Bicara kalam...

Wahai Muhammad!Kobarkanlah semangat para mukmin untuk berperang. Jika ada 20 orang yang sabar di antara kamu, nescaya mereka dapat mengalahkan 200 orang musuh. Dan jika ada 100 orang yang sabar di antara kamu, nescaya mereka dapat mengalahkan 1000 orang kafir, kerana orang-orang kafir itu adalah kaum yang tidak mengerti. Al-Anfal:65

My Photo
Name:
Location: Shah Alam, Selangor, Malaysia

Dilahirkan di Pasir Mas, Kelantan, menamatkan ijazah sarjana muda di Saitama University dan ijazah sarjana di Shibaura Institute of Technology dalam Kejuruteraan Mekanikal. Bertugas sebagai pensyarah Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, UiTM Shah Alam. Sebarang ambilan dari blog ini, diharap dengan kebenaran. Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku hanya untuk Allah, tuhan semesta alam.

Wednesday, June 13, 2007

Malapetaka

karya asal:tokkura
June 13, 2007 5:30pm

Pemberitahuan:- Sebarang karya yang dipaparkan di blog ini adalah hasil idea saya. Sekiranya saya menceduk daripada mana-mana bahan rujukan, insyaAllah akan saya nyatakan rujukannya. Diharap karya yang dipaparkan tidak diulang terbit di mana-mana blog atau website tanpa kebenaran saya. Sila maklumkan sekiranya ingin menggunakan untuk apa-apa tujuan sekalipun. Terima kasih.


Malaysia 2011. Empat tahun Nabila hilang. Hilang dari keluarga, hilang dari ingatan sendiri. Kaki menjejak Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Malaysia bagai sebuah negara asing. Sedangkan Nabila dilahir dan dibesarkan di sini. Tanah tumpah darah tercinta. Lagu Negaraku juga sudah tidak diingatinya lagi. Balai ketibaan bersesak dengan pelbagai jenis ragam manusia. Kelihatannya ramai pelancong asing, terutama mereka yang berbangsa Jepun dari MH 88 penerbangan yang dinaiki Nabila. Tujuh jam dalam penerbangan, terasa keletihan mula memakan sendi-sendi bahu dan pinggangnya. Mata melilau mencari saudara dalam khalayak ramai. Pemandu teksi dan limosin memandang-mandang Nabila. Penduduk tempatan Malaysia juga mula merenung Nabila dan berbisik sesama sendiri. Kenapa?

“Mak Lang!” Jerit Nabila. Mempercepatkan langkah menuju ke arah ibu saudaranya yang berusia dalam lingkungan pertengahan 40-an. Menghulurkan tangan untuk menciumi, namun Mak Lang gesa-gesa menarik tangan Nabila menuju ke pintu keluar. Nabila pinga-pinga tidak memahami.

Sebuah mpv sedang menunggu di ruang menunggu pintu 3, lambang Proton tetapi tidak Nabila ketahui model apa. Tidak pernah dia tahu model sebegini sudah dikeluarkan. Malaysia ternyata semakin maju. Pak Lang yang memandu, Nabila duduk di belakang. Memerhati perubahan yang telah berlaku kepada tanahairnya. Tenang Pak Lang memandu keluar dari kawasan lapangan terbang KLIA menuju ke lebuhraya. Di kiri kanan tidak lagi dikelilingi pohon-pohon kelapa sawit, bahkan sudah dipenuhi dengan deretan bangunan, tidak seperti Malaysia empat tahun yang lampau. Mpv Satira buatan Proton milik Pak Lang meluncur laju membelah suasana asing yang menyerbu minda Nabila, bergerak menuju ke Tobek Godang, rumah arwah Tok Wan. Pusaka keluarga Nabila.

Nabila minta tidak dibuka penghawa dingin kereta. Dia ingin menghirup udara Malaysia yang lama ditinggalkan. Sewaktu melintasi Nilai, matanya sempat menangkap papan tanda bertulis Stesen Nilai Komuter KMB. Ligat otaknya berfikir apakah yang dimaksudkan dengan KMB.

“KMB itu, singkatan untuk apa Mak Lang?”

“KMB.. Keretapi Malaysia Berhad.” Hah?! Kelip-kelip Nabila cuba memahami.

