Bicara kalam...

Wahai Muhammad!Kobarkanlah semangat para mukmin untuk berperang. Jika ada 20 orang yang sabar di antara kamu, nescaya mereka dapat mengalahkan 200 orang musuh. Dan jika ada 100 orang yang sabar di antara kamu, nescaya mereka dapat mengalahkan 1000 orang kafir, kerana orang-orang kafir itu adalah kaum yang tidak mengerti. Al-Anfal:65

My Photo
Name:
Location: Shah Alam, Selangor, Malaysia

Dilahirkan di Pasir Mas, Kelantan, menamatkan ijazah sarjana muda di Saitama University dan ijazah sarjana di Shibaura Institute of Technology dalam Kejuruteraan Mekanikal. Bertugas sebagai pensyarah Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, UiTM Shah Alam. Sebarang ambilan dari blog ini, diharap dengan kebenaran. Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku hanya untuk Allah, tuhan semesta alam.

Friday, June 29, 2007

Anak Singa

Sudah lama rasanya tidak menulis sesuatu dalam Bicara Kalam. Rindu untuk menulis membuak-buak dalam diri saya. Semalam saya berpeluang menjengah ke laman web AMIR dan terlihat satu dari karya saya dipaparkan oleh admin amirnet. Terasa usaha saya selama ini masih tidak berbaloi untuk dipaparkan dalam mana-mana web khas milik sesiapa. Namun itu permintaan ummu umar, saya ikutkan sahaja walau merasa berat kerana segan karya yang tidak seberapa menjadi tatapan umum selain dari mereka yang melawat Bicara Kalam. Dari semalam tangan gatal-gatal mahu menulis sesuatu, tetapi idea yang menarik tidak mahu kunjung tiba. Ditambah lagi emosi saya yang tidak stabil beberapa minggu kebelakangan ini.

Research saya tentang 'The Development of Slave System for Catheter Guide' menjadi semakin rumit kerana kekurangan ilmu. Dateline untuk prototype pertama perlu disiapkan sebelum Ogos nanti mengikut perancangannya. Tetapi rasanya mustahil untuk disiapkan. Masa yang tinggal cuma sebulan, dan component parts for building the mechanism masih belum lengkap. Saya masih perlu membeli pelbagai parts - DC motor (yang saya tidak tahu bagaimana untuk mencari torque untuk mendapatkan thrust 100mm/sec), mencari polyurethane prene rope dan prene rope drive (yang saya tidak tahu bagaimana untuk disambungkan kepada rotary shafts kerana tidak faham dengan mekanisma pin shafts), masih perlu membeli rotary shafts yang baru (kerana yang sudah di order dahulu tersalah dimensi), dan pelbagai perkara bermain di benak saya yang kecil dan lembab ini. Itu belum saya senaraikan components kecil seperti L shaped type, nat, skru dan yang lain-lain. Semuanya perlu perkiraan yang tepat dan design yang lengkap. Dan masalahnya saya tidak tahu bagaimana untuk melakukannya. Untuk bertanya kepada senior Phd, mereka juga mempunyai masalah sendiri untuk difikirkan. Lagi, untuk apa anda sambung master kalau semua perkara perlu bertanya kepada senior. Anda bukan lagi pelajar undergraduate! Arrghh...saya mula benci ke lab kerana perkara begini sering berlaku. Cuba untuk melarikan diri sedangkan makin saya melarikan diri, makin dateline mengejar saya. Sehinggakan saya terfikir, mampukah saya graduate master dalam masa 2 tahun? Kalian rasa, mampukah saya?

Bicara Kalam saya cipta bukan untuk sesi meluahkan perasaan. Tetapi hari ini, rasanya saya tewas teramat. Maaf kerana perlu membaca entri yang hanya bercerita tentang perasaan saya yang sedang gundah gulana. Tentunya ini tidak memberi apa-apa manfaat kepada kalian. Afwan, kerana kelemahan saya.

Semalam ummu umar datang ke rumah saya sekejap sementara menunggu ummu zubair pulang dari tempat kerja. Makan masakan saya yang tidak seberapa, dan berborak-borak sedikit. Semua sahabat saya sibuk dalam menegakkan al-haq di samping kesibukan di lab. Ummu umar semakin lama semakin ketara sikapnya sebagai puteri Islam anak singa. Dan saya masih kijang yang pengecut. Pengecut dengan thesis, dengan jihad dan segalanya. Saya perlu merubah sesuatu dalam diri. Doakan tokkura berjaya mencapai target menjadi anak singa seperti ummu umar dan ummu zubair. Nama tokkura sahaja sudah berbeza dengan ummu berdua. Tapi saya sayang amat dengan gelaran tokkura. Perlukah saya ubah kepada ummu Ali? Masa akan menentukan. Buat masa sekarang, saya senang dengan tokkura.





Saya mahu berubah menjadi anak singa. Doakan saya!



** Semalam ummu umar telah berkata sesuatu yang menghantar satu resonans ke hati saya yang saya juga tidak memahaminya.




Wednesday, June 20, 2007

Kasih Allah

Sejak jam 9 pagi lagi saya perlu menghadiri beberapa kelas, Medical Materials Science diikuti dengan Advanced Physiological and Biological Engineering, dan tamat dengan kelas Fluid Power Control jam 2:30 petang. Selepas itu barulah saya melangkah ke shokudo(cafeteria) untuk makan tengah hari. Balik ke lab, belek-belek email dan beberapa benda penting, terus menyambung kerja yang terbengkalai kerana tidak hadir ke lab semalam (semalam saya kurang sihat sedikit). Mendapat faks dari Misumi Corporation kerana dimensi untuk design link bar untuk prototype Ogos nanti tidak dapat diluluskan. Mengira, mencongak apa yang perlu diperbetulkan, terus kembali membalas faks yang dihantar. Kemudian belek-belek katalog untuk memesan miniature bearing, pening sikit-sikit dengan diameter dan jenis yang perlu digunakan kerana ada bahagian yang sudah diubah dimensinya beberapa hari lepas. Sakit kepala memikirkan prototype saya yang perlu disiapkan menjelang Ogos nanti. Rasanya macam tidak sempat sahaja. Masih perlu ke Main Building of Department System untuk bertemu Kanemaru. Aah.. masalahnya saya tidak kenal siapa Kanemaru itu!

Buat masa sekarang saya tinggalkan semua itu ke tepi, dan mula menggodek internet dan blog teman-teman. Saya buka blog tuan tanah, dan terasa mahu menulis sesuatu. Tuan tanah menulis tentang bagaimana akhirnya dia mula bertudung. Rasanya tidak salah kalau saya juga menulis satu entri, 'bagaimana saya bertudung'. Mahu dengar kisah saya?

Saya lahir dalam keluarga yang biasa, ma (orang Kelantan biasa memendekkan panggilan mama kepada ma) mula bertudung selepas menamatkan pengajian di maktab perguruan kalau tidak salah saya. Abah tidak pernah mengongkong kami, cuma sekadar menegur. Namun mungkin kerana saya dilahirkan dalam biah (persekitaran) negeri Kelantan, alhamdulillah saya mula bertudung agak awal. Seawal saya masuk mendaftar darjah satu, ma sudah memakaikan tudung kepada saya. Bayangkan dalam tiga kelas yang ada ketika itu di Sekolah Kebangsaan Sungai Embak, hanya saya seorang murid yang berbaju kurung dan bertudung. Saya malu yang teramat kerana berbeza dengan kawan-kawan. Pulang ke rumah, saya minta dari ma tidak mahu bertudung keesokannya. Kata ma - kenapa begitu, bertudungkan lagi bagus. Saya menarik muka masam. Abah menegur - cantik anak abah bertudung hari ini. Saya anak manja dengan abah, terus tersenyum kerana dipuji (bahkan perangai itu tidak berubah sehingga sekarang, amat gembira jika dipuji abah!). Esoknya saya melangkah ke sekolah, bertudung. Dan untuk pengetahuan semua, saya mendapat seorang sahabat baru yang juga bertudung. Hari pertama dia datang ke sekolah tidak bertudung, kenapa hari kedua persekolahan dia bertudung, wallahualam. Tidak pernah pula saya bertanya sehingga sekarang.

Setiap hari saya bertudung ke sekolah, namun pulang dari sekolah saya masih berskirt pendek dan tidak bertudung. Waktu itu, apalah yang saya faham tentang aurat. Ma juga tidak pernah memaksa. Sehinggalah ke darjah lima dan enam, saya masih tidak bertudung sepenuhnya. Sewaktu ke padang untuk latihan hoki atau bola tampar, saya pasti tidak bertudung. Dan akhirnya saya akil baligh, masih seperti sekolah rendah. Bertudung di sekolah sahaja.

