Mimpi 1522 Hijrah
May 17, 2007 4:45 pm
Saya terjaga, mata masih terpisat-pisat
“Ibu, kakak sudah bangun!”
Siapa? Suara kanak-kanak manakah itu? Gemersik sekali, seperti saya pernah berjumpa dengannya di suatu tempat. Dan tiba-tiba, suasana yang suram itu dilimpahi cahaya kalimantang terang benderang. Saya memejamkan mata
“Bagaimana, sudah rasa sihat sedikit?”
Saya masih bingung. Tidak menjawab soalan yang dilemparkan. Suasana dalam bilik saya juga sudah berubah. Ya, masih bilik saya yang dahulu. Cumanya hiasan dalamannya sudah berubah, dan yang pasti, bukan milik saya. Kertas dindingnya dipenuhi dengan bunga-bunga kecil warna ungu, seolah seperti lavender. Katilnya juga bercadar ungu dan segalanya berwarna ungu.
“Ini bilik anak sulung saya, Amar. Kamu selamat saja, jangan risau.”
“Kejap, kejap.. siapa awak, siapa budak kecil tu, siapa Amar? Dan sini ni, rumah siapa. OK, ok, this is your house right?! Tapi kenapa dan bagaimana aku.. emm, saya boleh berada di sini?”
Wanita itu mengukir senyum. Mungkin berniat untuk mempersendakan saya yang kebingungan. Manusia memang suka mentertawakan manusia lain. Mencari kesalahan orang lain. Saya diajar oleh dunia untuk pesimis kepada semua orang, termasuklah Adam. Namun, senyumnya kelihatan ikhlas. Saya rasa selamat. Tenang.
“Saya Sumayyah. Ini Balqis.” Sambil tangannya memegang bahu kanak-kanak perempuan itu. Mata Balqis berwarna biru laut. Barulah saya sedar, mereka mempunyai sepasang mata yang cantik. Wanita yang menggelar dirinya Sumayyah itu juga mempunyai sepasang mata yang berwarna biru laut.
“Amar yang menemukan kamu.”
“Natasya. Ain Natasya binti Abdullah.”
“Amar yang menemukan Ain. Tiba-tiba Ain ada dalam bilik ini, di atas katil ini. Tiada siapa yang tahu dari mana Ain datang, melainkan Allah yang Satu.” Sudah saya katakan Natasya, dipanggil juga Ain. Huh..!!
Dalam bilik ini? Takkan saya turun dari langit pula. Apalah perempuan ini mengarut.
“Saya nak mandi. Bilik air di mana?”
Wanita itu masih tersenyum. Dan menghulurkan tuala bersih dan sepasang persalinan lengkap. Selepas menunjukkan di mana bilik air, mereka berdua meminta izin untuk keluar. Bersopan sekali tingkah Sumayyah dan Balqis. Walaupun saya mungkin turun dari langit, tapi saya masih tetap tetamu yang perlu dilayan dengan baik. Haha..
Seusai mandi dan bersiap, saya merayau-rayau sekeliling kamar itu. Menyelak langsir dengan corak abstrak dengan rona ungu – betulkah ini kamar Amar, tak sesuainya ungu dengan lelaki. Fikir saya. Ternyata, pemandangan di balik langsir itu masih sama dengan pemandangan dari bilik saya. Tidak syak lagi, ini adalah rumah saya. Kondominium tingkat 15 ini saya beli dengan wang titik peluh sendiri. Kondominium tiga bilik ini, saya miliki kala umur baru mencecah 24 tahun. Tahun 2007 hadir, dan saya baru berusia 26 tahun. Bagaimana saya mampu memiliki semua ini dalam usia yang muda? Haha.. terima kasih kepada ayah yang mengajar saya untuk mencari rezeki dengan maruah saya.
Kisah hidup saya tidak seindah dan secantik kisah hidup manusia-manusia biasa. Tidak pernah berpeluang untuk menjejakkan kaki ke sekolah menengah. Semasa arwah ibu masih hidup, kami berdua mencari rezeki dengan menjual nasi lemak ke kantin sekolah. Saya tidak pernah mengenal siapa itu ayah saya. Orang kampung menggelar saya anak haram. Kata ibu, biarkan saja mereka berkata-kata, nanti mereka akan penat sendiri. Namun, ibu yang setia menemani saya meninggal ketika saya masih berumur 15 tahun. Dan entah dari mana, tiba-tiba ayah muncul. Saya pernah melihat wajah ayah dari sekeping gambar yang ibu simpan. Ayah mengajak saya pindah dari kampung, dan kami melangkah ke bandar. Mulanya saya fikir, Allah pasti membantu anak yatim dan kerana itu Dia mengembalikan ayah kepada saya yang kehilangan ibu. Di bandar, ayah ajar saya bagaimana untuk menjual diri dan maruah.
