Bicara kalam...

Wahai Muhammad!Kobarkanlah semangat para mukmin untuk berperang. Jika ada 20 orang yang sabar di antara kamu, nescaya mereka dapat mengalahkan 200 orang musuh. Dan jika ada 100 orang yang sabar di antara kamu, nescaya mereka dapat mengalahkan 1000 orang kafir, kerana orang-orang kafir itu adalah kaum yang tidak mengerti. Al-Anfal:65

My Photo
Name:
Location: Shah Alam, Selangor, Malaysia

Dilahirkan di Pasir Mas, Kelantan, menamatkan ijazah sarjana muda di Saitama University dan ijazah sarjana di Shibaura Institute of Technology dalam Kejuruteraan Mekanikal. Bertugas sebagai pensyarah Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, UiTM Shah Alam. Sebarang ambilan dari blog ini, diharap dengan kebenaran. Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku hanya untuk Allah, tuhan semesta alam.

Monday, February 25, 2008

Tentang penat, debu dan Ume




Bukan satu perkara yang menggembirakan apabila kamu pulang dengan diri yang kepenatan teramat sehinggakan perjalanan satu jam menggunakan Shonan Shinjuku Line diisi dengan hanya tidur terlentok-lentok, disambut dengan melihat rumah yang dipenuhi debu di mana-mana sahaja. Saya benar-benar maksudkan dengan ayat DEBU di MANA-MANA sahaja di dalam rumah - di lantai, pinggan mangkuk di sejatan, di microwave, di permaidani, di meja dan di mana-mana. Niat untuk membiarkan rumah saya mendapat udara luar, saya membuka tingkap dapur dan keluar bermalam di rumah teman untuk suatu urusan untuk hanya pulang melihat setiap inci rumah dipenuhi debu. Angin kuat 8 [m/s] yang melanda kawasan Saitama prefecture 2 hari sewaktu ketiadaan saya telah menerbangkan debu-debu daripada padang besbol di hadapan rumah.

Setiap inci tulang sendi yang penat, terpaksa dikerahkan untuk membersihkan rumah yang dipenuhi debu. Seluruh lantai rumah dilap, permaidani di dapur perlu dianginkan, semua pinggan mangkuk perlu dibasuh untuk kali kedua, setiap satu alatan eletrik perlu dilap, bahkan saya masih perlu membersihkan botol sabun basuh, cecair pelembut, krim mandian, syampu, dan SEGALA-GALANYA. Saya kepenatan. Teramat.

Hari ini saya ke Kome-ken dengan tiada semangat untuk berbuat apa-apa. Bahkan saya sekadar datang dan menulis di laman ini, dan chatting dengan Apun, Dayatz dan Zahratulhilal sahaja. Mungkin selepas ini saya akan lebih bersemangat.

Owhh... suhu sekarang sudah mencapai 12 ke 13 darjah selsius. Di beberapa kawasan kuntum-kuntum ume sudah mula berkembang. Menandakan musim bunga sudah menjelang.

*Selamat menyambut ulangtahun ke 25 untuk ummu Zubair semalam, 24 Februari 2008.

**Jika sixth sense saya benar, mungkin 'cerita' semalam adalah jawapan kepada soalan itu.


Thursday, February 14, 2008

Taman Izrail

Uh! Apa al-Quds itu taman bunga

Mekarnya dandelion hanya untuk
berterbangan bunga-bungaannya
dari putih melur hanya untuk
disimbah pekat merah darah syuhada
Sungguh bukan taman bunga
buat mawar merah mekar,
Izrail tukang kebunnya.

Dalam tangis kosmos kecil berputik
demi menatap sang matahari rebah, membela
sebuah taman hidup
yang dahulu dipuja semesta
yang kini dilupa sesiapa.

Hujan rintik, mungkin bertukar rupa
alam tidak selalunya mesra
ribut salji taufan menggila.
Peringatan,
buat manusia yang kerap lupa usul
buat kelopak yang kadang lupa waktu gugurnya.

Ada taman indah menanti, di sana
istimewa buat sang dandelion yang berterbangan bungaannya.


tokkura
*karya belum diedit, maaf jika kelihatan huru-hara.


Tuesday, February 12, 2008

Life is too short

"Life is too short to wake up with regrets." Tulis seorang teman saya di laman peribadinya dengan sekeping gambar berduaan dengan pakwe, berpegangan tangan - tidak menutup aurat. Sambungan tulisannya, "So love the people who treat you right." Ya, saya tidak pernah menafikan, hidup terlalu singkat untuk suatu hari nanti tersedar dalam penyesalan. Kepada yang bercinta, berkasih-kasihan, doa saya moga kalian selamat ke jinjang pelamin.