Sekolah menengah-tingkatan satu. Suatu hari sewaktu pulang ke kampung, saya keluar bersiar-siar dengan seorang sepupu perempuan. Sepupu saya mungkin dalam lingkungan 8 tahun, masih dalam darjah dua. Saya bertudung ketika itu, tetapi tidak dipinkan dengan betul. Angin bertiup kencang, sebuah basikal yang ditunggang oleh seorang budak lelaki melintasi kami dan ketika itulah tudung yang menutupi rambut saya terbang ditiup angin. Saya yang memang tidak merasa bersalah langsung kerana membuka aurat pada yang tidak berhak, dengan selamba dan perlahan-lahan mengutip kembali tudung yang diterbangkan angin tadi-menutup kembali aurat saya. Dan ketika itulah si kecil itu berkata ;

"Kura-kura (ketika itu saya masih muda, belum layak digelar tokkura), kau dah balighkan. Kenapa biarkan mamat tadi tu tengok rambut kau. Bukankah berdosa. Mak kura cakap, nanti masuk neraka!"

Saya gamam. Kelip-kelip mata. Aduh, terasa selama ini hidup saya tidak berguna. Terima kasih kepada sepupu kecil saya. Mungkin dia juga sudah lupa kisah ini. Tidak mengapa, saya akan kenang sampai bila-bila. InsyaAllah.

Akhirnya saya kekal bertudung ke mana-mana. Namun masih banyak yang tidak ditutup auratnya. Keluar ke laman rumah atau keluar menjemur kain di ampaian, saya masih tidak bertudung. Sehinggalah ke tingkatan tiga. Seorang teman, sekarang lulusan Universiti Malaysia Sabah yang menjadi pendorong. Katanya...(alamak, saya lupa apa yang disebutnya). Cukuplah saya katakan, saya bertudung sepenuhnya kerana nasihat seorang sahabat. Moga Allah merahmatinya di mana sahaja dia berada. Dengarnya sudah pun mengikat tali pertunangan dengan seseorang. Semoga berbahagia sentiasa. Sewaktu mula-mula ingin berubah sepenuhnya, saya mulakan dengan bertudung ketika ingin menjemur kain di ampaian. Segan-segan, malu-malu saya melakukannya kerana di rumah tiada siapa yang pernah melakukan begitu. Tidak ma, tidak ucu, tidak juga makcik-makcik yang lain. Saya kenakan tudung di kepala, dan adik saya bertanya ;

"Kak kura (adik saya hanya memanggil kakak, bukan tokkura kerana umur kami tidak jauh beza) nak pergi mana bertudung ni?"

"Nak keluar jemur kain depan rumah tu."

Saya jawab malu-malu. Sambil buat muka selamba. Susahnya berubah, kerana manusia sentiasa akan menilai diri kita. Bukan sekadar keluarga, malah masyarakat akan sentiasa menjadi penghalang seolah kita melakukan perkara yang pelik. Sejak dari itu, saya kekal bertudung sehinggalah suatu hari setahun dari kisah menjemur kain, sewaktu keluar bersama teman-teman. Saya baru selesai menunaikan solat di sebuah madrasah berhampiran kawasan sekolah, dan beberapa teman lelaki melalui pintu solat muslimah dan melihat saya tidak bertudung. Saya tergamam. Saya pulang, menangis dan menangis, terlalu takut saya. Takut andai Allah siksa saya di kubur dan di akhirat nanti. Apa yang saya mahu jawab sekiranya Allah bertanya. Apa alasan saya sekiranya bertemu baginda rasul nanti. Inginkah baginda Rasul mengaku saya ini umat Muhammad? Saya menangis, menangis dan menangis minta Allah ampunkan salah saya.

Itu kisah sewaktu sekolah menengah. Usia saya menjejak 18 tahun, saya memasuki Japanese Associate Degree-program persediaan ke Jepun bertempat di Bangi. Iman saya goyah. T-shirt saya makin lama makin kecil. Meneruskan pengajian ke Jepun, saya mula berani ber t-shirt lengan pendek beberapa kali. Namun Allah menyayangi saya. Saya ditemukan dengan sahabat umpama penjual kasturi. Saya ditegur dan disedarkan dengan lembut. Alhamdulillah, saya teramat bersyukur kerana dipertemukan dengan mereka. Hanya Allah yang dapat membalas budi kalian.

Itu kisah saya. Lain orang lain kisahnya. Sekadar sebuah kisah yang mungkin membosankan anda. Pesan saya, harap jangan menilai seseorang berdasarkan kisah silamnya. Terima sahabat anda seikhlasnya. Mungkin mereka yang belum bertudung, masih belum bersedia atau masih belum mendapat hidayah Allah. Tapi ingat juga, hidayah Allah itu perlu dicari. Kadang-kadang hidayah itu sudah hadir, kita yang mengetepikannya. Anda lebih tahu hubungan hati anda dengan Allah. Siapalah saya untuk menasihati kalian, sekadar peringatan untuk diri sendiri.




Wednesday, June 13, 2007

Malapetaka

karya asal:tokkura
June 13, 2007 5:30pm

Pemberitahuan:- Sebarang karya yang dipaparkan di blog ini adalah hasil idea saya. Sekiranya saya menceduk daripada mana-mana bahan rujukan, insyaAllah akan saya nyatakan rujukannya. Diharap karya yang dipaparkan tidak diulang terbit di mana-mana blog atau website tanpa kebenaran saya. Sila maklumkan sekiranya ingin menggunakan untuk apa-apa tujuan sekalipun. Terima kasih.


Malaysia 2011. Empat tahun Nabila hilang. Hilang dari keluarga, hilang dari ingatan sendiri. Kaki menjejak Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Malaysia bagai sebuah negara asing. Sedangkan Nabila dilahir dan dibesarkan di sini. Tanah tumpah darah tercinta. Lagu Negaraku juga sudah tidak diingatinya lagi. Balai ketibaan bersesak dengan pelbagai jenis ragam manusia. Kelihatannya ramai pelancong asing, terutama mereka yang berbangsa Jepun dari MH 88 penerbangan yang dinaiki Nabila. Tujuh jam dalam penerbangan, terasa keletihan mula memakan sendi-sendi bahu dan pinggangnya. Mata melilau mencari saudara dalam khalayak ramai. Pemandu teksi dan limosin memandang-mandang Nabila. Penduduk tempatan Malaysia juga mula merenung Nabila dan berbisik sesama sendiri. Kenapa?

“Mak Lang!” Jerit Nabila. Mempercepatkan langkah menuju ke arah ibu saudaranya yang berusia dalam lingkungan pertengahan 40-an. Menghulurkan tangan untuk menciumi, namun Mak Lang gesa-gesa menarik tangan Nabila menuju ke pintu keluar. Nabila pinga-pinga tidak memahami.

Sebuah mpv sedang menunggu di ruang menunggu pintu 3, lambang Proton tetapi tidak Nabila ketahui model apa. Tidak pernah dia tahu model sebegini sudah dikeluarkan. Malaysia ternyata semakin maju. Pak Lang yang memandu, Nabila duduk di belakang. Memerhati perubahan yang telah berlaku kepada tanahairnya. Tenang Pak Lang memandu keluar dari kawasan lapangan terbang KLIA menuju ke lebuhraya. Di kiri kanan tidak lagi dikelilingi pohon-pohon kelapa sawit, bahkan sudah dipenuhi dengan deretan bangunan, tidak seperti Malaysia empat tahun yang lampau. Mpv Satira buatan Proton milik Pak Lang meluncur laju membelah suasana asing yang menyerbu minda Nabila, bergerak menuju ke Tobek Godang, rumah arwah Tok Wan. Pusaka keluarga Nabila.

Nabila minta tidak dibuka penghawa dingin kereta. Dia ingin menghirup udara Malaysia yang lama ditinggalkan. Sewaktu melintasi Nilai, matanya sempat menangkap papan tanda bertulis Stesen Nilai Komuter KMB. Ligat otaknya berfikir apakah yang dimaksudkan dengan KMB.

“KMB itu, singkatan untuk apa Mak Lang?”

“KMB.. Keretapi Malaysia Berhad.” Hah?! Kelip-kelip Nabila cuba memahami.

“Masa Bila hilang dulu, tahun 2007 kalau Bila masih ingat-pemimpin kedua tertinggi Malaysia waktu itu telah menukarkan kembali perkataan Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia. Kononnya untuk menyatakan Bahasa Malaysia itu untuk semua rakyat yang berbilang kaum. Sejak dari itu, lepas satu, satu istilah Melayu ditukar. DBP cukup kesal dengan tindakan kerajaan, tapi suara bantahan DBP dan persatuan-persatuan penulis tidak pernah diambil kira.”

Nabila ingat, sebelum kemalangan feri yang berlaku ke atasnya, akhbar tempatan sibuk menceritakan tentang istilah Bahasa Melayu yang diubah kembali ke Bahasa Malaysia. Bahasa Malaysia dimulakan oleh Tunku sewaktu penubuhan Malaysia dan diubah oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1986 sewaktu beliau menjadi Menteri Pendidikan. Dan kini, kembali diubah malah makin teruk jadinya. Tidakkah pimpinan negara tahu, bahawasanya sewaktu Datuk Seri Anwar Ibrahim mengeluarkan ‘bahasa baku’, implikasinya adalah rakyat merasa lebih bersatu padu? Nabila menarik nafas berat, memikirkan nasib Malaysia nanti.