Mulanya saya menentang dan menangis, namun ayah pesan, manusia semuanya busuk hati. Siapa yang miskin akan dihina dan dicaci. Andai kita punya wang dan pangkat, tiada siapa akan bertanya asal-usul kita. Semuanya akan hormat kita. Saya tidak mahu lagi dihina dan dicaci. Tidak mahu lagi digelar anak haram. Tidak mahu menderita seperti ibu. Walau ibu tidak menceritakan kepada saya, namun saya tahu. Ibu menderita dan sakit kerana cacian orang kampung. Buat pertama kalinya, ayah suruh saya bersiap dalam sebuah bilik kecil dan seorang lelaki hadir. Selepas semuanya selesai, saya akan diberi ganjaran. Ganjaran yang diterima sangat lumayan, jumlah pendapatan menjual nasi lemak saya dan ibu untuk sebulan. Dan saya memperolehinya dalam masa 2 jam sahaja.
Saya semakin bijak berurusan dan mencari pelanggan. Sambil mencari rezeki, saya mula membina hubungan bisnes. Ketika saya mencecah 20 tahun, saya punya sugar daddy berpangkat dato` dan mendapat syer di atas nama saya. Ketika berusia 23 tahun, saya meninggalkan sepenuhnya bidang `maruah` dan menumpukan perhatian kepada perniagaan. Harta saya makin bertambah, dan pangkat saya makin tinggi di mata manusia. Saya tidak lagi digelar anak haram. Di mana-mana saya dihormati.
“Kak Ain, ibu panggil makan.” Balqis bersuara dari celahan daun pintu. Terkejut saya, kalau ye pun ketuklah dulu.
“Saya ketuk tadi, Kak Ain tak jawab. Afwan.” Erkk.. dia boleh baca hati aku ke?!
Saya sekadar mengangguk dan menurut Balqis. Balqis merenung saya dan tergak-agak untuk bersuara.
“Kenapa?” Pelik sangat ke saya pakai baju kurung ni? Dah ibunya yang bagi baju kurung ni, saya pakai sajalah. Takkan nak komplen pula walaupun saya sendiri sudah bertahun tidak berbaju kurung.
“Ermm.. abang Amar ada di rumah. Semua sedang menunggu di bawah untuk makan malam.”
“Oo..ok. Maaf kerana membuatkan semua menunggu.”
Saya melangkah ke luar kamar dan bersedia untuk menuju ke ruang makan. Namun Balqis masih tercegat. Saya memandang dan membuat isyarat kenapa. Balqis teragak-agak dan akhirnya perlahan berjalan melintasi saya dan menuju ke ruang makan.
Di ruang makan kelihatan wanita yang menggelar dirinya Sumayyah tadi dan seorang remaja perempuan sedang duduk di kerusi menghadap meja makan. Remaja perempuan itu seolah-olah terkejut melihat saya. Sumayyah sekadar tersenyum. Balqis tunduk seperti rasa bersalah. Saya tidak faham dengan keluarga ini. Seorang lelaki muncul menatang dulang berisi makanan, dan sewaktu melihatkan kehadiran saya, mata bertentang sesaat. Terus dia menundukkan pandangan dan wajahnya ke lantai.
“Ibu, Amar makan di ruang tamu saja. Afwan..” Lelaki itu yang mungkin hampir sebaya dengan saya berpaling untuk beredar. Saya masih bingung, kenapa?!
“Amar sayang, makan di sini sajalah. Tidak baik berpaling dari tetamu sebegitu.” Sumayyah berpaling menghadap saya sambil tersenyum.
“Aisyah, tolong ambilkan tudung untuk kak Ain. Boleh sayang?” Remaja perempuan itu berlalu dan kembali dengan sehelai kain tudung, menghulurkan kepada Sumayyah. Sumayyah menyelak rambut saya yang berjuntai di hadapan, dan memakaikan tudung rona coklat itu. Saya seperti orang bodoh sahaja, menurut apa yang diperlakukan. Terimbas kembali arwah ibu yang pertama kali memakaikan saya tudung sewaktu saya memberitahu ibu tentang saya yang sudah didatangi haid.
Amar kembali ke kerusi yang kosong dan kami berlima menjamu selera. Hidangannya simple, namun teryata berjaya membuka selera saya. Sekadar nasi lemak berlaukkan ayam goreng sahaja. Sambil menyuapkan nasi ke mulut, mata saya meliar ke segenap pelusuk rumah. Sekali lagi saya amat pasti, ini adalah kondo milik saya! Hiasan sudah jauh berubah. Sederhana, namun redup mata memandang. Seolah-olah saya melihat Sumayyah itu sendiri, begitulah saya melihat hasil tangannya.
Dan.. sekeping kalendar di atas rak buku. 10 Rabiulawal 1522 Hijrah. Huh..
“Suami awak tak pulang makan malam ke?”
“Ayah dah tiada. Meninggal tahun ke 1511 Hijrah.” Pantas remaja perempuan yang digelar Aisyah itu menjawab.
“Maaf. Sudah lamalah ye. Sudah sepuluh tahun yang lalu, tahun 1997.”
