Bicara kalam...

Wahai Muhammad!Kobarkanlah semangat para mukmin untuk berperang. Jika ada 20 orang yang sabar di antara kamu, nescaya mereka dapat mengalahkan 200 orang musuh. Dan jika ada 100 orang yang sabar di antara kamu, nescaya mereka dapat mengalahkan 1000 orang kafir, kerana orang-orang kafir itu adalah kaum yang tidak mengerti. Al-Anfal:65

My Photo
Name:
Location: Shah Alam, Selangor, Malaysia

Dilahirkan di Pasir Mas, Kelantan, menamatkan ijazah sarjana muda di Saitama University dan ijazah sarjana di Shibaura Institute of Technology dalam Kejuruteraan Mekanikal. Bertugas sebagai pensyarah Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, UiTM Shah Alam. Sebarang ambilan dari blog ini, diharap dengan kebenaran. Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku hanya untuk Allah, tuhan semesta alam.

Saturday, December 23, 2006

Rintihan

Saya. Tidak keruan. Kenapa? Rindu padaNya barangkali, atau takut. Seminggu berpisah, terasa jauh yang amat. Seribu satu rasa bergolak di dada, bermain di fikiran, menari menggundahkan hati. Lemas. Keseorangan. Tidak keruan. Gusar.

Kelak, `bicara kalam` akan berkata di kala menghadap Tuhan, "Inilah tuanku, yang suatu waktu dahulu, hanya tahu menulis dan bermain kata, tapi tidak melaksanakannya".Lantas, apa yang patut saya jawab?

Juga, apa itu makhluk ciptaan Allah yang terindah? Ya, indah jika sang makhluk sedar dirinya merupakan ciptaan tercantik, teranggun dari Allah. Indah jika dipelihara, indah jika dipagari, indah jika disempurnakan keindahannya. Namun, ia tidak lagi indah jika dipamerkan sewenangnya, tidak lagi anggun andai hilang apa yang menutupi kilauan rambutnya, lekuk badannya, mulus kulitnya dan langsing kakinya. Mudahnya makhluk terindah ciptaanNya jatuh ke taraf biasa. Malah lebih rendah dari itu. Satu renungan untuk diri dan jua teman yang tercinta. Darjat kamu lebih tinggi dari yang kamu bayangkan, usah dicampak diri ke lembah hitam pekat milik dunia.

Saya. Masih tidak keruan. Entri membosankan. Sekadar meminjam ilham seseorang. Penat. Kerana berfikir. Atau sudah sakit? Perlukan ubat, atau doktor?

Satu rintihan. Seorang diri.

Friday, December 22, 2006

Masa

Manusia
leka
Serasi...

Tanggungjawab menggunung
Masa nan secebis
Mengejar usia

Masih leka
atau
Berlengah?

Itulah manusia.

Monday, December 18, 2006

cita-cita

Kata mereka yang bijak pandai, gantunglah cita-citamu setinggi langit. Kata saya, gantunglah cita-citamu setinggi yang mampu kau capai. Kelak andai cita-cita tidak kesampaian, kala jatuh tidaklah kau merasa sakit dek ketinggiannya. Pesimis? Mungkin, terserah...

Hati yang gusar, cuba memandang ke luar cermin kaca. Dari tingkat 16 New Otani Hotel Tokyo, kelihatan langit yang biru dengan cuaca yang terang. Kelihatan kepulan awan menghiasi kebiruan, dan pepohonan yang masih mengekalkan dedaunannya meski musim luruh sepatutnya telah lama berlalu. Sesekali terfikir, adakah dunia semakin panas dengan kesan rumah hijau sehingga menyebabkan pertengahan Disember begini masih ada dedaunan yang belum gugur, dan Tokyo yang masih belum mencapai bawah 10 darjah selsius. Pertengahan Disember, musim sejuk baru bermula. Suatu perkara di luar jangkauan akal manusia. Hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Mungkin kerana terlalu berharap, dan terlalu tinggi menggantung cita-cita, maka saya tidak keruan. Dan kesannya, saya berjaya memperbodohkan diri sendiri di hadapan mereka yang bijak pandai. Terlalu banyak yang ingin saya luahkan, terlalu banyak yang ingin saya utarakan, pendapat, pandangan, hujah, namun saya hanya mampu merancang. Tuhan punya agendaNya tersendiri. Saya redha, meski dalam linangan air mata.

Betul kata seseorang, bila emosi menguasai akal, ternyata tiada logikanya. Sekeping email, via telefon mudah alih - tiada jawapan. Haha...

"Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dariNya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal." -At-Taubah ayat 129

Monday, December 11, 2006

Malu dan Iman


Cukupkah solat lima waktu kita hari ini? Sempurnakah aurat kita hari ini? Adakah kita telah berbohong kepada sesiapa hari ini, mungkin kepada lecturer atau juga mungkin kepada sahabat? Menjaga pandangan kita? Pergaulan? Hati? Muhasabah diri, tanya diri, adakah kita telah berbuat sesuatu perkara yang tidak wajar kita lakukan.

Malu itu sebahagian daripada IMAN. Jika selalu orang sebut-sebutkan, sabar itu sebahagian daripada IMAN, maka hari ini saya ingin berbicara tentang MALU.

Solat saya, aurat saya, semuanya tidak sempurna hari ini. Dan adakah saya malu? Ya, saya malu kepada tokkura yang cukup solatnya hari ini dan saya malu apabila bertemu teman yang sempurna pakaiannya. Namun saya lupa, kenapa perlu saya malu kepada manusia(atau kepada tokkura), sedangkan Allah sentiasa melihat saya. Jika saya meninggalkan solat sekalipun, teman saya(perlukah saya ulang lagi sekali nama tokkura?!) tidak akan tahu sekiranya saya tidak menceritakan apa yang terjadi. Tetapi Allah sentiasa mengetahui kerana sesungguhnya Dia bersifat Maha Mengetahui.

Dia tahu apa yang di luar dan di dalam pemikiran saya. Lalu, kenapa saya masih sanggup melakukan segala perkara yang dilarangNya? Sewajarnya saya merasa MALU kepada Allah kerana hanya Dia yang mengetahui tahap IMAN saya. Saya tidak perlu menghebahkan kepada dunia betapa saya seorang insan yang baik, sedangkan hati saya tidak merasa MALU ketika melakukan DOSA.

Allahu Akhbar!! Ampunilah segalah dosa-dosa hambaMu ini, dan dosa-dosa seluruh umat Islam sekalian.Amin.

Saturday, December 09, 2006

Antara Dia dan dia

"Saya sukakan awak! Itu bukan satu kesalahan ...". Sazli. Kepada Salsabila Fahim.

Kita tidak akan tahu siapakah pasangan yang ditentukan Allah untuk kita sehinggalah kita bertemu dengannya. Atau, mungkin juga masih tidak tahu walau pernah bertemu. Ayat terakhir dari hadith 19:


Pena-pena telah diangkat dan lembaran-lembaran telah kering(dakwatnya).

Lalu kenapa seseorang perlu bersedih sekiranya orang yang dicintai memilih untuk memperisterikan insan lain, kekasih hati mula bersikap dingin,dan anda baru berpisah dengan yang tersayang? Sudah dinyatakan lembaran-lembaran telah kering, takdir setiap orang telah tertulis, dan pena-pena telah diangkat. Maka kerana itulah kita perlu beriman kepada QadarNya. Bukan manusia namanya jika tidak pernah diuji.

Penderitaan adalah kerana keinginan dan pemilikan, ia muncul kerana ada kelekatan atau attachment. Kelekatan atau attachment seseorang pada keghairahan terhadap sesuatu menjadi sumber kepada ketidakbahagiaan seseorang. Sekiranya manusia mencintai seseorang, insan yang dicintai menjadi maya pada diri hinggakan tanpa disedari seseorang telah menomborduakan Tuhan. Ya, keinginan dan pemilikan itulah yang mampu memberi kita keselesaan dan kebahagiaan sementara, tapi tidak mampu menjadikan kita insan dengan manusiawi sejati.


Dan saya, insan biasa yang sentiasa mengharap pada yang tidak pernah sudi.
Kata Teh Sofia, ya, kerja Tuhan siapa yang tahu? haha..

**Ia bukan satu kesalahan untuk berbicara tentang cinta dan hati. Adaptasi dari Tunggu Teduh Dulu(Faisal Tehrani).

Tuesday, December 05, 2006

Kerana saya sayang kamu


Habislah saya..! Tokkura marah, tokkura jauh hati dengan saya, tokkura merajuk!! Itulah, siapa suruh ringan mulut bercerita. Apa yang perlu saya buat?

Kawan saya bertanya(bukan seorang beberapa orang), siapa tokkura? Atau lebih tepat, tokkura tu apa? Dan saya, sambil menahan ketawa, terlepas bercerita kepada tokkura. Apalagi, berjauh hatilah tokkura. Kata tokkura dari dalam cengkerangnya (selepas mendengar cerita saya, tokkura tidak mahu keluar dari cengkerangnya, merajuk benar gamaknya)...