“Masa Bila hilang dulu, tahun 2007 kalau Bila masih ingat-pemimpin kedua tertinggi Malaysia waktu itu telah menukarkan kembali perkataan Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia. Kononnya untuk menyatakan Bahasa Malaysia itu untuk semua rakyat yang berbilang kaum. Sejak dari itu, lepas satu, satu istilah Melayu ditukar. DBP cukup kesal dengan tindakan kerajaan, tapi suara bantahan DBP dan persatuan-persatuan penulis tidak pernah diambil kira.”

Nabila ingat, sebelum kemalangan feri yang berlaku ke atasnya, akhbar tempatan sibuk menceritakan tentang istilah Bahasa Melayu yang diubah kembali ke Bahasa Malaysia. Bahasa Malaysia dimulakan oleh Tunku sewaktu penubuhan Malaysia dan diubah oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1986 sewaktu beliau menjadi Menteri Pendidikan. Dan kini, kembali diubah malah makin teruk jadinya. Tidakkah pimpinan negara tahu, bahawasanya sewaktu Datuk Seri Anwar Ibrahim mengeluarkan ‘bahasa baku’, implikasinya adalah rakyat merasa lebih bersatu padu? Nabila menarik nafas berat, memikirkan nasib Malaysia nanti.

Kelab Golf Diraja Seri Menanti dilalui dan kini tersergam indah Istana Lama Seri Menanti. Pantas Nabila terkenang memori bersama Tok Wan dan kisah Tasik Londa Naga yang diceritakannya. Bagai terasa lagi nyaman angin puput di tepian tasik itu. Kereta meluncur lagi melintasi kampung Buyau, Mertang dan Gunung Pasir. Akhirnya destinasi yang dituju tiba. Kampung Tobek Godang. Tobek Godang, bermakna ‘kolam besar’ dalam dialek Negeri Sembilan, terngiang suara Tok Wan suatu waktu dahulu bercerita kepada Nabila yang tidak tahu langsung berbahasa negeri. Pintu mpv dibuka dan kelihatan sepupu-sepupu dan saudara mara Nabila beratur dihadapan tangga rumah.

“Bila, tak sangka hidup lagi kau rupanya. Rasa macam tengok roh kau berdiri depan aku.”Jerit Syazila sepupu yang sebaya dengan Nabila. Syazila dengan rambut paras bahu dilepaskan meliuk-liuk ditiup bayu petang, memeluk sepupu yang lama hilang. Nabila tersengih sambil berfikir. Sejak bila Syazila tidak bertudung. Bukankah dahulu Syazila antara yang patuh menjaga auratnya? Mata Nabila menjamah setiap wajah yang ada. Syazila dan adik-adiknya yang semua perempuan anak Pak Su Khairi berderet memeluk Nabila. Semuanya sudah tidak bertudung, bahkan siap dengan ‘body hugging’ yang sendat. Astaghfirullah, Mak Su Sarimah juga tidak bertudung! Ada lagi wajah keluarga Pak Long dan Mak Long. Mak Long yang dahulu bertudung labuh ke pinggang sudah bertukar imej ke tudung pashmina yang dibelit-belit. Begitu juga anak sulung mereka, sepupu Nabila yang hanya sekadar bertudung bawal nipis dan jarang-diselempang ke bahu dan dipadankan dengan blouse lengan pendek. Nabila mengucap panjang di dalam hatinya. Empat tahun, satu jangka waktu yang lama. Sesungguhnya hati lebih cepat berbolak-balik daripada isi periuk yang sedang menggelegak.[Petikan kata Ibnu Rawaahah kepada Abu ad Dardaa’ r.a.,]

Semua berkumpul di tengah pangkin, sambil menghirup udara petang. Mak Long menghidangkan kuih lopes dengan teh panas buat hidangan waktu petang mereka. Nabila begitu teruja melihat kuih lopes kegemarannya, empat tahun tidak merasa kuih lopes. Kuih yang dibuat daripada pulut dan dibungkus dengan daun pisang itu direbus sehingga airnya kering. Kemudian dipotong, diasingkan daun pisang dan digaul dengan kelapa parut. Akhirnya dicecah dengan air gula enau. Laju sahaja Nabila menikmati kuih lopes.

“Kak Bila, kenapa kolot sangat pemakaian ni?”Syakila, adik Syazila.