Semua serentak terhenti. Sumayyah dan anak-anaknya berpaling menghadap saya. Kenapa?! Sempat saya perhatikan, Amar sekadar memandang sekilas, dan terus menundukkan pandangannya. Jijik sangatkah saya ini? Huh.. Meluatnya saya!
“Sepuluh tahun yang lalu adalah tahun 2091 mengikut kalendar Masihi.” Tuntas Balqis.
“Sorry… ini tahun apa?” Saya bingung amat.
“Kenapa enti tahu perkataan tamadun lama itu?” Amar bersuara dalam nada yang perlahan.
Apa yang sedang berlaku ini? Saya makin tidak mengerti.
“Sekarang tahun 2101 Masihi. Ain dari tahun ke berapa Masihi?” Lembut suara Sumayyah.
“OK, what the hell is going on right now?! Kenapa tanya soalan begitu.”
“Meski ibu ana tidak memahami bahasa purba itu, tapi ana harap enti boleh menghormati ibu ana. Sila jangan guna perkataan yang kasar.” Masih tidak memandang saya.
“Maaf, saya tidak berniat begitu. Saya lahir tahun 1981, sebulan yang lepas baru sahaja menyambut ulangtahun ke 26 pada 26 Mac 2007. Minta Encik Amar yang kelihatannya sangat arif, menerangkan apa yang terjadi.”
Kami menyudahkan hidangan makan malam dengan tenang meski hati saya teramat bercelaru apabila diberitahu sekarang adalah tahun 2101. Mustahil!! Usai semua menjamu selera, Sumayyah mengajak semua ke ruang tamu. Amar masih seperti tadi, menundukkan sahaja pandangannya dari memandang saya. Saya benci amat!
Amar bercerita seringkas mungkin. Namun saya sukar menerimanya, teramat sukar.
2007, zaman saya hidup dahulu sudah lama. Terlalu lama kerana sekarang dunia sudah menghadapi tahun 2101. Wawasan 2020 yang diwar-warkan tidak kesampaian.
Silibus pendidikan digubal seratus peratus, sistem jual beli malah sehingga kepada sistem mengasingkan lelaki dan perempuan dalam komuter juga telah digubal. Dalam membina sebuah negara baru itu, ramai yang syahid. Dibunuh oleh golongan hartawan yang tidak suka kepada perubahan. Namun, satu yang hilang sepuluh yang bangkit berdiri!!
Kini
Panjang cerita Amar. Saya mendengar dengan khusyuk sekali seolah-olah sebuah dongeng sebelum tidur. Dan saya terjaga, tertidurkah saya? Pastinya Amar akan memarahi saya…
Ruang tamu tadi yang terang benderang, kini gelap. Saya sedang berbaring di atas katil rumah saya, tanpa sehelai pakaian pun. Adam di sebelah. Tertidur keletihan. Saya termenung, bermimpikah saya?! Tentang Sumayyah dan keluarganya. Amar yang sentiasa tunduk, Balqis yang pemalu, Aisyah yang kurang bercakap, kamar rona ungu itu… cahaya matahari mencuri masuk melalui ruang-ruang antara langsir jendela. Saya bangun mengenakan jubah tidur yang berselerakan di lantai dengan pakaian-pakaian saya dan Adam. Masih dengan kepala yang sarat seolah-olah Sumayyah dan keluarganya benar-benar wujud, saya melangkah ke kamar mandi.
Meninggalkan Adam yang masih lena.
Dari kamar mandi, saya mengeringkan rambut yang basah. Mula mengenakan pakaian untuk hari ini. Sederhana saja sudah cukup. Sepasang sut jaket rona peach dipadankan dengan skirt pendek paras lutut dan blouse merah. Menyapu bedak asas, lipstick dan segalanya. Adam sudah terjaga. Lagipun jam sudah menunjukkan ke pukul 9 pagi. Adam tidak perlu ke pejabat. Masih mahasiswa universiti, malah segala perbelanjaan sewaktu keluar makan, saya yang bayarkan. Hari ini hari biasa bagi saya. Perlu ke pejabat untuk meeting dengan client dan sebagainya. Adam memeluk pinggang saya dari belakang dan mencium pipi sebelum saya keluar rumah.
Saya kunci pintu rumah, dan melangkah ke lif. Baru saja ingin menekan punat tutup pintu, seorang lelaki berlari-lari untuk bolos masuk. Saya tekan punat buka pintu dan membenarkannya masuk. Lelaki itu memandang saya sekilas dan terus menundukkan pandangannya. Degup hati saya seolah terhenti seketika.
“Amar?!”
“Ya, saya.”
Dia dengan pandangan hairan memandang kurang dari sesaat, dan terus tunduk kembali.
2 Comments:
hebat nya sayang !!!!
mabruk alaik....moga dengan bakat yg ada akan dipergunakan utk dakwah.
sambung la ceritanya...
pasti saya orang yg pertama menanti dan ingin mengetahui kesudahannya...:)
kpd ummu umar:
erkk..tidak berniat untuk sambung.
lagipun, mmg tidak ditulis perkataan bersambung..
maaf, itu endingnye.
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home