Bicara kalam...

Wahai Muhammad!Kobarkanlah semangat para mukmin untuk berperang. Jika ada 20 orang yang sabar di antara kamu, nescaya mereka dapat mengalahkan 200 orang musuh. Dan jika ada 100 orang yang sabar di antara kamu, nescaya mereka dapat mengalahkan 1000 orang kafir, kerana orang-orang kafir itu adalah kaum yang tidak mengerti. Al-Anfal:65

My Photo
Name:
Location: Shah Alam, Selangor, Malaysia

Dilahirkan di Pasir Mas, Kelantan, menamatkan ijazah sarjana muda di Saitama University dan ijazah sarjana di Shibaura Institute of Technology dalam Kejuruteraan Mekanikal. Bertugas sebagai pensyarah Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, UiTM Shah Alam. Sebarang ambilan dari blog ini, diharap dengan kebenaran. Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku hanya untuk Allah, tuhan semesta alam.

Tuesday, December 05, 2006

Kerana saya sayang kamu


Habislah saya..! Tokkura marah, tokkura jauh hati dengan saya, tokkura merajuk!! Itulah, siapa suruh ringan mulut bercerita. Apa yang perlu saya buat?

Kawan saya bertanya(bukan seorang beberapa orang), siapa tokkura? Atau lebih tepat, tokkura tu apa? Dan saya, sambil menahan ketawa, terlepas bercerita kepada tokkura. Apalagi, berjauh hatilah tokkura. Kata tokkura dari dalam cengkerangnya (selepas mendengar cerita saya, tokkura tidak mahu keluar dari cengkerangnya, merajuk benar gamaknya)...

Tokkura : Biarlah orang tak kenal aku pun. Aku bukannya Tsumawi, aku bukannya Mantan Perdana Menteri, aku hidup pun dah lama. Dah dekat 750 tahun dah aku hidup. Kenal aku pun bukannya boleh dapat faedah apa-apa pun.

Aduss...merajuk betul ni. Lalu, untuk memujuk tokkura, maka saya masukkan entri kali ini. Spesifik berkaitan sejarah hidup tokkura, dan perkenalan saya dengan tokkura.

Nama asal tokkura, tok kura-kura bin moyang kura-kura. Spesies kura-kura, tapi asal-usul yang sebenarnya tidaklah pula saya tahu. Kalau tak silap saya, asalnya kota Baghdad. Sudah 5 tahun saya kenal tokkura, ketika itu saya baru sahaja menamatkan SPM. Tidak perlu saya huraikan secara terperinci pertemuan kami dulu. Saya sekadar ingin memperkenalkan siapa tokkura kepada semua.

Menurut tokkura, tokkura dilahirkan semasa pemerintahan Kerajaan Abbasiyah awal, dalam tahun 1256 Masihi. Sewaktu itu tamadun Islam masih lagi kukuh di muka bumi. Semasa kecil, ayah tokkura selalu bercerita tentang Islam yang megah di mana-mana. Kata tokkura, cerita yang paling disukainya adalah tentang kejayaan Salehuddin al-Ayubi menawan semula Baitul Maqdis setelah 88 tahun Baitul Maqdis di bawah kekuasaan Kristian. Kata tokkura lagi, ayah tokkura sangat pandai bercerita, sehinggakan mereka adik-beradik dapat merasakan kegembiraan orang Islam apabila Baitul Maqdis kembali ditawan. Tokkura hidup gembira bersama keluarga sehinggalah kedatangan Hulagu Khan, cucu kepada Genghis Khan. Kedatangannya membawa sejarah hitam kepada umat Islam.

Tokkura baru berusia 2 tahun, 1258 Masihi. Tentera Monggol di bawah pimpinan Hulagu Khan datang menyerang Kota Baghdad. Tokkura sendiri tidak berapa ingat apa yang terjadi ketika itu. Seingat tokkura, rumah kediaman mereka yang kebiasaannya biru mendamaikan, menjadi hitam pekat dengan dakwat kerana banyaknya buku-buku yang telah dicampakkan ke dalam airnya yang biru. Sungai Tigris menjadi saksi kekejaman dan kebodohan tentera Monggol. Kota Baghdad pada ketika itu menjadi pusat tamadun Islam. Berjuta-juta buku telah diterjemahkan, yang diambil dari tamadun-tamadun sebelumnya. Baitul Hikmah menjadi perpustakaan yang menyimpan berjuta-juta naskhah buku berkenaan sains, falsafah, hadith dan sebagainya. Sewaktu itu, kerana kebodohan tentera Monggol, segala buku yang penting itu telah dibakar dan setengahnya dicampakkan ke Sungai Tigris. Sehingga ke hari ini, hampir dua pertiga dari segala isi Baitul Hikmah hilang tidak dapat dikesan.

Kemudian kata tokkura, mereka sekeluarga berpindah ke Mesir kerana setelah Kerajaan Abbasiyah awal runtuh, Kerajaan Abbasiyah akhir mula naik dan berpusat di Mesir. Ketika Muhammad Al-Fateh menawan Constantinople, tokkura ketika itu belia remaja. Semangat untuk turut serta berkobar-kobar. Andai ketika itu tokkura berketurunan manusia, pasti tokkura mendaftar diri untuk turut sama berperang. Tokkura selalu kesal, kenapa manusia sekarang terutamanya anak muda tidak mahu berjuang kerana Islam. Jika tumbuhan dan haiwan berdaya, sudah lama mereka turut serta dalam peperangan-peperangan yang berlaku, yang membunuh saudara seagama di Palestin dan sebagainya.

Tokkura menjadi saksi kejatuhan pemerintahan Abbasiyah ke tangan Kerajaan Uthmaniah dalam tahun 1517 Masihi. Kemudian diikuti dengan zaman Sultan Sulaiman, dan kejatuhan sistem Khalifah Islamiyah semasa Kamal Attartuk berkuasa. Tokkura melihat perang dunia berlaku. Sewaktu itu tokkura sudah jauh berjalan merentas dunia. Meninggalkan keluarga untuk mengisi ilmu di dalam cengkerang. Sehinggalah takdir membawa tokkura ke Tanah Melayu. Membawa tokkura ke daerah Bangi, ketika itu saya masih dalam kursus persediaan sebelum ke bumi sakura. Selepas tamat kursus persediaan bahasa Jepun, saya memilih untuk membawa tokkura bersama kerana menurut tokkura sudah lama tokkura bercita-cita ingin ke Jepun. Namun oleh kerana tokkura spesies air tawar, maka tokkura tidak mampu untuk merentasi Laut China Selatan dan laut-laut sekitarnya.

Selama ini, segala entri saya adalah berdasarkan ilmu dari cengkerang tokkura. Kerana itu jika tokkura merajuk, nanti saya akan ketandusan idea untuk menulis. Maka di sini perlu saya terangkan, siapa itu tokkura, dan apa hubungannya dengan saya. Maafkan saya tokkura !

**Rajuk tokkura berakhir setelah saya belikan aiskrim. Kadang-kadang saya terfikir, tak padan dengan umur 750 tahun ada hati nak merajuk dan dipujuk dengan aiskrim. Ohh..ohh...sabarlah wahai hati..




2 Comments:

Blogger Hazu~ said...

ahaha. comel je tokkura ni. maafkan hamba ye tokkura sbb baru mengenali tokkura. :)

5:19 PM  
Blogger tokkura said...

ohh..takpe2.cucu tak salah, tuan punye blog ni yg salah sbb tak perkenalkan tokkura..

10:56 PM  

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home