Kelab Golf Diraja Seri Menanti dilalui dan kini tersergam indah Istana Lama Seri Menanti. Pantas Nabila terkenang memori bersama Tok Wan dan kisah Tasik Londa Naga yang diceritakannya. Bagai terasa lagi nyaman angin puput di tepian tasik itu. Kereta meluncur lagi melintasi kampung Buyau, Mertang dan Gunung Pasir. Akhirnya destinasi yang dituju tiba. Kampung Tobek Godang. Tobek Godang, bermakna ‘kolam besar’ dalam dialek Negeri Sembilan, terngiang suara Tok Wan suatu waktu dahulu bercerita kepada Nabila yang tidak tahu langsung berbahasa negeri. Pintu mpv dibuka dan kelihatan sepupu-sepupu dan saudara mara Nabila beratur dihadapan tangga rumah.

“Bila, tak sangka hidup lagi kau rupanya. Rasa macam tengok roh kau berdiri depan aku.”Jerit Syazila sepupu yang sebaya dengan Nabila. Syazila dengan rambut paras bahu dilepaskan meliuk-liuk ditiup bayu petang, memeluk sepupu yang lama hilang. Nabila tersengih sambil berfikir. Sejak bila Syazila tidak bertudung. Bukankah dahulu Syazila antara yang patuh menjaga auratnya? Mata Nabila menjamah setiap wajah yang ada. Syazila dan adik-adiknya yang semua perempuan anak Pak Su Khairi berderet memeluk Nabila. Semuanya sudah tidak bertudung, bahkan siap dengan ‘body hugging’ yang sendat. Astaghfirullah, Mak Su Sarimah juga tidak bertudung! Ada lagi wajah keluarga Pak Long dan Mak Long. Mak Long yang dahulu bertudung labuh ke pinggang sudah bertukar imej ke tudung pashmina yang dibelit-belit. Begitu juga anak sulung mereka, sepupu Nabila yang hanya sekadar bertudung bawal nipis dan jarang-diselempang ke bahu dan dipadankan dengan blouse lengan pendek. Nabila mengucap panjang di dalam hatinya. Empat tahun, satu jangka waktu yang lama. Sesungguhnya hati lebih cepat berbolak-balik daripada isi periuk yang sedang menggelegak.[Petikan kata Ibnu Rawaahah kepada Abu ad Dardaa’ r.a.,]

Semua berkumpul di tengah pangkin, sambil menghirup udara petang. Mak Long menghidangkan kuih lopes dengan teh panas buat hidangan waktu petang mereka. Nabila begitu teruja melihat kuih lopes kegemarannya, empat tahun tidak merasa kuih lopes. Kuih yang dibuat daripada pulut dan dibungkus dengan daun pisang itu direbus sehingga airnya kering. Kemudian dipotong, diasingkan daun pisang dan digaul dengan kelapa parut. Akhirnya dicecah dengan air gula enau. Laju sahaja Nabila menikmati kuih lopes.

“Kak Bila, kenapa kolot sangat pemakaian ni?”Syakila, adik Syazila.

“A ah, tak panas ke pakai jubah dengan tudung labuh begini? Dah lama fesyen macam ni tak dipakai di Malaysia ni. Agaknya kau seorang je kot yang pakai.”Kak Mashitah, menantu sulung Mak Long isteri abang Man.

“Kamu cakap gitu Shitah, Mak Lang yang pergi jemput dia kat KLIA, lagilah malu. Cepat-cepat Mak Lang tarik si Bila ni masuk kereta. Semua orang pandang, rasa macam pergi ambil arwah Tok Wan dulu-dulu lepas balik haji je.” Semua tergelak mendengar cerita Mak Lang. Nabila bingung. Pelik sangatkah dia berjubah labuh ke lutut, sepasang dengan seluarnya-rona hijau lumut. Dipadankan dengan tudung cotton warna putih. Nabila diam.

Sudah seminggu Nabila di Malaysia. Masih terasa canggung dengan suasana Malaysia yang banyak berubah. Malaysia bukan sekadar makin maju, sikap rakyatnya juga sudah jauh berubah. Nabila merasakan agama sudah bukan satu perkara penting dalam diri seorang rakyat Malaysia. Melayu dan Islam sudah tidak selari. Meski dalam perlembagaan masih termaktub yang sekiranya seorang Melayu, agamanya adalah Islam namun hakikatnya Islam hanya sekadar tertulis di atas kad pengenalan. Nabila ingin bertanya tentang kisah seorang wanita Islam yang murtad-Azlina Jailani atau Lina joy dahulu yang meminta agar perkataan Islam dari ked pengenalannya digugurkan kepada sepupu-sepupunya. Apa kesannya kepada Malaysia. Namun, sepupu-sepupunya hanya berkerut-kerut dahi cuba mengingati di mana nama itu pernah wujud. Akhirnya Nabila menyerah kalah. Nanti akan dicari diperpustakaan Negara atau di kedai-kedai buku tentang kes itu.

Sepanjang pulang ke Malaysia, Nabila lebih senang berbaju kurung. Pernah dia ke butik sekitar Seremban, namun jubah yang dicari sudah tidak dijual. Baju kurung pun tidak lagi dijual siap, kalau mahu perlu menempah dahulu. Kata kakak di butik itu, hanya orang tua-tua sahaja pakai baju kurung sekarang ni dik. Kalu buat yang siap, nanti tak laku. Sepanjang pulang ini jugalah Nabila ternanti-nanti kehadiran seseorang ke rumah pusaka Tok Wan ini. Bila ditanya kepada Mak Long, Mak Long sekadar menjawab malas.

“Nabil entah ke mana hilang. Sibuk memanjang dengan persatuan entah apa-apa. Kejap ke UIA, kejap ke UKM. Entah-entah dah masuk ISA agaknya. Kau jangan baik-baik sangat dengan Nabil itu, bahaya. Kerja tabligh, arqam barangkali.” Nabila diam tidak menjawab. Alhamdulillah, Nabil masih Nabil yang dahulu. Nabila tidak risau, kerana dia tahu apakah kerja Nabil.

Hari ini Nabila ke Suria KLCC. Sekadar memenuhi masa lapang, kerana di rumah semua orang sibuk dengan kerja masing-masing. Banyak kerja yang perlu diperbetulkan di rumah. Sejak pulang, Nabila masih tidak melihat seorang pun yang membaca al-Quran. Setiap malam, hanya suara Nabila sahaja yang kedengaran mengalunkan kalimah Allah itu. Sewaktu mencari kitab Allah di rumah, Nabila lihat al-Quran yang ada sekadar diletakkan di atas rak buku sebaris dengan buku-buku motivasi tulisan Dale Carnegie, novel-novel karya Sidney Sheldon dan koleksi Harry Potter tulisan J.K Rowling. Bahkan kalam Allah itu sudah usang berhabuk dimakan anai sedikit. Nabila menarik nafas dalam, memikirkan tugas yang terbeban dibahu kerana rasa tanggungjawabnya kepada kalimah Laila ha illallah.

Sambil melangkah melihat pelbagai ragam manusia, Nabila terpandang poster memberitahu konsert terbesar Akademi Setan-sia akan diadakan di perkarangan KLCC beberapa hari lagi. Nabila tarik nafas lagi. Dalam banyak-banyak hari, kenapa penganjur memilih hari Jumaat. Konsert bermula jam 9 pagi sehingga 9 malam. Solat Jumaat? Tidak berakalkah penganjur. 12 jam pula tu. Lamanya. Nabila menapak ke luar bangunan menuju ke taman KLCC yang seluas 50 ekar. Dirasmikan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Dato` Seri Dr. Mahathir pada 29 Ogos 1998 meskipun taman itu sebenarnya telah dibuka kepada orang ramai sejak 8 Mei 1998. Nabila mengimbas kembali detik-detik sejarah yang masih tidak luput dari ingatannya. Direka oleh seorang karyawan seni taman dari Brazil, mendiang Roberto Burle Marx, taman ini menyediakan berbagai kemudahan seperti kawasan permainan kanak-kanak, kolan randai kanak-kanak, trek jogging, wakaf serta bangku. Kawasan permainan kanak-kanak seluas dua ekar di taman ini dilengkapi dengan alat-alat permainan berwarna-warni yang selamat. Dikellilingi lebih 1900 batang pokok dan lebih 66 spesies palma mengindahi lagi persekitaran.

Namun Nabila tidak dapat menikmati langsung keindahan yang ada kerana terasa sesak melihat gelagat pemuda-pemudi yang ada. Tanpa segan silu bercengkerama seolah dunia ini milik mereka sahaja. Di satu sudut di bangku yang disediakan, terdapat sepasang remaja sedang duduk-duduk, tetapi tangan si lelaki sudah menjalar ke kawasan-kawasan larangan. Itu belum aksi mereka yang berciuman, dan boleh dikatakan semuanya anak Melayu! Nabila malu, malu yang teramat. Di mana pencegah maksiatnya? Nabila mendekati dua orang yang berada paling hampir.