Tokkura : Biarlah orang tak kenal aku pun. Aku bukannya Tsumawi, aku bukannya Mantan Perdana Menteri, aku hidup pun dah lama. Dah dekat 750 tahun dah aku hidup. Kenal aku pun bukannya boleh dapat faedah apa-apa pun.

Aduss...merajuk betul ni. Lalu, untuk memujuk tokkura, maka saya masukkan entri kali ini. Spesifik berkaitan sejarah hidup tokkura, dan perkenalan saya dengan tokkura.

Nama asal tokkura, tok kura-kura bin moyang kura-kura. Spesies kura-kura, tapi asal-usul yang sebenarnya tidaklah pula saya tahu. Kalau tak silap saya, asalnya kota Baghdad. Sudah 5 tahun saya kenal tokkura, ketika itu saya baru sahaja menamatkan SPM. Tidak perlu saya huraikan secara terperinci pertemuan kami dulu. Saya sekadar ingin memperkenalkan siapa tokkura kepada semua.

Menurut tokkura, tokkura dilahirkan semasa pemerintahan Kerajaan Abbasiyah awal, dalam tahun 1256 Masihi. Sewaktu itu tamadun Islam masih lagi kukuh di muka bumi. Semasa kecil, ayah tokkura selalu bercerita tentang Islam yang megah di mana-mana. Kata tokkura, cerita yang paling disukainya adalah tentang kejayaan Salehuddin al-Ayubi menawan semula Baitul Maqdis setelah 88 tahun Baitul Maqdis di bawah kekuasaan Kristian. Kata tokkura lagi, ayah tokkura sangat pandai bercerita, sehinggakan mereka adik-beradik dapat merasakan kegembiraan orang Islam apabila Baitul Maqdis kembali ditawan. Tokkura hidup gembira bersama keluarga sehinggalah kedatangan Hulagu Khan, cucu kepada Genghis Khan. Kedatangannya membawa sejarah hitam kepada umat Islam.

Tokkura baru berusia 2 tahun, 1258 Masihi. Tentera Monggol di bawah pimpinan Hulagu Khan datang menyerang Kota Baghdad. Tokkura sendiri tidak berapa ingat apa yang terjadi ketika itu. Seingat tokkura, rumah kediaman mereka yang kebiasaannya biru mendamaikan, menjadi hitam pekat dengan dakwat kerana banyaknya buku-buku yang telah dicampakkan ke dalam airnya yang biru. Sungai Tigris menjadi saksi kekejaman dan kebodohan tentera Monggol. Kota Baghdad pada ketika itu menjadi pusat tamadun Islam. Berjuta-juta buku telah diterjemahkan, yang diambil dari tamadun-tamadun sebelumnya. Baitul Hikmah menjadi perpustakaan yang menyimpan berjuta-juta naskhah buku berkenaan sains, falsafah, hadith dan sebagainya. Sewaktu itu, kerana kebodohan tentera Monggol, segala buku yang penting itu telah dibakar dan setengahnya dicampakkan ke Sungai Tigris. Sehingga ke hari ini, hampir dua pertiga dari segala isi Baitul Hikmah hilang tidak dapat dikesan.

Kemudian kata tokkura, mereka sekeluarga berpindah ke Mesir kerana setelah Kerajaan Abbasiyah awal runtuh, Kerajaan Abbasiyah akhir mula naik dan berpusat di Mesir. Ketika Muhammad Al-Fateh menawan Constantinople, tokkura ketika itu belia remaja. Semangat untuk turut serta berkobar-kobar. Andai ketika itu tokkura berketurunan manusia, pasti tokkura mendaftar diri untuk turut sama berperang. Tokkura selalu kesal, kenapa manusia sekarang terutamanya anak muda tidak mahu berjuang kerana Islam. Jika tumbuhan dan haiwan berdaya, sudah lama mereka turut serta dalam peperangan-peperangan yang berlaku, yang membunuh saudara seagama di Palestin dan sebagainya.

Tokkura menjadi saksi kejatuhan pemerintahan Abbasiyah ke tangan Kerajaan Uthmaniah dalam tahun 1517 Masihi. Kemudian diikuti dengan zaman Sultan Sulaiman, dan kejatuhan sistem Khalifah Islamiyah semasa Kamal Attartuk berkuasa. Tokkura melihat perang dunia berlaku. Sewaktu itu tokkura sudah jauh berjalan merentas dunia. Meninggalkan keluarga untuk mengisi ilmu di dalam cengkerang. Sehinggalah takdir membawa tokkura ke Tanah Melayu. Membawa tokkura ke daerah Bangi, ketika itu saya masih dalam kursus persediaan sebelum ke bumi sakura. Selepas tamat kursus persediaan bahasa Jepun, saya memilih untuk membawa tokkura bersama kerana menurut tokkura sudah lama tokkura bercita-cita ingin ke Jepun. Namun oleh kerana tokkura spesies air tawar, maka tokkura tidak mampu untuk merentasi Laut China Selatan dan laut-laut sekitarnya.

