Bicara kalam...

Wahai Muhammad!Kobarkanlah semangat para mukmin untuk berperang. Jika ada 20 orang yang sabar di antara kamu, nescaya mereka dapat mengalahkan 200 orang musuh. Dan jika ada 100 orang yang sabar di antara kamu, nescaya mereka dapat mengalahkan 1000 orang kafir, kerana orang-orang kafir itu adalah kaum yang tidak mengerti. Al-Anfal:65

My Photo
Name:
Location: Shah Alam, Selangor, Malaysia

Dilahirkan di Pasir Mas, Kelantan, menamatkan ijazah sarjana muda di Saitama University dan ijazah sarjana di Shibaura Institute of Technology dalam Kejuruteraan Mekanikal. Bertugas sebagai pensyarah Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, UiTM Shah Alam. Sebarang ambilan dari blog ini, diharap dengan kebenaran. Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku hanya untuk Allah, tuhan semesta alam.

Thursday, October 04, 2007

Coup d’etat

Karya asal : tokkura
Ogos 10, 2007

Prolog

8 Ramadhan 1428 Hijrah. Langit cerah. Iqbal sedang cuba untuk menamatkan juzuk 12 yang sudah separuh dibaca sejak Subuh tadi. Cuaca musim panas yang membahang membuatkan dia merasa penat menghadapi Ramadhan tahun ini. Tahun akhir di bumi sakura, Iqbal memilih untuk tidak pulang ke Malaysia. Kipas angin berpusing tahap maksima, namun hanya angin panas yang diputarkan. Meletakkan naskhah al-Quran dibirai katil, ketika itulah komputer peribadinya dihujani mesej Yahoo Messenger dari teman-teman. Dibiarkan, kerana kebiasaannya hanyalah mesej forward. Namun mesej terus masuk bertalu-talu, menarik minat Iqbal.

‘Rusuhan berlaku di Malaysia ekoran pengumuman Malaysia adalah sebuah negara Islam, bukan negara sekular. Beberapa individu dan NGO Malaysia membangkang kenyataan itu dan berjaya menarik minat rakyat untuk turut serta dalam rusuhan kali ini. Rusuhan kali ini mengulang kembali peristiwa 13 Mei 1969 yang lalu dengan satu tarikh yang berbeza, 20 Ogos 2007.’

Menjelang malam, beribu orang meninggal dan beratus orang anggota pertahanan negara terkorban nyawa. Dan keesokannya Malaysia ditadbir oleh dua pusat pentadbiran, di Perdana Putra dan Wilayah Iskandar Johor. Kedah, Kelantan dan Terengganu memilih untuk tidak memihak kepada mana-mana pihak. Perdana Menteri meletakkan jawatan atas desakan ramai. Malaysia mencatat satu sejarah baru.

Wisma Muhammad, bilik mesyuarat utama

Sepuluh tahun telah berlalu sejak peristiwa hitam itu. 8 Ramadhan datang lagi, hari ini tenang, tidak seperti pagi 8 Ramadhan 1428 Hjrah sepuluh tahun lalu. Iqbal melepaskan nafas kecil. Berat dan menyesak dada. Seribu satu memori bermain menari dalam benaknya. Semakin dia meniti hari, semakin matang pengalamannya, semakin kisah sepuluh tahun lalu tidak dapat dilupakan meski dia tiada di tanahair sewaktu kisah hitam itu terjadi. Ya, dia dan sahabat berada di bumi sakura masih dalam pengajian ijazah sarjana muda. Ketika itu Malaysia masih terasa hangatnya sambutan kemerdekaan ke-50. Setelah 50 tahun merdeka, Malaysia ternyata berjaya mencapai objektifnya meski banyak kekurangan yang gagal ditampung kerajaan. Membina sebuah negara bukan perkara mudah. Iqbal sedar itu, maka dia tidak pernah menyalahkan kerajaan dengan kekurangan yang dirasai rakyat.

Jauh menungan Iqbal. Dipandang wajah-wajah di hadapannya yang menyimpan memori yang sama. Semua tekun, serius menanti kata dari Iqbal. Perkara ini sudah dirancang hampir lima tahun. Tiba masa pelaksanaannya.