“Dik, tak manis orang Melayu berkelakuan begini.” Lembut suara Nabila.

“Orang kampung memang sibuk nak ambil tahu hal orang!” jerkah si lelaki.

“Kak, pencegah maksiat pun tiada kuasa nak ambil tindakan, siapa akak yang lebih-lebih pula ni?” gadis manis bermulut lancang itu menempelak. Keduanya bangun meninggalkan Nabila yang kelu.

Nabila membuat keputusan untuk pulang sahaja. Hatinya walang bukan kepalang melihat generasi yang rosak. Sepanjang jalan, kiri kanannya tidak kelihatan gadis manis bertudung, apatah lagi berbaju kurung sepertinya. Nabila merasakan dia keseorangan di muka bumi ini. Adakah perjuangannya tidak berteman? Nabila mahukan Nabil. Di mana Nabil? Nabil, pulanglah..

Tobek Godang. Rumah pusaka Tok Wan. Sebuah kereta Perodua menjalar di hadapan rumah. Nabila penat untuk mengambil tahu siapakah tetamu Mak Long hari ini. Pilu hatinya bukan ada yang memahami. Menjadi anak yatim piatu, sungguh dia merasa keseorangan. Padahal ibu dan ayahnya sudah lama pergi bertemu Yang Esa. Tunduk Nabila melangkah ke bilik, cuba menghindari tetamu Mak Long. Hampir-hampir Nabila terlanggar seorang perempuan. Yang sedang sarat mengandung. Wanita itu tersenyum memeluk Nabila. Siapa?

“Nabila ye? Alhamdulillah. Akhirnya bertemu juga kita.”

“Siapa saudari?”

“Zaujah aku.” Suara Nabil. Nabila pusing menghadap pemilik suara yang dirindui.

Air mata yang lama ditakung mengalir jua akhirnya. Nabila melangkah memaut leher Nabil. Kembar Nabila, dan satu-satunya ahli keluarganya yang masih hidup setelah mereka sekeluarga mengalami kemalangan sewaktu Nabil dan Nabila masih di tingkatan empat. Bahu Nabil basah dengan air mata Nabila. Nabil kelihatannya sangat matang, berbanding empat tahun yang lampau. Perempuan yang sedang sarat mengandung itu tadi memeluk Nabila dari belakang dan mengusap-usap memujuk tangis Nabila.

“Kenapa kau tidak pulang menyambut aku tempoh hari?” Nabila, setelah reda tangisnya.

“Aku punya tanggungjawab lagi besar untuk dilaksanakan. Lagipun aku tiada di sini, aku ke pantai timur. Menguruskan sesuatu.” Nabila faham.

“Tidak mahu kenalkan aku dengan zaujah dan bakal khalifah Islam yang baru?” Nabil senyum merangkul isterinya. Dipimpin ke sofa di ruang tamu. Nabila membontoti mereka, dan Mak Long melangkah ke dapur-memberi ruang kepada Nabil dan Nabila berbicara.

“Kenalkan, Zinnirah-zaujah aku. Usia perkahwinan, hampir setahun. Bakal khalifah ini, insyaAllah akan keluar dalam hujung bulan ini. Itu belum aku fikirkan namanya. Mungkin memang menanti makciknya memberi nama.”

“Kau tahu nama tokoh kegemaran aku. Tak perlu aku namakan.” Nabila gembira, bersyukur ke hadrat Ilahi dan segala macam perasaan menari dalam hatinya.

“Ceritakan apa yang terjadi sewaktu kemalangan itu menimpa kau.” Serius raut wajah Nabil sewaktu menuturkannya. Nabila menarik nafas. Mengulang cerita yang telah dikhabarkan kepada sepupu-sepupunya dahulu hari pertama dia tiba di Malaysia.

2007, aku dan beberapa sahabatku mengadakan jaulah ke Hokkaido, sebuah pulau di utara negeri matahari terbit. Waktu itu cuti musim panas, dan aku baru sahaja melanjutkan pelajaran ke ijazah sarjana tahun pertama. Dalam usia 23 tahun, semangat untuk menyedarkan adik-adik di Jepun tentang al-haq itu berkobar-kobar sehingga membawa kami ke Hokkaido. Destinasi kami adalah Hokkaido Universiti di Sapporo. Perjalanan itu mengambil masa lebih dari sehari dengan menaiki feri. Feri yang kami naiki memang kurang penumpangnya kerana Lautan Pasifik dijangka dilanda taufan. Yang diramal hanyalah taufan kecil, sedangkan yang membidas feri kami adalah taufan yang dahsyat dengan kelajuan hampir 144 kilometer sejam hampir menyamai Taufan Saomai yang melanda Taiwan satu waktu dahulu. Akibatnya kami dibalik ombak besar dan karam di Lautan Pasifik. Semua penumpang dan anak kapal diberitakan hilang ditelan ombak. Samada Allah masih menyayangi aku, atau masih ada tugas aku di muka bumi ini yang belum selesai maka aku terselamat. Dengan berpaut kepada beg pakaian milik aku, aku dihanyutkan sehingga Aomori. Sebuah perkampungan nelayan, berhampiran Hokkaido. Lagi sekali Allah punya perancangan yang aku tidak tahu. Aku hilang ingatan, namun aku tidak hilang agama. Aneh sekali jika difikirkan. Aku tidak tahu siapa nama aku, asal dari mana, namun yang aku tahu-aku adalah seorang muslim. Allahu akhbar.

Makanya aku terus tinggal di Aomori dengan keluarga angkatku, seorang obaasan-nenek tua yang telah kematian suami dan tinggal seorang diri. Meneruskan Islamku, solat, puasa dan sebagainya, aku memohon kepadaNya moga dikembalikan ingatan aku. Dikembalikan tanahair aku. Dan empat tahun kemudian, akhirnya Allah pulangkan memori aku.

Nabila menamatkan kisah hidupnya selama dia menghilangkan diri. Nabil menarik nafas dalam mengucapkan tasbih dan tahmid kepada Allah kerana memulangkan satu-satunya darah daging yang ada kepadanya kembali. Sewaktu diberitakan Nabila hilang dilaut, dia hilang arah. Waktu itu Nabil masih di Melbourne-Monash Medical Centre sedang meneruskan pengajiannya dalam bidang perubatan. Hatinya redha walau dalam walang. Kini adik yang satu di hadapan mata. Tidak berubah, itu lebih dia syukuri. Allah, apakah rahsia dibalik dugaanmu ini.

Nabil memohon cuti beberapa hari semata-mata kerana Nabila. Tambahan pula Zinnirah perlu dibawa ke klinik untuk pemeriksaan berkala menjelang hari-hari yang makin hampir. Mereka bermalam di rumah pusaka Tok Wan. Sepanjang mereka bermalam di situ, Nabila tidak pernah berenggang dengan kakak iparnya. Tidak sabar-sabar mahu menimang anak buah.

Jumaat. Nabil membawa Zinnirah dan Nabila ke Kuala Lumpur. Zinnirah perlu ke Hospital Tawakal di Jalan Pahang untuk menempah bilik sebelum tiba hari bersalin nanti. Meski Nabil sendiri seorang doktor, usianya yang baru menjejak 27 tahun menjadikan dia gementar tambahan lagi itu adalah anak sulungnya. Mereka bertolak awal ke pusat bandar. Temujanji dengan Puan Anisah, doktor senior Nabil untuk pemeriksaan Zinnirah bermula jam tiga petang. Tidak sempat sekiranya solat Jumaat di rumah dan bergegas ke Kuala Lumpur. Lantas Nabil berkira-kira mahu menunaikan solat Jumaatnya di Masjid Asy-Syakirin berdekatan taman KLCC. Mungkin Nabila mahu membeli belah sementara menunggu dia usai solat, walau dia tahu Nabila tidak gemar sangat ke Suria KLCC.

Jam satu petang, Nabil, Zinnirah dan Nabila tiba di pekarangan Masjid Asy-Syakirin. Bingit telinga mereka mendengar bunyi gema dari jauh. Jemaah masjid yang baru tiba juga berkerut-kerut dahi menjelaskan rasa tidak senang dengan bunyi-bunyian itu. Nabila pantas mengingati poster konsert Akademi Setan-sia yang dilihatnya beberapa hari yang lalu. Astaghfirullah. Nabila hanya mampu beristighfar sambil memimpin Zinnirah ke ruang masjid untuk muslimah. Beberapa jemaah tunduk menghormati Nabila dan Zinnirah. Daripada membuang masa di kompleks membeli belah, lebih baik Nabila berehat menemani Zinnirah sementara menunggu Nabil selesai solat. Dari ruang muslimah, Nabila mencuri pandang ke ruang solat lelaki. Satu, dua, tiga, empat saf sahaja? Ke mana pergi lagi lelaki-lelaki lain? Empat saf bermakna mungkin dalam 50 ke 60 orang makmum sahaja. Sekadar cukup syarat untuk menunaikan solat Jumaat sahaja.

Bunyi alat-alatan muzik dan suara penyanyi memenuhi suasana masjid.