“A ah, tak panas ke pakai jubah dengan tudung labuh begini? Dah lama fesyen macam ni tak dipakai di Malaysia ni. Agaknya kau seorang je kot yang pakai.”Kak Mashitah, menantu sulung Mak Long isteri abang Man.

“Kamu cakap gitu Shitah, Mak Lang yang pergi jemput dia kat KLIA, lagilah malu. Cepat-cepat Mak Lang tarik si Bila ni masuk kereta. Semua orang pandang, rasa macam pergi ambil arwah Tok Wan dulu-dulu lepas balik haji je.” Semua tergelak mendengar cerita Mak Lang. Nabila bingung. Pelik sangatkah dia berjubah labuh ke lutut, sepasang dengan seluarnya-rona hijau lumut. Dipadankan dengan tudung cotton warna putih. Nabila diam.

Sudah seminggu Nabila di Malaysia. Masih terasa canggung dengan suasana Malaysia yang banyak berubah. Malaysia bukan sekadar makin maju, sikap rakyatnya juga sudah jauh berubah. Nabila merasakan agama sudah bukan satu perkara penting dalam diri seorang rakyat Malaysia. Melayu dan Islam sudah tidak selari. Meski dalam perlembagaan masih termaktub yang sekiranya seorang Melayu, agamanya adalah Islam namun hakikatnya Islam hanya sekadar tertulis di atas kad pengenalan. Nabila ingin bertanya tentang kisah seorang wanita Islam yang murtad-Azlina Jailani atau Lina joy dahulu yang meminta agar perkataan Islam dari ked pengenalannya digugurkan kepada sepupu-sepupunya. Apa kesannya kepada Malaysia. Namun, sepupu-sepupunya hanya berkerut-kerut dahi cuba mengingati di mana nama itu pernah wujud. Akhirnya Nabila menyerah kalah. Nanti akan dicari diperpustakaan Negara atau di kedai-kedai buku tentang kes itu.

Sepanjang pulang ke Malaysia, Nabila lebih senang berbaju kurung. Pernah dia ke butik sekitar Seremban, namun jubah yang dicari sudah tidak dijual. Baju kurung pun tidak lagi dijual siap, kalau mahu perlu menempah dahulu. Kata kakak di butik itu, hanya orang tua-tua sahaja pakai baju kurung sekarang ni dik. Kalu buat yang siap, nanti tak laku. Sepanjang pulang ini jugalah Nabila ternanti-nanti kehadiran seseorang ke rumah pusaka Tok Wan ini. Bila ditanya kepada Mak Long, Mak Long sekadar menjawab malas.

“Nabil entah ke mana hilang. Sibuk memanjang dengan persatuan entah apa-apa. Kejap ke UIA, kejap ke UKM. Entah-entah dah masuk ISA agaknya. Kau jangan baik-baik sangat dengan Nabil itu, bahaya. Kerja tabligh, arqam barangkali.” Nabila diam tidak menjawab. Alhamdulillah, Nabil masih Nabil yang dahulu. Nabila tidak risau, kerana dia tahu apakah kerja Nabil.

Hari ini Nabila ke Suria KLCC. Sekadar memenuhi masa lapang, kerana di rumah semua orang sibuk dengan kerja masing-masing. Banyak kerja yang perlu diperbetulkan di rumah. Sejak pulang, Nabila masih tidak melihat seorang pun yang membaca al-Quran. Setiap malam, hanya suara Nabila sahaja yang kedengaran mengalunkan kalimah Allah itu. Sewaktu mencari kitab Allah di rumah, Nabila lihat al-Quran yang ada sekadar diletakkan di atas rak buku sebaris dengan buku-buku motivasi tulisan Dale Carnegie, novel-novel karya Sidney Sheldon dan koleksi Harry Potter tulisan J.K Rowling. Bahkan kalam Allah itu sudah usang berhabuk dimakan anai sedikit. Nabila menarik nafas dalam, memikirkan tugas yang terbeban dibahu kerana rasa tanggungjawabnya kepada kalimah Laila ha illallah.