Iqbal berdehem beberapa kali. Dipandang setiap seorang ahli yang hadir. Setia dengan perjuangan yang dibawanya sejak lima tahun lalu. Akmal – sahabat yang setia menamatkan ijazah sarjana bersamanya di Jepun, jurutera yang bijak dan berani. Cheng – juga kenalan semasa di negara matahari terbit dahulu, bekas presiden Persatuan Pelajar Malaysia di sana, berwawasan dan berkepimpinan, Sumayyah – muslimah yang tegar dengan prinsip, dilahirkan dalam keluarga yang mewah namun berjaya mendidik diri dengan agama sesempurna mungkin. Matanya terhenti pada Fikri, anak muda dalam lingkungan 20-an, seorang hafiz. Fikri akan memimpin mereka nanti. Meski Iqbal ketua, namun dia hanya perancang, seorang mastermind, namun untuk memimpin suatu kumpulan mereka perlukan seorang yang berani dan cintakan syahid. Anis, Sulaiman, Lily dan beberapa lagi mereka yang sudah bersumpah setia dalam menjalankan misi mereka menjadi jamuan mata Iqbal sebelum memulakan bicara.

“Aku tidak punya apa untuk dibicarakan. Kiranya semua sudah arif dan maklum misi perjuangan ini. Selama ini kita bergerak secara perlahan-lahan, namun setelah mendapat persetujuan ramai aku kira semua akan sudi bersama sehingga ke akhirnya. Meski bangsa kita berbeza, namun agama kita sama. Negara tanahair kita adalah sama. Aku sedar, bilangan yang dilatih selama lima tahun ini masih belum mampu untuk memberi jaminan kepada kejayaan kita, namun janji Allah itu nyata. ‘Maka jika di antara kamu ada seratus orang yang sabar, nescaya mereka akan dapat mengalahkan dua ratus orang musuh, dan jika di antara kamu ada seribu orang yang sabar, nescaya mereka dapat mengalahkan dua ribu orang dengan izin Allah. Allah beserta orang-orang yang sabar’, itu janji Allah.” Iqbal menarik nafas untuk meneruskan bicara apabila pintu bilik mesyuarat dibuka dan seorang wanita lengkap berjilbab melangkah masuk. Menyerahkan sekeping kertas kepada Iqbal dan memohon diri.

“Alhamdulillah. Kita telah dapat pengesahan terakhir dari ejen Perdana Putra. Ejen Wilayah Iskandar telah lama bersedia. Moga rahmat Allah mengiringi perjuangan kita. Moga Ramadhan tahun ini disambut dalam takbir. Dengan lafaz basmallah, kita akan mulakan misi Islam1320. Allahu akhbar.” Laungan takbir Iqbal disambut oleh ahli yang hadir. Mereka bersurai.

Putrajaya

Fikri melangkah keluar dari Masjid Putra. Diikuti beberapa orang lelaki dan perempuan. Usai melakukan sunat dhuha, mereka – sepuluh orang dengan tiga lelaki berpangkat Professor, dua orang muslimah bergelar doktor pakar, bekas mufti negeri dua orang dan selebihnya mahasiswa yang memilih untuk mengorbankan pelajaran mereka kerana misi kali ini. Langkah Fikri kelihatan tegas, menuju terus ke Kompleks Jabatan Perdana Menteri – Perdana Putra. Dari jauh kelihatan kubah biru sebagai lambang Pusat Pentadbiran Kerajaan Malaysia berkilauan disimbah matahari. Ketibaan mereka disambut oleh setiausaha sulit Perdana Menteri dan beberapa anggota polis khas berpakaian preman. Fikri memberi salam dan membontoti mereka terus ke Pejabat Perdana Menteri. Kehadiran mereka langsung tidak disedari dan tiada tentangan. Bermakna tiada pembelotan dalam organisasi yang dibina.

Kedengaran kekecohan berlaku dalam pejabat Perdana Menteri. Setiausaha sulit Perdana Menteri menolak pintu kayu dan melangkah masuk.

“Kamu ke mana? Aku tidak dapat mencari teks ucapan yang disediakan untuk siaran langsung pengumuman sebentar lagi!” Tengking Perdana Menteri tanpa mempedulikan tetamu yang sebelas orang di belakang. Kelihatan beberapa kamera telah disediakan untuk siaran langsung mengumumkan pembubaran sebuah negara bernama Malaysia.

“Tidak mengapa Dato’ Seri. Kita tidak perlukan lagi teks ucapan itu.” Terpinga-pinga Perdana Menteri Malaysia kala itu mendengar kata-kata setiausaha sulitnya. Bertambah bingung melihatkan Fikri dan kuncu-kuncunya melangkah ke arah meja dan berdiri berbaris di belakang kerusi kulit hitam miliknya. Beberapa wartawan tersenyum-senyum melihat dan mula mengenakan sebuah lencana kecil berwarna putih. Wartawan media perdana agak kekok bagaimana perlu bereaksi. Fikri memberi isyarat minta semua kamera bersedia setelah melihat jam tangannya. Dengan kiraan tiga, mereka ke udara secara langsung pada 15 Ramadhan 1438 Hijrah membawa satu matlamat baru untuk Malaysia.