Allahu akhbar allahu akhbar…

Aku cintakan kamu, kerana keayuan wajahmu…

Allahu akhbar allahu akhbar..

Kenapa kau tidak mahu memahami hati ini

Ashhadu anlaaila.. KENAPA KAMU!!! Ha illallah..

Tersekat-sekat bilal mengalunkan azan. Berselang-seli suara bilal memanggil umat menunaikan kewajipan kepadaNya dengan suara penyanyi nombor entah ke berapa dalam Malaysia itu menyanyikan lagu paling popular tahun ini dengan suara serak-serak basahnya. Allahu. Sedarkanlah umatMu ya Allah. Kudus permintaan Nabila dari sudut hatinya.

Azan kedua juga masih diiringi dengan lagu-lagu rancak dari konsert Akademi Setan-sia. Nabila tidak henti-henti berdoa moga pihak penganjur atau sesiapa sahaja dari konsert itu menyedari bahawasanya solat Jumaat sedang berlangsung. Sekurang-kurangnya menghormati waktu solat. Khutbah juga disampaikan dalam tenggelam timbul suara gemersik penyanyi wanita. Nabila membayangkan pemuda-pemudi sedang rancak bertepuk sorak menari lelaki perempuan tanpa menyedari bahawasanya malaikat Atid sibuk seolah tidak cukup tangan sedang menulis catatan di bahu kiri dan betapa malaikat Raqib tidak mempunyai pekerjaan untuk dilaksanakan.

Saat imam menyebut ‘ittaqillah’ dalam khutbah yang disampaikan, masjid bergegar. Kipas tegak di tepi dinding terbalik menyambah lantai. Dinding masjid dan lantai beralun mengikut rentak bumi. Jishin! Subhanallah, Nabila memaut bahu Zinnirah yang sedang mengucap tidak henti. Imam tergamam, memberhentikan khutbah. Jemaah yang hadir pinga-pinga. Nabila membuat perkiraan, tidak kuat gegarannya. Mungkin kesan gegaran gempa bumi di Sumatera. Dalam 3 skala Richter sahaja barangkali. Gegaran tamat. Nabila tarik nafas, menggosok-gosok bahu Zinnirah yang kepucatan namun lidah tidak lekang dengan zikir kepadaNya.

BANG!!! Bunyi dentuman entah dari mana. Allahu akhbar!

Nabila bingkas bangun. Meninggalkan Zinnirah. Jemaah sudah mula berkumpul di pekarangan masjid. Bala apa pula kali ini. Nampaknya bukan sekadar gempa bumi sahaja. Ya Allah, terlintas prasangka buruk di hati Nabila. Pantas menyarung kasut, berlari ke arah medan taman KLCC. Minta dijauhkan firasatnya kali ini. Biarlah ia sekadar firasatnya sahaja. Sekeliling Nabila, manusia baru pulih dari kejutan gegaran tadi. Ada yang sedang membantu sesama sendiri, dan ada sekumpulan lelaki berkemeja-mungkin dalam perjalanan ke masjid. Semakin dekat Nabila dengan taman KLCC, semakin kuat bau busuk itu. Nabila terus berlari. Dan berlari. Tersungkur kerana terpijak kain baju kurungnya sendiri, bangun lagi dan berlari. Sambil hatinya berdoa minta dijauhkan dari segala malapetaka.

Ya Allah, kuatnya bau busuk ini. Apakah ia ya Rabbi? Beberapa orang berlari menjauhi pentas konsert. Dalam keadaan histeria seolah melihat sesuatu yang sangat menakutkan. Nabila lari lagi, makin laju langkahnya. Dan di hadapannya, kelihatan seperti sebuah pentas konsert-atau mungkin pernah menjadi sebuah pentas konsert. Terbelah dua. Bumi terbelah dua, rekahan bermula dari pentas konsert menganjur ke tengah-tengah bangunan berkembar Petronas. Maha Suci Allah yang Memiliki alam ini!

Nabila kaget. Penonton entah di mana. Beribu-ribu penonton yang menghadiri konsert hari ini lesap tanpa sebarang bukti. Bau busuk yang keluar dari perut bumi menyesak-nyesak hidung Nabila. Nabila terduduk. Dan dilihatnya tangan seorang tergapai-gapai dari tebing rekahan bumi, meminta untuk diselamatkan. Hampir separuh badannya sudah berada di atas permukaan. Nabila bergegas ingin membantu dan… zapp!! Bagai disentap sesuatu dari perut bumi, lelaki yang terkapai-kapai itu hilang ditelan bumi. Nabila berlari ingin mencapai tangannya, namun di paut dari belakang, dihalang oleh Nabil. Nabil menggelengkan kepala tanda tidak perlu masuk campur dengan urusan al-Malik. Zinnirah memaut bahu kiri, dan Nabil di bahu kanan Nabila. Nabila terduduk kembali, menangis teresak-esak. Terngiang-ngiang kalimah Allah di telinga Nabila.

(keadaan mereka) serupa dengan keadaan Fir'aun dan pengikut-pengikutnya serta orang-orang yang sebelumnya. Mereka mendustakan ayat-ayat Tuhannya maka Kami membinasakan mereka disebabkan dosa-dosanya dan Kami tenggelamkan Fir'aun dan pengikut-pengikutnya; dan kesemuanya adalah orang-orang yang zalim. [al-Anfaal:54]


*Kerana saya berasal dari Kelantan, persekitaran negeri Sembilan sehingga ke Tobek Godang, saya adaptasikan dari novel Mencari Locus Standi (Nisah Haron).


Tuesday, June 12, 2007

Jerusalem

Ketika kota Jerusalem ditawan oleh tentera Salib pada 15 Julai 1099 keadaan begitu menyayat hati. Tentera Salib bertindak kejam.

Menurut Gustav Le Bon, dalam bukunya mengenai perang Salib mencatatkan; "Kaum Salib kita yang mengaku kuat beragama itu tidak cukup melakukan kerosakan dan kezaliman kepada umat Islam. Bahkan mereka sudah bermesyuarat dan mengambil keputusan yang seluruh penduduk Baitul Maqdis dibunuh. Korban kekejaman itu bukan sahaja kepada orang Islam bahkan juga orang Yahudi dan Kristian yang enggan bekerjasama dengan mereka bagi melakukan tindakan kejam itu. Akibat kekejaman itu, kira-kira enam puluh ribu orang dibunuh selama lapan hari lapan malam sehingga tiada yang terselamat."

Ibnu Khaldun pula menulis, "Tentera Salib yang ganas dan kejam itu telah mengganas di Baitul Maqdis selama seminggu. Mereka melakukan rompakan, perkosaan dan membakar rumah-rumah penduduk. Apabila dihitung jumlah mayat di sekitar masjid, dalam rumah dan disepanjang jalan, jumlahnya tidak kurang tujuh puluh ribu orang."

Dan muncullah Salahudin al-Ayubi. Mengalahkan tentera Salib di Hittin pada 4 Julai 1187. Seterusnya membawa kepada kejatuhan Baitul Maqdis pada 15 Oktober 1187 bersamaan hari Jumaat, 27 Rejab 583 Hijrah.

Kini, sejarah berulang lagi. Baitul Maqdis bukan milik umat Islam lagi. Negara-negara Islam tidak pernah mahu bersatu padu sepertinya sejarah sewaktu zaman Salahudin al-Ayubi. Namun, ketika itu umat Islam diselamatkan oleh seorang panglima hebat. Sekarang, apakah kita sedang menunggu kemunculan seorang lagi panglima warisan Salahudin al-Ayubi. Atau, kita sedang membina seorang Salahudin al-Ayubi?

"Sesiapa yang menguasai Palestin, dia menguasai dunia."-Salahudin bin Ayubi



[Rujukan:Salahudin penakluk Jerusalem, Abdul Latip Talib]



Monday, June 11, 2007

HOMESICK


Adik saya berlima dan ucu. Seronokkah kalian pergi bercuti tanpa saya?





Friday, June 08, 2007

alaahai Melayu

Komeda laboratory. Jam 2:00 petang, situasi - semua budak-budak mula mengantuk sebab baru lepas lunch.

Ichimura : Takkan Melayu hilang di dunia!

Inuzuka : Hoi, kau dah kenapa Icchi? Tetiba menjerit macam kena sampuk semangat Hang Tuah je.

Ichimura sengih menunjukkan iPod barunya sedang menayangkan filem Puteri Gunung Ledang. Semangat kemelayuan sangat budak ni. Aku geleng malas. Malas nak layan.

Masuda : Kaulah orang Jepun paling bodoh aku pernah jumpa. Orang Melayu sendiri tak ambil tahu pasal Melayu, tiba-tiba kau, cucu cicit askar Jepun menyokong Melayu pula.

Inuzuka : Nanti kalau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu tukar nama ke Pertubuhan Kebangsaan Malaysia Bersatu, bagitahu aku ye tokkura.

Aku : Takde kena mengena dengan kau, sibuk je nak tahu pasal negara orang!

Fujii : Kenapa, kenapa? Kenapa nak tahu?

