaat, dan terus tunduk kembali.


Thursday, May 03, 2007

Sahabat

Musim bunga hampir tiba ke penghujung. Pepohonan, hanya daun-daun hijau yang tinggal. Kuntuman bunga-bunga sudah lama gugur ke bumi. Kalau ke kampus, sudah tidak perlu mengenakan jaket lagi.

Namun, bagi saya musim bunga baru sahaja bermula. Ukhuwah itu makin erat. Hannan makin teguh berdiri. Kuntuman yang dulu kecil, makin berkembang segar. Malah, sudah mula mengeluarkan haruman tersendiri. Dari kuntuman yang kecil, sehinggalah kepada kuntuman yang berdua, semuanya punya haruman sendiri. Meski umbinya dari tanah Islam dan akar iman yang sama.

Dan saya teringat kepada Teh Sofia dan Salsabila Fahim dari novel Tunggu Teduh Dulu karya saudara Faisal Tehrani. (Kalau tidak salah saya) Kata Salsabila kepada Teh Sofia, aku bukannya tukang besi. Aku mahu jadi penjual kasturi.

Saya juga mahu jadi penjual kasturi !

Daripada Abu Musa al-Asy`ari r.a., Nabi s.a.w. bersabda : "Orang yang bergaul dengan orang yang soleh dan orang yang bergaul dengan orang yang jahat ibarat orang yang membawa kasturi dan orang yang menghembuskan alat menyalakan api. Orang yang membawa kasturi, sama ada ia memberikannya kepada kamu, atau kamu membelinya, atau mendapat bau yang baik. Manakala orang yang meniup alat menyalakan api, sama ada ia membakar pakaian kamu atau kamu mendapat bau yang busuk." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kalau mahu masuk jannah, jangan lupa tarik tangan saya ye.. Petikan dari sebuah cerpen yang pernah saya baca. Dan saya cukup tersentuh dengan sebaris ayat itu. Sungguh, sahabat itu adalah pendorong anda, pemangkin hidup anda, dan juga mampu menjadi pemusnah anda!

Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda : "Seseorang insan adalah terikut-ikut dengan adat kebiasaan sahabatnya. Maka hendaklah kamu melihat dengan siapa kamu bersahabat." (Riwayat al-Tirmizi dan al-Hakim)

Semalam saya menelefon adik di Arau, kata adik saya.. sahabat yang menarik kita ke jannah pastinya ada. Dan jangan dilupa, yang sentiasa menarik kita ke `jahanam` juga ada. Kenapa, kerana kita tidak menghalang dan menegur ketika sahabat berbuat kesalahan. Di sana nanti, hal itu akan dipersoalkan.

Sama-samalah berusaha menjadi sahabat yang baik, dan moga ukhuwah yang terjalin tidak akan musnah dengan fitnah dunia.

Saya sayang kamu!