Siaran langsung

Setiap warganegara Malaysia melihat siaran langsung kali ini. Di semua saluran televisyen, radio malah semua skrin komputer yang disambungkan ke internet akan menerima pengumuman hari ini.

“Assalamualaikum. Saya Muhammad Fikri dari Perdana Putra.” Kelihatan tampang Fikri di sisi Perdana Menteri yang masih tercengang dengan perubahan yang berlaku. Di sisi skrin yang memaparkan Fikri, dipaparkan Cheng dengan lapan ahlinya di sisi pemerintah Wilayah Iskandar yang diikat tangannya ke kerusi. Kelihatannya mereka menghadapi sedikit tentangan dari Wilayah Iskandar untuk masuk menceroboh sehingga ke bilik kapitalis Wilayah Iskandar itu. Diikuti dengan skrin memaparkan Iqbal dan Akmal dari wilayah neutral utara Malaysia. Dipancarkan terus dari Wisma Muhammad.

“Maaf sekiranya siaran langsung hari ini mengejutkan semua. Saya di sini mewakili Perdana Putra, Wilayah Iskandar dan wilayah neutral mengumumkan Malaysia akan terus kekal sebagai sebuah negara. Perancangan untuk membubarkan Malaysia yang kita cintai tidak akan dilaksanakan. Kami telah menawan Perdana Putra dan Wilayah Iskandar. Diharap tiada sebarang penentangan dari warganegara Malaysia. Sekiranya kalian menentang, maka kami terpaksa menggunakan kekerasan.” Fikri mengeluarkan batch putih dari saku kot hitamnya dan menyematkan di dada. Kamera pantas memfokuskan lencana putih tersebut. Tiada tertulis apa-apa kecuali satu dot hitam kecil di tengah-tengah. Barisan di belakang Fikri melakukan perkara yang sama diikuti dengan Cheng dan ahli dari Wilayah Iskandar dan Iqbal dan Akmal dari Wisma Muhammad. Kemudian muncul pula skrin menayangkan jalan-jalan di sepanjang ibukota Kuala Lumpur menunjukkan barisan anggota polis yang bersiap sedia menerima tentangan orang ramai. Mereka ditempatkan di sepanjang jalan untuk menghalang rakyat merusuh selepas pengumuman pembubaran Malaysia dilakukan. Namun kini semuanya dengan lencana putih tersemat di dada. Beberapa anggota yang mula memahami coup d’etat yang dilancarkan mengambil tindakan menyerang anggota polis yang berlencana putih di dada. Pantas suasana diredakan oleh yang lain.

“Sebarang penentangan akan diatasi dengan kekerasan. Kita sebagai warganegara Malaysia, pastinya mengharapkan kesudahan yang sama untuk Malaysia. Misi kami satu, Malaysia perlu terus menjadi sebuah negara. Berbilang kaum dan agama. Tidak dipecah-pecahkan dengan pusat pentadbiran berbeza. Mulai hari ini, tiada lagi Perdana Putra, tiada lagi Wilayah Iskandar dan tidak akan wujud negeri-negeri yang berkecuali darinya. Malaysia akan diperintah oleh institusi raja-raja Melayu dengan dinasihati oleh para ulama dan mufti. Kami akan melantik seorang ketua mewakili setiap kaum di Malaysia untuk masalah-masalah yang berbangkit.”

Wilayah Iskandar

Johor kecoh, Singapura mengamuk. Wilayah Iskandar sepatutnya menjadi hak milik Singapura walau dalam surat kontrak Singapura hanya sebagai pelabur dengan beberapa peratus limit saham Singapura, namun hakikatnya Wilayah Iskandar memang di bawah pengaruh Singapura. Beberapa korporat Melayu menjual Wilayah Iskandar untuk keuntungan sendiri dan cuba mengaburi mata rakyat dengan pelbagai kontrak. Singapura sudah mula memasang angan-angan untuk meluaskan negaranya ke Wilayah Iskandar dan akhirnya ke seluruh Johor setelah pembubaran Malaysia berlaku. Cita-cita mereka tidak kesampaian. Rusuhan berlaku di sekitar Johor Bahru dan Singapura sementara negeri-negeri di bawah pemerintahan Perdana Putra dan wilayah neutral menerima dengan senang hati coup d’etat yang dilancarkan. Kementerian Pertahanan adalah di bawah arahan Sulaiman, kerana itu semuanya menjadi lancar. Berbalik kepada Wilayah Iskandar, anggota pertahanan di wilayah sana lebih memilih untuk menyertai Singapura. Organisasi gagal melatih anggota di sana. Hanya beberapa platun sahaja yang sudi bersumpah setia atas nama Malaysia. Sementelahan pula Singapura mempunyai susunan peralatan yang canggih dengan bantuan Israel. Sebelum peristiwa hitam itu terjadi lagi Malaysia sudah diberi amaran tentang perhubungan Singapura dengan negara Israel, namun pemerintah memilih untuk tidak mencampuri urusan negara jiran. Perkara ini semakin menjadi kudis kepada Malaysia sebenarnya.