Fujii budak undergraduate pula nak menyampuk. Sibuk sungguhlah budak-budak ni. Ichimura berdiri.

Ichimura : Sebabnya, masa itu nanti kita tahulah, pemimpin Malaysia dah kehilangan undi golongan majmuk Malaysia. Terpaksa jual diri, jual bahasa. Kan tokkura?

Aku : Woo.. peliklah aku, kenapa kau bijak sangat Icchi? Tepat sekali!!

Fujii : Ooo.. gitu ke maksudnya. Agama takyah jual ke tokkura?

Aku : Jual Islam Hadhari tu? Tak laku lah. Cina ke India ke, takde siapa yang nak. Ha ha.

Fujii kelip-kelip tak faham. Ichimura, Masuda, Inuzuka tumpang gelak sama aku.
Sama-samalah kita menentang 'pencabulan' dan 'perkosaan' ke atas bahasa Melayu kita!

Petikan daripada Berita Harian, Selasa 5 Jun 2007

‘Bahasa Malaysia untuk semua’

KUALA LUMPUR: Kabinet membuat keputusan menukar istilah bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia bagi menunjukkan bahasa itu milik semua kaum, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, kerajaan sedar Bahasa Kebangsaan merujuk bahasa Melayu, tetapi mahu menjadikannya sebagai bahasa untuk semua rakyat tanpa mengira keturunan dan kumpulan etnik.

“Kita tak nak perkara ini jadi satu polemik yang besar, tapi pandangan kita ialah supaya Bahasa Kebangsaan jadi milik semua.

“Kalau kita anggap ia sebagai bahasa Malaysia, bahasa itulah milik kita semua. Itu rasionalnya… untuk tujuan perpaduan, penggunaan, integriti dan bersatu hati,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Pelancongan Sedunia di sini, semalam.

Najib menjelaskan demikian ketika mengulas laporan berhubung keputusan Kabinet menggunakan semula bahasa Malaysia sebagai istilah rasmi bagi merujuk bahasa kebangsaan.

Kelmarin, Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin dilaporkan berkata, ketika keputusan itu dibuat secara sebulat suara April lalu, Kabinet merasakan bahawa pertukaran istilah itu dapat membantu menyemai rasa kekitaan di kalangan semua rakyat tanpa mengira kaum.

Berikutan itu, semua menteri, universiti awam dan institusi pengajian tinggi tempatan diarah memaklumkan kepada jabatan dan agensi berkaitan untuk mula menggunakan serta merta istilah bahasa Malaysia dalam semua surat, notis dan dokumen.

Istilah Bahasa Malaysia diperkenalkan Allahyarham Tunku Abdul Rahman selepas negara mencapai kemerdekaan bagi mencerminkan identiti Malaysia.

Zainuddin berkata, istilah itu diterima secara umum dan tiada siapa yang bertanya untuk menukarnya sehingga Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Pendidikan pada 1986.

Sementara itu, Datuk Dr Hassan Ahmad dalam ruangan Bicara Karyawan baru-baru ini berkata, Bahasa Malaysia dianggap sebagai istilah yang `neutral’ atau `bebas etnik’.

“Namun begitu, bahasa Malaysia tidak semestinya menunjukkan ia bahasa Melayu. Semua bahasa di Malaysia – bahasa Cina, bahasa Tamil, bahasa Kadazan, bahasa Iban, dan lain-lain lagi - dapat dianggap sebagai bahasa Malaysia, selain bahasa Melayu.

“Hal yang lebih penting ialah, hakikat genetik bahasa atau etnolinguistik bahasa Melayu, iaitu bahasa orang Melayu, bukan bahasa orang Cina, India, Inggeris dan

lain-lain lagi.

“Jadi istilah Melayu tidak dapat dipisahkan atau dihapuskan daripada istilah bahasa Melayu’,” katanya.

Pakar bahasa, Prof Emeritus Dr Nik Safiah Abdul Karim, pula berkata istilah bahasa Melayu sebenarnya sudah diterima masyarakat majmuk yang merujuk Bahasa Kebangsaan.

“Saya sedih dengan keputusan Kabinet. Kita selalu tukar fikiran, apa salahnya kekal dengan istilah bahasa Melayu.

“Saya harap Kabinet kaji semula perkara ini kerana sudah jelas dalam Perlembagaan yang merujuk Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa Melayu,” katanya.

Dr Nik Safiah berkata, bahasa Melayu sekarang bukan lagi merujuk orang Melayu tetapi umum mengetahuinya sebagai Bahasa Kebangsaan yang menjadi pertuturan harian rakyat.




Thursday, June 07, 2007

Rehat dua posen

Ruang maya Yahoo Messenger.
ummu Umar: Tokkura, bilakah seorang manusia itu akan mempunyai masa lapang?

Soalan ummu Umar yang kedengarannya mudah, berjaya menyentak hati saya. Dan, saya terpanggil untuk mengulas sedikit. (Sebenarnya saya sakit kepala berfikir tentang idea design research saya - rehat dua posen.)

Ummu Umar berpendapat, apabila kaki melangkah ke syurga, saat itulah manusia akan mempunyai masa lapang. Tepat sekali kata-katanya. Manusia(baca juga 'kita') tidak dilahirkan ke dunia untuk bersenang-lenang.

Kamulah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk memimpin umat manusia iaitu kamu menyuruh berbuat kebaikan, dan kamu menegah dari kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah.(Ali-Imran:110)

Khalifah, kedengarannya jawatan itu seolah diberi kepada sesetengah manusia sahaja. Walhal, setiap satu daripada manusia itu adalah khalifah. Dan mempunyai tanggungjawab menunjuk jalan yang haq kepada yang tidak tahu, atau saling menasihati sesama mukmin. Lalu, dalam dunia sekarang - adakah manusia punya masa lapang untuk menonton Spiderman 3?

Bagaimana untuk manusia itu lapang andai isu murtad Lina Joy yang tak 'enjoy' dalam Islam itu seolah satu isu biasa yang sudah luput dari minda manusia(ditekankan, baca juga 'KITA'). Rasanya kalau di Malaysia sekarang ini, isu cili merah naik harga dengan isu kekurangan stok minyak masak lagi mendapat perhatian dari isu kemusnahan umat. Allahu akhbar. Padahal mahkamah baru memberi keputusan 30 Mei baru-baru ini! Saya tidak mempunyai ilmu untuk mengulas isu murtad ini.

Sila rujuk murtad dari segi undang-undang yang dikupas oleh penulis Nisah Haron (Keputusan kes Lina Joy). Dan rujuk juga ulasan isu ini oleh penulis Faisal Tehrani (Lina Joy, apa yang kita sambut?) .

Alamak, putus idea mahu menulis. Sahabat saya menegur di Yahoo Messenger. Komander dari hadas Malaysia. Ada masa saya teruskan. Tapi tak janji! Ha ha.


Maaf pada pembaca sekalian. Wassalam.

Tuesday, June 05, 2007

Aku, Mat Jue dan Sultan Muhammad Fateh

karya asal: tokkura
June 5, 2007 2:46pm
sumber:
rencana bersumberkan`Alwi Alatas: Al-Fatih Sang Penakluk Konstantinopel, Penerbit Zikrul Hakim, 2005`


Kurang ajar punya Mat Jue. Siaplah kau!

Ranting kayu di tangan aku libas-libaskan seperti pedang. Mat Jue membalas. Sesekali aku tak sempat mengelak, pedang kayu Mat Jue mengena bahu aku. Sialan! Dia yang bodoh, dituduhnya aku menipu. Tok Ayah cakap, orang-orang yang suka menuduh orang lain jahat, suka buat fitnah dan cerita-cerita menipu ni, Israel saja. Aku mujahid Islam kena perangi orang macam Mat Jue ni!

Mat Jue melibas pedang kayu aku. Dua-dua pedang kami terpelanting. Aku makin sakit hati dengan Mat Jue. Aku terkam Mat Jue, tampar dua pipi Mat Jue yang memang dah penuh dengan parut-parut kesan dicalar duri waktu masuk hutan curi-curi mandi sungai dulu. Tak padan dengan budak perempuan. Hoi perempuan, kalau suka menipu tu, menipu jugalah keluarga kau semua-semua! Jerit Mat Jue sambil menarik tocang rambut aku. Kau yang bodoh. Tok Ayah cakap adalah strategi perang macam tu! Balas aku.

Aku dan Mat Jue tengah main-main perang dekat alur air belakang rumah Tok Ayah. Alur air itu menjadi laluan pesawah melepaskan air ke petak-petak sawah masing-masing. Hujung alur akan berpecah menjadi dua cabang, menjadikan seolah cabang tiga dihujungnya. Di situlah Mat Jue kata nak bina kubu askarnya. Aku ikutkan saja. Lepas itu Mat Jue buat benteng dekat alur air utama, konon-konon menghalang kapal perang aku nak masuk menyerang. Mat Jue ingat aku bodoh agaknya. Tok Ayah selalu cerita pasal Sultan Muhammad Fateh menakluk Konstantinople. Aku pun apa lagi, tunjuklah skill aku pada Mat Jue yang tak berapa bijak tu. Aku kutip ranting-ranting, cabut rumput buat laluan untuk kapal kertas aku panjat bukit tepi alur itu. Lepas itulah si Mat Jue mula bising-bising. Kata aku main tipu. Mana ada kapal boleh panjat bukit. Menjerit-jerit Mat Jue marahkan aku. Aku pantang orang cakap aku penipu. Ranting ketapang yang jatuh aku kutip dan libas betis Mat Jue. Pantas Mat Jue balas dengan ranting yang lagi besar.

