Satu ujian
Jam 10 pagi, saya seharusnya menduduki peperiksaan kemasukan Shibaura Institute of Technology di kampus Toyosu. Namun, jam sudah menunjukkan 9:40 pagi, dan saya masih dalam keretapi menuju ke Ikebukuro. Dari Ikebukuro saya masih perlu menaiki Tokyo Metro Line menuju ke stesen Toyosu. Perjalanan dari Ikebukuro stesen ke Toyosu stesen mengambil masa hampir setengah jam. Bermakna saya akan kelewatan lebih dari 20 minit untuk menduduki peperiksaan. Hati mula mengomel tidak berhenti atas kelewatan yang disebabkan oleh seorang insan yang membuat keputusan menyelesaikan segala masalah dunia dengan cara membunuh diri di atas landasan keretapi. Kenapa memilih cara yang pastinya bukan jalan penyelesaian yang terbaik, tambahan lagi menyusahkan semua orang. Yang penting menyusahkan saya!
Waktu itu satu sahaja yang terfikir di fikiran saya, mungkinkah ini petunjuk dari Allah SWT agar saya tidak memilih untuk meneruskan pengajian saya di bumi sakura ini? Mungkinkah takdir saya sebenarnya berada di Malaysia?
Itu salah satu bentuk ujian dari Allah. Ujian kesabaran, ujian kesungguhan jua ujian ketabahan. Ingat.. untuk mendapatkan sesuatu benda yang sangat diingini, pasti mehnahnya juga banyak, pasti pengorbanan yang dituntut jua berganda dari biasa. Dan jangan lupa, pohonlah dari Allah apa yang terbaik buat diri. Ingatlah QS 2:216. Peringatan seorang teman, via email.
Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah Mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.
Bagaimana saya boleh terlupa, sedangkan ayat itulah yang saya pegang sejak dari kecil sehinggalah menjejak dewasa. Betapa rapuhnya pegangan dan ingatan manusia kepada kekuasaan Allah. Apabila manusia diasak dengan keadaan yang meruncing, lantas dengan sendirinya syaitan hadir mendatangkan keraguan ke dalam hati manusia. Membisikkan was-was ke dalam hati anak Adam.Cukup diduga dengan hal-hal yang kecil, terus gundah gulana. Terima kasih pada teman yang mengingatkan saya.
**Maaf untuk entri yang tidak memberi sebarang manfaat kepada pembaca. Kebelakangan ini saya terlalu sibuk sehingga waktu untuk membaca suratkhabar juga terhad.
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home