Kejayaan vs Kegagalan
Tetamu jemputan News Station menyebut, 'sudah sikap bangsa Jepun, takut untuk menghadapi kegagalan, gagal sekali bermakna gagal selamanya'. Itu isi penting daripada ulasannya. Beliau meluahkan rasa kekecewaan dengan kemenangan pertama Okada Japan, dengan 3 gol oleh midfielder dan defender bukan dari forward. Walaupun kemenangan ini membuktikan kehebatan semua pemain, gol sepatutnya dikuasai oleh forward dan dibantu oleh yang lain. Satu kelemahan pemain bola sepak Jepun adalah 'takut' untuk menjaringkan gol. Takut sekiranya tendangan yang dibuat menemui kegagalan dan disalahkan kerana kecuaian sendiri. Kerana itu ramai pemain Jepun lebih gemar passing dan dribble.
Malahan perkara 'takut' ini bukan sahaja berlaku dalam permainan bola sepak, ia juga berlaku dalam kehidupan seharian bangsa Jepun yang diagungkan sebagai salah satu bangsa termaju di dunia. Satu kegagalan membawa maksud kegagalan seluruh hidup, dan mentaliti ini disampaikan kepada kanak-kanak di luar sedar orang-orang dewasa.
Jadi, apakah itu kegagalan? Atau lebih tepat jika saya tanya, apa itu kejayaan pada mata kita?
Adakah mereka yang gagal mendapat tempat di universiti, bekerja hanya sebagai tukang sapu sepanjang hidup mereka, adalah golongan manusia yang gagal? Jika ya, makanya arwah atuk saya adalah seorang yang gagal kerana tidak ke universiti dan hanya bekerja sebagai tukang buat rumah sepanjang hayatnya. Sebaliknya, adakah berjaya masuk universiti, mendapat segulung ijazah, sambung master dan bekerja dengan gaji lima angka membuktikan bahawa anda seorang yang berjaya dalam hidup? Jika itu adalah jawapannya, saya merupakan golongan yang hampir berjaya (gaji saya mungkin tidak mencapai lima angka).
Gagalkah Sultan Muhammad Fateh yang menyerang kubu kota Konstantinople selama hampir 48 hari sehingga beliau menemui jalan untuk menyeberangi kapal melalui puncak gunung ke Teluk Golden Horn, gagalkah Alexander Graham Bell yang 100 kali gagal mencipta telefon sehingga akhirnya telefon pertama di dunia tercipta? Dan gagalkah Rasulullah SAW yang mengetuk pintu rumah Abu Jahal sebanyak 70 kali mengajak Abu Jahal memeluk Islam? Apakah maksud kegagalan yang sebenarnya?
Lojikkah jika saya mengatakan istilah gagal dalam hidup juga membawa maksud kejayaan hidup seseorang? Anda setuju?
Maka di sini saya mahu membuat satu pembetulan. Tidak, saya bukan seorang yang berjaya dalam hidup. Cuma jalan hidup saya dipermudahkan oleh Yang Berkuasa. Saya masih belum bertemu 'sesuatu' yang bisa membuktikan saya sebenarnya telah berjaya.
Lantas, sekali lagi saya bertanya, apakah itu kejayaan, apakah itu kegagalan?
"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, kami telah beriman, dan mereka tidak diuji?" (al-Ankabut : 2)
Jalan hidup saya masih dipermudahkan. Ujian penanda aras kegagalan dan kejayaan saya masih belum dibentangkan. Mungkin saya akan gagal, harapannya saya akan cemerlang. Sungguh, kejayaan itu tidak ditafsir dengan kebendaan dan pancaindera. Kesan daripada kegagalan (baca;pengajaran) itulah mengubah seseorang untuk menyedari di mana ia patut mencari kejayaannya.
Saya sendiri lebih gemar menetapkan kejayaan/kegagalan sama erti dengan syurga/neraka. Mahalnya harga sebuah kejayaan...
Wallahualam.
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home