Selama ini, segala entri saya adalah berdasarkan ilmu dari cengkerang tokkura. Kerana itu jika tokkura merajuk, nanti saya akan ketandusan idea untuk menulis. Maka di sini perlu saya terangkan, siapa itu tokkura, dan apa hubungannya dengan saya. Maafkan saya tokkura !

**Rajuk tokkura berakhir setelah saya belikan aiskrim. Kadang-kadang saya terfikir, tak padan dengan umur 750 tahun ada hati nak merajuk dan dipujuk dengan aiskrim. Ohh..ohh...sabarlah wahai hati..




Sunday, December 03, 2006

Nak couple !!

Seorang teman bercerita....

Adik : Alaah kak... kalau couple, pegang-pegang tangan tu perkara biasalah..

Kakak : Dik, kalau benda yang memang dah confirm salah, jangan pula dihalalkan atas sebab sudah menjadi kebiasaan dan semua orang pun melakukannya. Satu kebiasaan, akan disusuli pula dengan satu kebiasaan yang lain. Allah berfirman; jangan kamu mendekati zina, bukannya berfirman jangan kamu berzina. (baca dalam nada lembut)

Adik : .......... (sekadar tersengih, menurut teman saya)

Aduh, sakitnya hati saya. Bukan sekadar hati, paru-paru, pankreas dan segala-galanya hanya kerana satu ayat itu. Suatu ketika dahulu, malah sehingga sekarang, saya masih sedang berusaha membetulkan pergaulan saya.

Hakikatnya, pemikiran sebegitu telah lama sebati dalam jiwa hampir semua orang. Saya katakan hampir semua orang kerana masih ada segelintir yang berfikiran waras seperti kakak. Dan saya, memegang watak si adik. Berfikir bahawasanya, sekiranya ber`couple` (oh..oh.. rosaklah Bahasa Melayu saya!!), fenomena berpegangan tangan itu suatu fenomena biasa. Bagi saya, kalau sekadar berpegangan tangan, takkanlah sampai melarat-larat sehinggakan tercetusnya aktiviti-aktiviti lain. Selalunya memberi alasan, sendiri tahulah had dan batas yang perlu dijaga. Namun manusia seolah-olah cuba melupakan, bukannya tidak sedar, bukannya tidak tahu - antara seorang lelaki dan perempuan pasti wujudnya syaitan laknatullah. Sentiasa berusaha merosakkan anak Adam adalah janji sang syaitan kepada Allah SWT.

Wah... saya masih perlu berusaha meningkatkan kesabaran saya untuk menjaga pergaulan saya, membataskan diri saya. Walaupun tidak sebegitu, namun saya masih tergolong dalam mereka yang mengiyakan pendapat adik. Kenapa saya katakan perlu meningkatkan kesabaran, sedangkan topik awalnya pergaulan? Mahu dengar satu cerita?

Alkisahnya sebegini, diceritakan oleh tokkura sewaktu dia sedang mengilatkan cengkerangnya sebelum ke majlis makan-makan dengan tok rimau. Kata tokkura ...

Sabar itu dikategorikan kepada dua perkara iaitu :

i. Sabar menahan diri daripada keadaan yang tidak disukai atau kesusahan yang dihadapi - pendek kata tokkura, semasa ditimpa musibah kita perlu bersabar.

"Dan Kami akan tunaikan kepada orang-orang yang sabar ganjaran untuk mereka yang lebih bagus daripada apa yang mereka lakukan."(An-Nahl:ayat 96)

ii. Sabar menahan diri daripada perkara yang disukai tetapi dilarang agama. Ulasan tokkura - couple. Pendek sungguh kata tokkura, maklumlah sewaktu itu tokkura sudah mula terkedek-kedek ke rumah tok rimau. Kata tokkura, cucu fikir sendirilah ye...

Terkebil-kebil saya mendengarnya. Owh..saya suka couple. Saya suka kalau boleh keluar dating. Tapi agama melarangnya. Itulah maksud sabar yang kedua. Terangguk-angguk saya keseorangan. Dari jauh kelihatan berkilau-kilau cengkerang tokkura dipanah sinaran mentari. Maka kerana pesan tokkura itulah saya membuat keputusan untuk meningkatkan kesabaran bagi menjaga batas pergaulan saya.

"Dan janganlah kamu mendekati zina; (zina) itu sungguh suatu perbuatan keji dan suatu jalan yang buruk"(Al-Isra':ayat 32)