Pereputan Badan Kehakiman
Namun, bagi saya perkara ini memang perlu diambil perhatian. Badan kehakiman tidak seharusnya berada di bawah kuasa eksekutif. Ternyata terang tidak perlu disuluh lagi bahawasanya pembahagian kuasa kepada eksekutif, legislatif dan kehakiman perlu dalam membentuk sesebuah negara. Tidak wajar terjadi seperti sekarang, yang kelihatannya badan kehakiman sedang diperkudakan oleh badan eksekutif negara. Perkara ini berlaku mungkin sudah teramat lama, mungkin badan kehakiman sudah lama reput dimamah kuasa eksekutif, sejak tahun 1988 lagi.
Apabila diputarkan kembali sejarah melurut ke tahun 1988 di mana berlakunya suatu kisah yang saya kira tidak wajar terjadi - pemecatan Tun Salleh Abbas yang ketika itu menjawat jawatan Ketua Hakim Negara. Atas alasan, Tun Salleh Abbas telah dengan sengajanya melewatkan kes Suzie Teoh, seorang remaja berumur 16 tahun yang menukar agamanya kepada Islam sebelum mencecah umur 18 tahun. Patutnya tindakan Tun Salleh Abbas mendapat pujian ramai, namun kesudahannya Tun Salleh Abbas dipecat dari jawatan Ketua Hakim Negara. Atau ada cerita di sebaliknya?
Kononnya, Tun Salleh telah mengutus surat mengadu kepada Yang Dipertuan Agong ketika itu tentang campurtangan badan eksekutif dalam perihal urusan kehakiman. Badan eksekutif ketika itu adalah di bawah pimpinan Tun Dr. M. Itu cerita yang diwar-warkan. Saya juga tidak tahu apakah kisah sebenarnya. Wajarnya permintaan Majlis Peguam supaya diadakan siasatan kembali terhadap apakah yang sebenarnya terjadi di sebalik krisis kehakiman pada tahun 1988 disokong sepenuhnya.
Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Suffian pernah menyatakan bahawa kita memerlukan sekurang-kurangnya dua generasi lagi untuk memulihkan sepenuhnya Badan Kehakiman Negara ini selepas peristiwa hitam 1988 sewaktu berucap di majlis memperingati kematian Tan Sri Wan Suleiman, salah seorang Hakim Mahkamah Agung yang dipecat dahulu. Harapan saya semoga saya dipanjangkan umur untuk melihat kegemilangan Badan Kehakiman kembali berfungsi sepenuhnya.
** Panel khas untuk menyiasat kesahihan klip video VK Lingam telah ditubuhkan. Terdiri daripada bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohd Norr, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mahadev Shankar dan aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye. Sekali lagi kontroversi melanda dengan pelantikan Tan Sri Haidar sebagai panel khas. Sewajarnya semua individu yang terlibat dengan peristiwa hitam 1988 dikecualikan dari barisan panel khas.
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home