Sambil melangkah melihat pelbagai ragam manusia, Nabila terpandang poster memberitahu konsert terbesar Akademi Setan-sia akan diadakan di perkarangan KLCC beberapa hari lagi. Nabila tarik nafas lagi. Dalam banyak-banyak hari, kenapa penganjur memilih hari Jumaat. Konsert bermula jam 9 pagi sehingga 9 malam. Solat Jumaat? Tidak berakalkah penganjur. 12 jam pula tu. Lamanya. Nabila menapak ke luar bangunan menuju ke taman KLCC yang seluas 50 ekar. Dirasmikan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Dato` Seri Dr. Mahathir pada 29 Ogos 1998 meskipun taman itu sebenarnya telah dibuka kepada orang ramai sejak 8 Mei 1998. Nabila mengimbas kembali detik-detik sejarah yang masih tidak luput dari ingatannya. Direka oleh seorang karyawan seni taman dari Brazil, mendiang Roberto Burle Marx, taman ini menyediakan berbagai kemudahan seperti kawasan permainan kanak-kanak, kolan randai kanak-kanak, trek jogging, wakaf serta bangku. Kawasan permainan kanak-kanak seluas dua ekar di taman ini dilengkapi dengan alat-alat permainan berwarna-warni yang selamat. Dikellilingi lebih 1900 batang pokok dan lebih 66 spesies palma mengindahi lagi persekitaran.

Namun Nabila tidak dapat menikmati langsung keindahan yang ada kerana terasa sesak melihat gelagat pemuda-pemudi yang ada. Tanpa segan silu bercengkerama seolah dunia ini milik mereka sahaja. Di satu sudut di bangku yang disediakan, terdapat sepasang remaja sedang duduk-duduk, tetapi tangan si lelaki sudah menjalar ke kawasan-kawasan larangan. Itu belum aksi mereka yang berciuman, dan boleh dikatakan semuanya anak Melayu! Nabila malu, malu yang teramat. Di mana pencegah maksiatnya? Nabila mendekati dua orang yang berada paling hampir.

“Dik, tak manis orang Melayu berkelakuan begini.” Lembut suara Nabila.

“Orang kampung memang sibuk nak ambil tahu hal orang!” jerkah si lelaki.

“Kak, pencegah maksiat pun tiada kuasa nak ambil tindakan, siapa akak yang lebih-lebih pula ni?” gadis manis bermulut lancang itu menempelak. Keduanya bangun meninggalkan Nabila yang kelu.

Nabila membuat keputusan untuk pulang sahaja. Hatinya walang bukan kepalang melihat generasi yang rosak. Sepanjang jalan, kiri kanannya tidak kelihatan gadis manis bertudung, apatah lagi berbaju kurung sepertinya. Nabila merasakan dia keseorangan di muka bumi ini. Adakah perjuangannya tidak berteman? Nabila mahukan Nabil. Di mana Nabil? Nabil, pulanglah..

Tobek Godang. Rumah pusaka Tok Wan. Sebuah kereta Perodua menjalar di hadapan rumah. Nabila penat untuk mengambil tahu siapakah tetamu Mak Long hari ini. Pilu hatinya bukan ada yang memahami. Menjadi anak yatim piatu, sungguh dia merasa keseorangan. Padahal ibu dan ayahnya sudah lama pergi bertemu Yang Esa. Tunduk Nabila melangkah ke bilik, cuba menghindari tetamu Mak Long. Hampir-hampir Nabila terlanggar seorang perempuan. Yang sedang sarat mengandung. Wanita itu tersenyum memeluk Nabila. Siapa?

“Nabila ye? Alhamdulillah. Akhirnya bertemu juga kita.”

“Siapa saudari?”

“Zaujah aku.” Suara Nabil. Nabila pusing menghadap pemilik suara yang dirindui.

Air mata yang lama ditakung mengalir jua akhirnya. Nabila melangkah memaut leher Nabil. Kembar Nabila, dan satu-satunya ahli keluarganya yang masih hidup setelah mereka sekeluarga mengalami kemalangan sewaktu Nabil dan Nabila masih di tingkatan empat. Bahu Nabil basah dengan air mata Nabila. Nabil kelihatannya sangat matang, berbanding empat tahun yang lampau. Perempuan yang sedang sarat mengandung itu tadi memeluk Nabila dari belakang dan mengusap-usap memujuk tangis Nabila.

“Kenapa kau tidak pulang menyambut aku tempoh hari?” Nabila, setelah reda tangisnya.