Iqbal sudah mengagak hal ini akan terjadi. Tambak Johor dan Jambatan Iskandar Malaysia-Singapura telah ditutup awal-awal sebelum pemberontakan dilakukan dengan alasan menghalang rusuhan setelah pembubaran Malaysia. Pantas Iqbal memberi arahan seterusnya. Serentak dengan laungan rusuhan orang ramai, Singapura dan Johor Bahru dikejutkan dengan letupan gegak gempita. Tambak Johor dan Jambatan Iskandar diletupkan. Berderai serpihan-serpihan Tambak Johor. Diam. Semua gamam,tiada lagi cara untuk ke Malaysia dari Singapura melainkan sekiranya sanggup berenang merentasi Selat Tebrau yang tercemar itu. Dengan kuasa Allah, rusuhan terus reda. Pertahanan Singapura yang baru berniat untuk menghantar jet pejuang mereka membatalkan arahan serta-merta. Bimbang paip yang membekalkan bekalan air ke Singapura juga diletupkan. Bantuan dari Israel dan Amerika, negara sahabat Singapura tidak menunjukkan sebarang reaksi atas apa yang terjadi.

Menjelang Maghrib, Malaysia kembali reda. Sunyi kembali. Sungguh Allah telah permudahkan usaha mereka. Skrin menunjukkan Cheng dan wakil-wakilnya dari Wilayah Iskandar. Hilang kerut dan keruh di hati mereka dengan penentangan yang diterima. Allahu akhbar, Cheng bertakbir dan diikuti dengan seluruh rakyat Malaysia yang masih mengikuti siaran langsung yang disiarkan. Dan tanpa diduga Cheng rebah. Sebutir peluru yang diterima di bahu semasa penentangan masuk ke Pusat Pentadbiran Wilayah Iskandar mengakibatkan pendarahan yang hebat. Sebelum ini Cheng cuba untuk menahan sakit agar tidak merisaukan Perdana Putra dan Wisma Muhammad. Fikri, Iqbal, Akmal terkesima. Serasa mahu bergegas ke Johor namun itu adalah mustahil. Masih banyak perkara yang perlu diselesaikan di kawasan masing-masing. Hanya doa mereka mengiringi keselamatan Cheng yang dikejarkan ke Hospital Besar Johor.

Sumayyah bagai mahu menangis. Moga Allah selamatkan suaminya.

Epilog

Iqbal merenung jauh dari tingkat 88 Bangunan Berkembar Petronas itu. Matanya menjelajahi persekitaran Kuala Lumpur yang aman, namun mindanya memutar kembali kenyataan Tunku Abdul Rahman dalam The Star Februari 1983 mengatakan ‘The country has a multi-racial population with various beliefs. Malaysia must continue as a secular State with Islam as the official religion.’ Dan disokong oleh Tun Hussein Onn berdasarkan isu yang sama, ‘that Malaysia should not be turned into an Islamic state.’ Kemudian kenyataan itu disanggah oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bernama 17 Julai 2007 menyatakan, ‘Islam is the official religion and we are an Islamic state. But as an Islamic state, it does not mean that we don't respect the non-Muslims. The Muslims and the non-Muslims have their own rights (in this country)’.

Kerana kenyataan yang berbeza pada zaman yang berbeza, mencetuskan suatu percik-percik bunga api. Dan api itu membesar kerana wujudnya mereka yang cuba mencari keuntungan dan juga kerana wujudnya pelbagai takrifan tentang sebuah hadharah islamiyyah itu sendiri.

Satu lagi sejarah baru tercatat. Coup d’etat Islam 1320 mencapai kejayaan walau beberapa orang menjadi mangsa korban penentangan. Di satu sudut hospital, Cheng tersenyum melihat siaran televisyen yang menayangkan persidangan raja-raja menggubal satu perlembagaan baru buat Malaysia. Perlembagaan berdasarkan al-Quran, membuang jauh perlembagaan Inggeris yang usang.

Sumayyah di sisi mengupas epal, tersenyum melihat Cheng semakin sihat.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home