Hingar kami bertumbuk sampai ke pendengaran Tok Ayah yang sedang duduk-duduk di serambi depan rumah. Tok Ayah cekak leher baju aku, cekak leher baju Mat Jue, terawang-awang kami. Tok Ayah memang kuat. Tok Ayah ajar orang silat dekat kampung aku. Tok Ayah pernah hidup zaman British ada lagi kat Malaya ni. Sebab itulah Tok Ayah tak suka Amerika sekarang ni. Kata Tok Ayah, Amerika dengan British itu, sama saja jahatnya.

“Ain, kau ni dah kenapa? Tak padan dengan anak perempuan bertumbuk dengan Mat Jue. Tak malu ke orang tengok.”

Aku sekadar mencebik mulut. Tok Ayah pulas betis aku waktu itu, kurang ajar sangat, kata Tok Ayah. Masa itu aku tak menangis walau setitik air mata pun. Aku bilang pada Tok Ayah, Mat Jue yang salah sebab dia bodoh. Mat Jue tunduk saja masa aku baca pertuduhan itu padanya. Mat Jue memang takut dengan Tok Ayah. Mat Jue tu, nama saja lelaki, tapi lembik. Kalau gaduh dengan aku, seratus peratus menang aku.

“Mat Jue kata Ain buat strategi perang tipu. Ain tiru Strategi Sultan Muhammad Fateh yang Tok Ayah cerita saja. Mat Juelah yang salah sebab tak pandai. Tak tahu cerita Sultan Muhammad Fateh takluk Konstantinople.” Tok Ayah kutil lengan aku sebab cakap Mat Jue tak pandai. Aku sengih saja.

Tok Ayah tarik tangan aku dan Mat Jue ke pangkin depan rumah. Tempat Tok Ayah selalu tengok anak-anak murid silatnya berlatih. Kata Tok Ayah, nanti Tok Ayah cerita sekali lagi tentang Sultan Muhammad Fateh. Biar Mat Jue pun tahu cerita itu. Ini semua salah Mat Jue! Semalam Tok Ayah janji nak cerita tentang Salahudin al-Ayubi, ini dah jadi lain pula. Mat Jue yang tak tahu, aku pun kena dengar sekali lagi cerita ini. Ini cerita Tok Ayah.

29 Mac 1432, Sultan Muhammad Fateh dilahirkan. Sultan Murad, ayahandanya Sultan Muhammad Fateh ketika itu sedang membaca al-Quran yang bermaksud "Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata"(Al Fath:1) ketika berita tentang kelahiran puteranya sampai ke telinga baginda. Ini adalah sebagai satu petanda bahawa putera yang lahir itu akan membawa perubahan yang besar dalam sejarah Islam. Sultan Muhammad Fateh dididik dengan ilmu agama dan panglima-panglima perang yang hebat diminta untuk mengajar beliau. Ketika Sultan Muhammad Fateh meningkat umur 19 tahun, beliau sudah memegang tampuk pemerintahan. Di kala itu, beliau sudah sangat arif tentang tipu muslihat musuh kerana sejak berusia 16 tahun lagi Sultan Muhammad Fateh telah diberi kepercayaan untuk menjadi pemangku sultan memerintah Turki sewaktu ayahandanya ke Pulau Magnesia untuk bersuluk.

Sultan Muhammad Fateh bercita-cita untuk merealisasikan hadith yang disabdakan oleh Rasulullah yang tercinta 700 tahun yang lalu.

Abu Qubail menuturkan dari Abdullah bin Amr bin Ash, “Suatu ketika kami sedang menulis di sisi Rasulullah SAW, tiba-tiba beliau ditanya, “Mana yang terkalahkan lebih dahulu, Konstantinopel atau Romawi?” Beliau menjawab, “Kota Heraklius-lah yang akan terkalahkan lebih dulu.” Maksudnya adalah Konstantinopel.” [H.R. Ahmad, Ad-Darimi, Al-Hakim]

Kemudian Tok Ayah tiba-tiba bertanya aku, Ain belum dengar lagikan cerita tentang Salahudin al-Ayubi? Aku geleng sambil menjeling Mat Jue. Mat Jue punya pasallah ni! Tok Ayah paut bahu aku, dan cakap – ramai orang yang kagum dengan kisah peperangan antara Balian of Ibelin dan Salahudin al-Ayubi bila melihat penggambaran filem Kingdom of Heaven, tapi peperangan Sultan Muhammad Fateh jauh lebih hebat. Aku kelip-kelip mata. Budak-budak silat Tok Ayah selalu juga sebut cerita Kingdom of Heaven ini. Mereka berborak-borak sambil main-main rambut aku yang kusut ini. Aku malas nak layan. Tok Ayah sambung cerita yang tergendala.

Hari Jumat, 6 April 1453M, Sultan Muhammad Fateh bersama gurunya, syeikh Aaq Syamsudin, beserta tangan kanannya, Halil Pasha dan Zaghanos Pasha merencanakan penyerangan ke atas Konstantinople dari berbagai penjuru benteng kota tersebut. Dengan berbekal 150 000 ribu pasukan dan meriam buatan Urban – teknologi terbaru saat itu, Sultan Muhammad Fateh mengirim surat kepada Paleologus untuk masuk Islam atau menyerahkan penguasaan kota secara damai atau perang. Constantine Paleologus menjawab akan tetap mempertahankan kota dengan dibantu oleh Kardinal Isidor, Pangeran Orkhan dan Giovanni Giustiniani dari Genoa.

Kota dengan benteng 10 meter tersebut memang sulit ditembusi, selain di sisi luar benteng pula dilindungi oleh parit sedalam 7meter. Dari sebelah barat melalui pasukan altileri harus membobol benteng dua lapis, dari arah selatan laut Marmara pasukan laut harus berhadapan dengan pelaut Genoa pimpinan Giustiniani dan dari arah timur armada laut harus masuk ke selat sempit Golden Horn yang sudah dilindungi dengan rantai besar hingga kapal perang ukuran kecil pun tidak boleh melepasinya.

Berhari-hari hingga berminggu-minggu benteng Konstantinople tak bisa dimusnahkan, kalaupun runtuh membuat celah, pasukan Konstantine mampu mempertahankan celah tersebut dan dengan cepat menumpuk kembali hingga tertutup. Usaha lain pun dicuba dengan menggali terowong di bawah benteng, cukup menimbulkan kepanikan kota, namun juga gagal. Hingga akhirnya sebuah idea yang terdengar bodoh dilakukan hanya dalam satu malam. Salah satu pertahanan yang agak lemah adalah melalui selat Golden Horn yang sudah dirantai. Idea tersebut akhirnya dilakukan, iaitu memindahkan kapal-kapal melalui darat untuk menghindari rantai penghalang, hanya dalam semalaman dan 70 buah kapal akhirnya berjaya memasuki wilayah selat Golden Horn.

29 Mei, setelah sehari beristirahat, Sultan Muhammad Fateh kembali menyerang, diiringi hujan dengan tiga lapis pasukan, irregular di lapisan pertama, Anatolian Army di lapis kedua dan terakhir pasukan Yanisari. Giustiniani sudah menyarankan maharaja Konstantine untuk mundur atau menyerah tetapi Konstantine tetap bertahan hingga gugur di peperangan. Kabarnya maharaja Konstantine melepaskan baju perang kerajaannya dan bertempur bersama pasukan biasa hingga tidak pernah ditemukan jasadnya. Giustiniani sendiri meninggalkan kota dengan pasukan Genoanya. Kardinal Isidor sendiri melarikan diri dengan menyamar sebagai budak melalui Galata, dan Pangeran Orkhan gugur di peperangan.

Konstantinopel telah jatuh, penduduk kota berbondong-bondong berkumpul di Hagia Sophia, dan Sultan Muhammad Fateh memberi perlindungan kepada semua penduduk, siapa pun, baik Islam, Yahudi ataupun Kristian. Hagia Sophia pun akhirnya dijadikan masjid dan gereja-gereja lain tetap sebagaimana fungsinya bagi penganutnya.

Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan, timbul pertanyaan siapakah selayaknya menjadi imam. Sultan Muhammad Fateh memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya untuk bangun dan baginda lantas berkata. "Siapa di antara kamu sejak balighnya hingga ke saat ini pernah meninggalkan sembahyang fardhu sila duduk!" Tiada seorang pun yang duduk, melambangkan tidak ada seorang pun di antara mereka yang pernah meninggalkan sembahyang fardhu.Sultan Muhammad Fateh berkata lagi, "Siapa di antara kamu yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan sembahyang sunat rawatib sila duduk!" sebahagian daripada tenteranya duduk. Sultan Muhammad Fateh meneruskan lagi, "Siapa di antara kamu yang sejak baligh hingga ini pernah meninggalkan sembahyang tahajjud, sila duduk!" Kali ini seluruh tenteranya duduk, kecuali seorang. Dia itu tidak lain tidak bukan ialah Sultan Muhammad Fateh sendiri. Dialah orang yang tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat sunat Rawatib dan solat Tahajjud sejak akil baligh. Inilah dia anak didikan Shamsuddin Al Wali dan dialah ketua yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah s.a.w.

Kota Konstantinopel akan jatuh ke tangan Islam. Pemimpin yang menaklukkannya adalah sebaik-baik pemimpin dan pasukan yang berada di bawah komandonya adalah sebaik-baik pasukan.” [H.R. Ahmad bin Hanbal Al-Musnad]

Mat Jue memuncungkan mulutnya. Berat nak mengaku yang aku tak salah sewaktu memikirkan strategi perang tadi. Aku tersengih-sengih, tanda aku menang lagi hari ini. Tok Ayah menamatkan ceritanya. Tok Mek datang membawa sedulang ubi kayu rebus dengan sambal ikan bilis. Berasap berkepul-kepul ubi rebus itu. Terus aku dan Mat Jue melupakan sengketa sebentar tadi.

Hari ini aku berdiri lagi di sisi alur kecil itu. Dari jauh aku lihat Mat Jue tersengih memandang aku. Lama sudah kisah itu berlalu. Aku dan Mat Jue masih kanak-kanak umur lima enam tahun ketika itu. Pohon ketapang pun sudah tiada lagi. Ditebas oleh arwah Tok Ayah kerana aku dengan Mat Jue suka sangat memanjat sampai pernah terjadi Mat Jue patah tangan kerana aku tolak dari atas dahannya yang tinggi lebih 2 meter itu.

“Assalamualaikum. Lama tak jumpa. Sihat ke, bakal jurutera NurAin?” Mat Jue, 24 tahun.

“Waalaikummussalam. Alhamdulillah sihat doktor Zulfikri.” Aku, 23 tahun. Kembali aku tersenyum melihat Mat Jue dan alur kecil, serta memori Sultan Muhammad Fateh.

Sunday, June 03, 2007

Kembara tak berdestinasi

Karya asal : tokkura
June 3, 2007 2:25 am

*Ditujukan khas buat seorang sahabat yang mungkin tersadung dalam meniti liku hidup. Allah menguji kerana Dia punya perancangannya yang tersendiri. Moga kamu bertabah hati.

Aku berjalan lagi. Namun perjalanan ini umpama tiada destinasi tertentu yang ditujui. Lelaki berjubah putih dengan kopiah biru itu terus berjalan. Dan terus berjalan. Tiada letih. Aku mula kehausan, kepenatan, hati mula merungut. Padahal dari asalnya lagi aku juga tidak tahu mengapa aku mengikuti lelaki ini. Sedar-sedar, aku berdiri di tengah padang pasir ini, dan lelaki itu tersenyum pada aku. Kaget. Aku sekadar tersenyum kembali. Matahari memancar garang, meyimbahkan cahayanya tanpa belas. Malah aku rasakan, seolah kawasan ini sedang berlaku permasalahan penipisan ozon yang teruk. Serasa sinaran ultraviolet matahari terik menembus ke kulit yang mula dibakar bahang. Teringat pada laporan permasalahan ozon yang berlaku kebelakangan ini. Laporan dari NASA dan National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) menyebutkan lubang ozon di kawasan kutub selatan telah mencatatkan rekod keluasan dan kedalaman yang teruk. Laporan yang direkod tanggal 21 – 30 September 2006 menunjukkan luas kawasan rata-rata di mana terdapat lubang ozon merupakan kawasan terbesar yang pernah direkod iaitu sekitar 17.06 juta kilometer persegi. Jika keadaan cuaca di stratosfera normal, maka lubang ozon akan mencapai ukuran 14.3 – 15.0 juta kilometer persegi atau lebih senang digambarkan dengan hampir sama dengan luas Amerika Utara. Namun padang pasir ini ternyata jauh dari Antartika. Ahh..pastinya orang-orang di sini tidak ambil peduli dengan keadaan cuaca yang panas. Padang pasir memang sepanjang tahun mengalami cuaca panas terik.

Langkah kaki aku makin mengecil. Lelaki berjubah putih dengan kopiah biru itu berpaling ke belakang. Mungkin merasakan aku tertinggal agak jauh ke belakang. Dari mulutku mula kedengaran dengusan-dengusan kecil kerana dipaksa mengikut lelaki itu. Sudahlah tidak diberitahu arah tujunya. Salam sepatah pun tidak diberi ketika mula-mula bertemu tadi. Aku mula bosan dengan tingkahnya. Padahal tadi aku juga ingin mengikutnya. Kalau kamu berada di tempat aku, pastinya itu juga keputusan yang akan kamu buat. Bayangkanlah kamu tiba-tiba berdiri di tengah-tengah padang pasir, seorang diri. Yang kamu mampu lihat hanyalah pasir yang dibahang mentari dan hanya pasir semata! Tiada pohon kurma seperti yang dikhabarkan banyak ditanam dikawasan padang pasir. Walau aku sendiri tidak pernah melihat pohon kurma. Tiada juga wadi-wadi kecil. Hanya pasir. Dan lelaki berjubah putih berkopiah biru itu. Pandangan matanya meminta aku mengikutnya. Aku yang kehilangan arah, pastinya akan mengikut saja. Pastinya kamu juga akan begitu bila tiada pedoman! Hausnya tekak aku. Mahu air…

Lelaki dengan kopiah biru itu menghulurkan sebotol air mineral padaku. Masih tanpa suara. Sepertinya dia tahu aku kehausan. Memberi saat aku memerlukan. Waktu itu aku sudah terduduk kepenatan. Kepenatan mengejar lelaki yang tidak aku kenali itu. Benci yang mula bercambah, hilang serta-merta. Tanpa kesan. Kerana merasakan hanya dia yang memahami perasaan aku tika itu. Walhal aku tidak pernah mengenali dirinya sebelum ini. Perjalanan yang tidak ada tujuan itu diteruskan. Aku makin menyukai lelaki itu. Aku percepatkan langkah menyaingi langkahnya. Air mineral yang diberi seolah tidak pernah susut meski aku sudah meminumnya berkali-kali. Aneh. Aku berjalan seiringan. Masih tiada butir bicara yang keluar dari lisannya. Juga masih tidak diberitahu hala tuju kami. Sebuah bandar dilalui, lelaki itu berhenti barang seketika dan berborak dengan penduduk yang ada. Masih tidak bersuara padaku. Perjalanan tanpa destinasi itu diteruskan kemudiannya. Bertemu lagi dengan penduduk yang lain, berbicara lagi. Makin mesra. Pusat bandar makin dihampiri, bertemu penduduk lagi. Berborak lagi. Bertemu. Berborak. Dan makin jauh dari aku. Penduduk lain makin mesra dengannya. Aku sekadar memandang dari jauh. Masih cuba mendekati lelaki berkopiah biru. Cuba bersuara dan mengenalinya. Gagal.

Lelaki berkopiah biru itu makin mesra dengan penduduk setempat. Berkenalan dengan beberapa penduduk, duduk-duduk di kedai makan, minum kopi, dan berbual lagi. Aku ikut serta, tapi seolah ada ruang antara kami yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar. Kemudian dia makin jauh. Jauh. Jauh..

Dia meneruskan perjalanan yang tidak berdestinasi tu dengan seorang penduduk setempat. Aku ditinggalkan di bandar ini. Bandar yang aku tidak punya kenalan. Aku kepenatan. Kembali memikirkan kenapa aku mengikut seorang lelaki yang tidak aku kenali, berpenat badan, dan hanya dengan diberi sebotol air, aku boleh melupakan bahawa aku sememangnya tidak pernah mengenalinya.

"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan berkata, kami telah beriman sedangkan mereka tidak diuji? Dan sungguh kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, sungguh Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sunguh Dia mengetahui orang-orang yang dusta."[al-Ankabut:2,3]

Glosari kata:

1. aku – seorang perempuan yang sedang mencari arah tuju hidup

2. lelaki berkopiah biru – jelmaan lelaki yang kelihatannya baik, namun tidak diketahui isi hatinya

3. padang pasir – dunia yang sebenarnya penuh dengan dugaan dan cubaan dariNya

4. perjalanan tanpa destinasi – sebuah kisah cinta yang tidak ada untungnya dan tiada matlamat tujuan

5. air mineral – kasih sayang yang dicurahkan saat diperlukan(dahaga)

6. bandar – ujian yang hadir sewaktu proses percintaan berlaku

7. penduduk – insan-insan yang tidak dikenali yang hadir dalam hidup seseorang

8. penduduk setempat yang mengikut – seorang `aku` yang lain, yang juga gagal mencari locus standi dirinya