“Aku punya tanggungjawab lagi besar untuk dilaksanakan. Lagipun aku tiada di sini, aku ke pantai timur. Menguruskan sesuatu.” Nabila faham.

“Tidak mahu kenalkan aku dengan zaujah dan bakal khalifah Islam yang baru?” Nabil senyum merangkul isterinya. Dipimpin ke sofa di ruang tamu. Nabila membontoti mereka, dan Mak Long melangkah ke dapur-memberi ruang kepada Nabil dan Nabila berbicara.

“Kenalkan, Zinnirah-zaujah aku. Usia perkahwinan, hampir setahun. Bakal khalifah ini, insyaAllah akan keluar dalam hujung bulan ini. Itu belum aku fikirkan namanya. Mungkin memang menanti makciknya memberi nama.”

“Kau tahu nama tokoh kegemaran aku. Tak perlu aku namakan.” Nabila gembira, bersyukur ke hadrat Ilahi dan segala macam perasaan menari dalam hatinya.

“Ceritakan apa yang terjadi sewaktu kemalangan itu menimpa kau.” Serius raut wajah Nabil sewaktu menuturkannya. Nabila menarik nafas. Mengulang cerita yang telah dikhabarkan kepada sepupu-sepupunya dahulu hari pertama dia tiba di Malaysia.

2007, aku dan beberapa sahabatku mengadakan jaulah ke Hokkaido, sebuah pulau di utara negeri matahari terbit. Waktu itu cuti musim panas, dan aku baru sahaja melanjutkan pelajaran ke ijazah sarjana tahun pertama. Dalam usia 23 tahun, semangat untuk menyedarkan adik-adik di Jepun tentang al-haq itu berkobar-kobar sehingga membawa kami ke Hokkaido. Destinasi kami adalah Hokkaido Universiti di Sapporo. Perjalanan itu mengambil masa lebih dari sehari dengan menaiki feri. Feri yang kami naiki memang kurang penumpangnya kerana Lautan Pasifik dijangka dilanda taufan. Yang diramal hanyalah taufan kecil, sedangkan yang membidas feri kami adalah taufan yang dahsyat dengan kelajuan hampir 144 kilometer sejam hampir menyamai Taufan Saomai yang melanda Taiwan satu waktu dahulu. Akibatnya kami dibalik ombak besar dan karam di Lautan Pasifik. Semua penumpang dan anak kapal diberitakan hilang ditelan ombak. Samada Allah masih menyayangi aku, atau masih ada tugas aku di muka bumi ini yang belum selesai maka aku terselamat. Dengan berpaut kepada beg pakaian milik aku, aku dihanyutkan sehingga Aomori. Sebuah perkampungan nelayan, berhampiran Hokkaido. Lagi sekali Allah punya perancangan yang aku tidak tahu. Aku hilang ingatan, namun aku tidak hilang agama. Aneh sekali jika difikirkan. Aku tidak tahu siapa nama aku, asal dari mana, namun yang aku tahu-aku adalah seorang muslim. Allahu akhbar.

Makanya aku terus tinggal di Aomori dengan keluarga angkatku, seorang obaasan-nenek tua yang telah kematian suami dan tinggal seorang diri. Meneruskan Islamku, solat, puasa dan sebagainya, aku memohon kepadaNya moga dikembalikan ingatan aku. Dikembalikan tanahair aku. Dan empat tahun kemudian, akhirnya Allah pulangkan memori aku.

Nabila menamatkan kisah hidupnya selama dia menghilangkan diri. Nabil menarik nafas dalam mengucapkan tasbih dan tahmid kepada Allah kerana memulangkan satu-satunya darah daging yang ada kepadanya kembali. Sewaktu diberitakan Nabila hilang dilaut, dia hilang arah. Waktu itu Nabil masih di Melbourne-Monash Medical Centre sedang meneruskan pengajiannya dalam bidang perubatan. Hatinya redha walau dalam walang. Kini adik yang satu di hadapan mata. Tidak berubah, itu lebih dia syukuri. Allah, apakah rahsia dibalik dugaanmu ini.

