Bicara kalam...

Wahai Muhammad!Kobarkanlah semangat para mukmin untuk berperang. Jika ada 20 orang yang sabar di antara kamu, nescaya mereka dapat mengalahkan 200 orang musuh. Dan jika ada 100 orang yang sabar di antara kamu, nescaya mereka dapat mengalahkan 1000 orang kafir, kerana orang-orang kafir itu adalah kaum yang tidak mengerti. Al-Anfal:65

My Photo
Name:
Location: Shah Alam, Selangor, Malaysia

Dilahirkan di Pasir Mas, Kelantan, menamatkan ijazah sarjana muda di Saitama University dan ijazah sarjana di Shibaura Institute of Technology dalam Kejuruteraan Mekanikal. Bertugas sebagai pensyarah Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, UiTM Shah Alam. Sebarang ambilan dari blog ini, diharap dengan kebenaran. Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku hanya untuk Allah, tuhan semesta alam.

Wednesday, June 20, 2007

Kasih Allah

Sejak jam 9 pagi lagi saya perlu menghadiri beberapa kelas, Medical Materials Science diikuti dengan Advanced Physiological and Biological Engineering, dan tamat dengan kelas Fluid Power Control jam 2:30 petang. Selepas itu barulah saya melangkah ke shokudo(cafeteria) untuk makan tengah hari. Balik ke lab, belek-belek email dan beberapa benda penting, terus menyambung kerja yang terbengkalai kerana tidak hadir ke lab semalam (semalam saya kurang sihat sedikit). Mendapat faks dari Misumi Corporation kerana dimensi untuk design link bar untuk prototype Ogos nanti tidak dapat diluluskan. Mengira, mencongak apa yang perlu diperbetulkan, terus kembali membalas faks yang dihantar. Kemudian belek-belek katalog untuk memesan miniature bearing, pening sikit-sikit dengan diameter dan jenis yang perlu digunakan kerana ada bahagian yang sudah diubah dimensinya beberapa hari lepas. Sakit kepala memikirkan prototype saya yang perlu disiapkan menjelang Ogos nanti. Rasanya macam tidak sempat sahaja. Masih perlu ke Main Building of Department System untuk bertemu Kanemaru. Aah.. masalahnya saya tidak kenal siapa Kanemaru itu!

Buat masa sekarang saya tinggalkan semua itu ke tepi, dan mula menggodek internet dan blog teman-teman. Saya buka blog tuan tanah, dan terasa mahu menulis sesuatu. Tuan tanah menulis tentang bagaimana akhirnya dia mula bertudung. Rasanya tidak salah kalau saya juga menulis satu entri, 'bagaimana saya bertudung'. Mahu dengar kisah saya?

Saya lahir dalam keluarga yang biasa, ma (orang Kelantan biasa memendekkan panggilan mama kepada ma) mula bertudung selepas menamatkan pengajian di maktab perguruan kalau tidak salah saya. Abah tidak pernah mengongkong kami, cuma sekadar menegur. Namun mungkin kerana saya dilahirkan dalam biah (persekitaran) negeri Kelantan, alhamdulillah saya mula bertudung agak awal. Seawal saya masuk mendaftar darjah satu, ma sudah memakaikan tudung kepada saya. Bayangkan dalam tiga kelas yang ada ketika itu di Sekolah Kebangsaan Sungai Embak, hanya saya seorang murid yang berbaju kurung dan bertudung. Saya malu yang teramat kerana berbeza dengan kawan-kawan. Pulang ke rumah, saya minta dari ma tidak mahu bertudung keesokannya. Kata ma - kenapa begitu, bertudungkan lagi bagus. Saya menarik muka masam. Abah menegur - cantik anak abah bertudung hari ini. Saya anak manja dengan abah, terus tersenyum kerana dipuji (bahkan perangai itu tidak berubah sehingga sekarang, amat gembira jika dipuji abah!). Esoknya saya melangkah ke sekolah, bertudung. Dan untuk pengetahuan semua, saya mendapat seorang sahabat baru yang juga bertudung. Hari pertama dia datang ke sekolah tidak bertudung, kenapa hari kedua persekolahan dia bertudung, wallahualam. Tidak pernah pula saya bertanya sehingga sekarang.

Setiap hari saya bertudung ke sekolah, namun pulang dari sekolah saya masih berskirt pendek dan tidak bertudung. Waktu itu, apalah yang saya faham tentang aurat. Ma juga tidak pernah memaksa. Sehinggalah ke darjah lima dan enam, saya masih tidak bertudung sepenuhnya. Sewaktu ke padang untuk latihan hoki atau bola tampar, saya pasti tidak bertudung. Dan akhirnya saya akil baligh, masih seperti sekolah rendah. Bertudung di sekolah sahaja.

Sekolah menengah-tingkatan satu. Suatu hari sewaktu pulang ke kampung, saya keluar bersiar-siar dengan seorang sepupu perempuan. Sepupu saya mungkin dalam lingkungan 8 tahun, masih dalam darjah dua. Saya bertudung ketika itu, tetapi tidak dipinkan dengan betul. Angin bertiup kencang, sebuah basikal yang ditunggang oleh seorang budak lelaki melintasi kami dan ketika itulah tudung yang menutupi rambut saya terbang ditiup angin. Saya yang memang tidak merasa bersalah langsung kerana membuka aurat pada yang tidak berhak, dengan selamba dan perlahan-lahan mengutip kembali tudung yang diterbangkan angin tadi-menutup kembali aurat saya. Dan ketika itulah si kecil itu berkata ;

"Kura-kura (ketika itu saya masih muda, belum layak digelar tokkura), kau dah balighkan. Kenapa biarkan mamat tadi tu tengok rambut kau. Bukankah berdosa. Mak kura cakap, nanti masuk neraka!"

Saya gamam. Kelip-kelip mata. Aduh, terasa selama ini hidup saya tidak berguna. Terima kasih kepada sepupu kecil saya. Mungkin dia juga sudah lupa kisah ini. Tidak mengapa, saya akan kenang sampai bila-bila. InsyaAllah.

Akhirnya saya kekal bertudung ke mana-mana. Namun masih banyak yang tidak ditutup auratnya. Keluar ke laman rumah atau keluar menjemur kain di ampaian, saya masih tidak bertudung. Sehinggalah ke tingkatan tiga. Seorang teman, sekarang lulusan Universiti Malaysia Sabah yang menjadi pendorong. Katanya...(alamak, saya lupa apa yang disebutnya). Cukuplah saya katakan, saya bertudung sepenuhnya kerana nasihat seorang sahabat. Moga Allah merahmatinya di mana sahaja dia berada. Dengarnya sudah pun mengikat tali pertunangan dengan seseorang. Semoga berbahagia sentiasa. Sewaktu mula-mula ingin berubah sepenuhnya, saya mulakan dengan bertudung ketika ingin menjemur kain di ampaian. Segan-segan, malu-malu saya melakukannya kerana di rumah tiada siapa yang pernah melakukan begitu. Tidak ma, tidak ucu, tidak juga makcik-makcik yang lain. Saya kenakan tudung di kepala, dan adik saya bertanya ;

"Kak kura (adik saya hanya memanggil kakak, bukan tokkura kerana umur kami tidak jauh beza) nak pergi mana bertudung ni?"

"Nak keluar jemur kain depan rumah tu."

Saya jawab malu-malu. Sambil buat muka selamba. Susahnya berubah, kerana manusia sentiasa akan menilai diri kita. Bukan sekadar keluarga, malah masyarakat akan sentiasa menjadi penghalang seolah kita melakukan perkara yang pelik. Sejak dari itu, saya kekal bertudung sehinggalah suatu hari setahun dari kisah menjemur kain, sewaktu keluar bersama teman-teman. Saya baru selesai menunaikan solat di sebuah madrasah berhampiran kawasan sekolah, dan beberapa teman lelaki melalui pintu solat muslimah dan melihat saya tidak bertudung. Saya tergamam. Saya pulang, menangis dan menangis, terlalu takut saya. Takut andai Allah siksa saya di kubur dan di akhirat nanti. Apa yang saya mahu jawab sekiranya Allah bertanya. Apa alasan saya sekiranya bertemu baginda rasul nanti. Inginkah baginda Rasul mengaku saya ini umat Muhammad? Saya menangis, menangis dan menangis minta Allah ampunkan salah saya.

Itu kisah sewaktu sekolah menengah. Usia saya menjejak 18 tahun, saya memasuki Japanese Associate Degree-program persediaan ke Jepun bertempat di Bangi. Iman saya goyah. T-shirt saya makin lama makin kecil. Meneruskan pengajian ke Jepun, saya mula berani ber t-shirt lengan pendek beberapa kali. Namun Allah menyayangi saya. Saya ditemukan dengan sahabat umpama penjual kasturi. Saya ditegur dan disedarkan dengan lembut. Alhamdulillah, saya teramat bersyukur kerana dipertemukan dengan mereka. Hanya Allah yang dapat membalas budi kalian.

Itu kisah saya. Lain orang lain kisahnya. Sekadar sebuah kisah yang mungkin membosankan anda. Pesan saya, harap jangan menilai seseorang berdasarkan kisah silamnya. Terima sahabat anda seikhlasnya. Mungkin mereka yang belum bertudung, masih belum bersedia atau masih belum mendapat hidayah Allah. Tapi ingat juga, hidayah Allah itu perlu dicari. Kadang-kadang hidayah itu sudah hadir, kita yang mengetepikannya. Anda lebih tahu hubungan hati anda dengan Allah. Siapalah saya untuk menasihati kalian, sekadar peringatan untuk diri sendiri.




1 Comments:

Blogger tokkura said...

tuan tanah : kalaulah hidayah itu boleh diGoogle dan dimuat turun, kan bagus?

kata saya : alangkah bagusnya kalau hidayah itu boleh di send kepada sesiapa melalui Yahoo Messenger!

6:27 PM  

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home