Nabil memohon cuti beberapa hari semata-mata kerana Nabila. Tambahan pula Zinnirah perlu dibawa ke klinik untuk pemeriksaan berkala menjelang hari-hari yang makin hampir. Mereka bermalam di rumah pusaka Tok Wan. Sepanjang mereka bermalam di situ, Nabila tidak pernah berenggang dengan kakak iparnya. Tidak sabar-sabar mahu menimang anak buah.

Jumaat. Nabil membawa Zinnirah dan Nabila ke Kuala Lumpur. Zinnirah perlu ke Hospital Tawakal di Jalan Pahang untuk menempah bilik sebelum tiba hari bersalin nanti. Meski Nabil sendiri seorang doktor, usianya yang baru menjejak 27 tahun menjadikan dia gementar tambahan lagi itu adalah anak sulungnya. Mereka bertolak awal ke pusat bandar. Temujanji dengan Puan Anisah, doktor senior Nabil untuk pemeriksaan Zinnirah bermula jam tiga petang. Tidak sempat sekiranya solat Jumaat di rumah dan bergegas ke Kuala Lumpur. Lantas Nabil berkira-kira mahu menunaikan solat Jumaatnya di Masjid Asy-Syakirin berdekatan taman KLCC. Mungkin Nabila mahu membeli belah sementara menunggu dia usai solat, walau dia tahu Nabila tidak gemar sangat ke Suria KLCC.

Jam satu petang, Nabil, Zinnirah dan Nabila tiba di pekarangan Masjid Asy-Syakirin. Bingit telinga mereka mendengar bunyi gema dari jauh. Jemaah masjid yang baru tiba juga berkerut-kerut dahi menjelaskan rasa tidak senang dengan bunyi-bunyian itu. Nabila pantas mengingati poster konsert Akademi Setan-sia yang dilihatnya beberapa hari yang lalu. Astaghfirullah. Nabila hanya mampu beristighfar sambil memimpin Zinnirah ke ruang masjid untuk muslimah. Beberapa jemaah tunduk menghormati Nabila dan Zinnirah. Daripada membuang masa di kompleks membeli belah, lebih baik Nabila berehat menemani Zinnirah sementara menunggu Nabil selesai solat. Dari ruang muslimah, Nabila mencuri pandang ke ruang solat lelaki. Satu, dua, tiga, empat saf sahaja? Ke mana pergi lagi lelaki-lelaki lain? Empat saf bermakna mungkin dalam 50 ke 60 orang makmum sahaja. Sekadar cukup syarat untuk menunaikan solat Jumaat sahaja.

Bunyi alat-alatan muzik dan suara penyanyi memenuhi suasana masjid.

Allahu akhbar allahu akhbar…

Aku cintakan kamu, kerana keayuan wajahmu…

Allahu akhbar allahu akhbar..

Kenapa kau tidak mahu memahami hati ini

Ashhadu anlaaila.. KENAPA KAMU!!! Ha illallah..

Tersekat-sekat bilal mengalunkan azan. Berselang-seli suara bilal memanggil umat menunaikan kewajipan kepadaNya dengan suara penyanyi nombor entah ke berapa dalam Malaysia itu menyanyikan lagu paling popular tahun ini dengan suara serak-serak basahnya. Allahu. Sedarkanlah umatMu ya Allah. Kudus permintaan Nabila dari sudut hatinya.

Azan kedua juga masih diiringi dengan lagu-lagu rancak dari konsert Akademi Setan-sia. Nabila tidak henti-henti berdoa moga pihak penganjur atau sesiapa sahaja dari konsert itu menyedari bahawasanya solat Jumaat sedang berlangsung. Sekurang-kurangnya menghormati waktu solat. Khutbah juga disampaikan dalam tenggelam timbul suara gemersik penyanyi wanita. Nabila membayangkan pemuda-pemudi sedang rancak bertepuk sorak menari lelaki perempuan tanpa menyedari bahawasanya malaikat Atid sibuk seolah tidak cukup tangan sedang menulis catatan di bahu kiri dan betapa malaikat Raqib tidak mempunyai pekerjaan untuk dilaksanakan.

Saat imam menyebut ‘ittaqillah’ dalam khutbah yang disampaikan, masjid bergegar. Kipas tegak di tepi dinding terbalik menyambah lantai. Dinding masjid dan lantai beralun mengikut rentak bumi. Jishin! Subhanallah, Nabila memaut bahu Zinnirah yang sedang mengucap tidak henti. Imam tergamam, memberhentikan khutbah. Jemaah yang hadir pinga-pinga. Nabila membuat perkiraan, tidak kuat gegarannya. Mungkin kesan gegaran gempa bumi di Sumatera. Dalam 3 skala Richter sahaja barangkali. Gegaran tamat. Nabila tarik nafas, menggosok-gosok bahu Zinnirah yang kepucatan namun lidah tidak lekang dengan zikir kepadaNya.

BANG!!! Bunyi dentuman entah dari mana. Allahu akhbar!

Nabila bingkas bangun. Meninggalkan Zinnirah. Jemaah sudah mula berkumpul di pekarangan masjid. Bala apa pula kali ini. Nampaknya bukan sekadar gempa bumi sahaja. Ya Allah, terlintas prasangka buruk di hati Nabila. Pantas menyarung kasut, berlari ke arah medan taman KLCC. Minta dijauhkan firasatnya kali ini. Biarlah ia sekadar firasatnya sahaja. Sekeliling Nabila, manusia baru pulih dari kejutan gegaran tadi. Ada yang sedang membantu sesama sendiri, dan ada sekumpulan lelaki berkemeja-mungkin dalam perjalanan ke masjid. Semakin dekat Nabila dengan taman KLCC, semakin kuat bau busuk itu. Nabila terus berlari. Dan berlari. Tersungkur kerana terpijak kain baju kurungnya sendiri, bangun lagi dan berlari. Sambil hatinya berdoa minta dijauhkan dari segala malapetaka.

Ya Allah, kuatnya bau busuk ini. Apakah ia ya Rabbi? Beberapa orang berlari menjauhi pentas konsert. Dalam keadaan histeria seolah melihat sesuatu yang sangat menakutkan. Nabila lari lagi, makin laju langkahnya. Dan di hadapannya, kelihatan seperti sebuah pentas konsert-atau mungkin pernah menjadi sebuah pentas konsert. Terbelah dua. Bumi terbelah dua, rekahan bermula dari pentas konsert menganjur ke tengah-tengah bangunan berkembar Petronas. Maha Suci Allah yang Memiliki alam ini!

Nabila kaget. Penonton entah di mana. Beribu-ribu penonton yang menghadiri konsert hari ini lesap tanpa sebarang bukti. Bau busuk yang keluar dari perut bumi menyesak-nyesak hidung Nabila. Nabila terduduk. Dan dilihatnya tangan seorang tergapai-gapai dari tebing rekahan bumi, meminta untuk diselamatkan. Hampir separuh badannya sudah berada di atas permukaan. Nabila bergegas ingin membantu dan… zapp!! Bagai disentap sesuatu dari perut bumi, lelaki yang terkapai-kapai itu hilang ditelan bumi. Nabila berlari ingin mencapai tangannya, namun di paut dari belakang, dihalang oleh Nabil. Nabil menggelengkan kepala tanda tidak perlu masuk campur dengan urusan al-Malik. Zinnirah memaut bahu kiri, dan Nabil di bahu kanan Nabila. Nabila terduduk kembali, menangis teresak-esak. Terngiang-ngiang kalimah Allah di telinga Nabila.

(keadaan mereka) serupa dengan keadaan Fir'aun dan pengikut-pengikutnya serta orang-orang yang sebelumnya. Mereka mendustakan ayat-ayat Tuhannya maka Kami membinasakan mereka disebabkan dosa-dosanya dan Kami tenggelamkan Fir'aun dan pengikut-pengikutnya; dan kesemuanya adalah orang-orang yang zalim. [al-Anfaal:54]


*Kerana saya berasal dari Kelantan, persekitaran negeri Sembilan sehingga ke Tobek Godang, saya adaptasikan dari novel Mencari Locus Standi (Nisah Haron).


3 Comments:

Blogger apunpital said...

uik..yang kotoba nihonggo tuh..walau secubit pon better letak glosari.. kat end of story..kan.

4:53 PM  
Blogger tokkura said...

kpd apun,
terima kasih atas komen anda.lainkali saya akan lebih berhati-hati.(^_^)v

9:22 PM  
Anonymous Anonymous said...

alhamdulillah sekurangnya masih ada penulis yg mahu menulis cerpen seperti ini.. tahniah kepada anda..

12:57 PM  

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home