Maaf, saya sedang menulis dengan emosi, bukan dengan rasional. Mungkin anda akan berkata saya pesimis kepada yang sedang bercinta, saya ketinggalan, dan sebagainya, terpulang. Saya serahkan pada penilaian anda. Dalam rasional saya akan berkata, saya tidak menghalang sesiapa yang sedang bercinta, tidak pula saya paksa kalian untuk putuskan hubungan.

Dalam emosi, saya pohon pada kalian - jangan siakan hidup yang terlalu pendek ini!

Ramai yang tidak mengerti mungkin, yang mengenali pasti memahami. "Life is too short to wake up with regrets. So love Allah, serve Allah, do the best for Allah coz only Allah treat you right."

Sudah beberapa kali saya tulis di laman Bicara Kalam... , dosa lampau akan mengejar manusia selama-lamanya. Sepertinya saya yang tidak mampu untuk melangkah jauh, hanya kerana dosa-dosa yang tidak mampu saya padam. Jika diberi pilihan, ingin sekali memadamkan sebahagian daripada ingatan saya. Kadang saya penat dilabel sebagai 'akhowat'. Perasaannya seperti anda sedang berbuat baik, akan berbuat baik, tiada yang lain daripada yang baik hanya kerana anda dilabel baik (mengeluh).

Tidak pula saya ingin mengatakan saya sudah maksum sekarang ini, sekadar mahu pengunjung laman ini tidak mengulangi kesalahan-kesalahan yang pernah saya buat kerana saya pernah tidak mengerti apa tujuan penciptaan manusia itu. Usia manusia terlalu pendek untuk perkara selain Allah.

Afwan, saya terlalu emosional. Maaf kepada pengunjung yang berkecil hati. Sungguh, saya tidak berniat begitu. Tiga kuntum mawar daripada tokkura sebagai tanda maaf, dan sebagai tanda 'tokkura sayang kamu'.




Salam ukhuwah dari tokkura.
Moga kita sentiasa dalam redha dan kasih sayang Allah.



Friday, February 08, 2008

Mendengar bau durian

Artikel ini saya petik dari laman Majlis Syura Muslimun (MSM) North West.

MENDENGAR bau durian

5 02 2008

durian.jpg

“ Johnson, marilah ke kebun atukku petang ni. Kita makan durian sama-sama”, kata Jue.

“Boleh juga, aku pun suka durian..dah lama tak makan”. Balas Johnson, teman Jue dari Leeds yang datang bercuti di Kelantan.

Pada petang itu, dua orang sahabat ini berjalan dengan riang ke kebun durian milik atuk Jue. Di sana mereka berborak, mengenang kembali kisah mereka ketika di University of Leeds suatu ketika dahulu. Tiba-tiba, Johnson mengeluh kepada Jue:

“ Jue, aku ada masalah la. Sejak di Kelantan ini, aku lihat semua orang begitu asyik dengan agama Islam. Sangat senang hatiku melihat mereka. Tetapi hatiku masih tidak dapat menerima kewujudan tuhan. Sebab aku tak boleh nampak ‘dia’ dan tidak pernah jumpa kalau aku mencarinya”, kata Jonhson kepada Jue.

“Eh Johnson, kau dengar tak bau durian tu?”, tanya Jue.

“Isk kau ni, aku tanya betul-betul ni. Kau tukar topic pula. Serius ni”, balas Johnson

“Betul la. kau ada dengar tak bau durian ni? Cuba ko dengar betul-betul bau durian ini”. Kata Jue sambil menangkat-angkat durian itu dan di depan muka Johnson.

“Isk dia ni. Gila ke? Mana boleh dengar bau durian. menghidu bau durian boleh la”, balas Johnson, cuba menunjukkan kehebatannya dalam Bahasa Melayu.

“Sebab apa tak boleh dengar bau durian, Johnson?”, tanya Jue dengan nada serius.

“Sebab kau salah guna deria. Telinga untuk mendengar bunyi. Hidung untuk menghidu bau. Ni bila nak jawab soalan aku ni?”, balas Johnson.

“Aku baru sahaja selesai menjawab soalan kau, sahabatku. Begitulah juga dengan pencarian tuhan. Jika tidak menggunakan deria yang betul, manakan mungkin kita jumpa Dia. Dengan apakah kamu mencari tuhan itu. Dengan akal? Mata? Telinga? Hidung? Tidak, Johnson. Kamu tidak akan menjumpai tuhan dengan pancaindera yang aku sebutkan tadi. Sebagaimana mustahilnya engkau mendengar bau durian dengan telinga, seperti itulah juga mustahilnya kau menjumpai Tuhan dengan akal semata-mata. Kerana tuhan hanya boleh dijumpai di hati…ingat itu..hati..”, balas Jue.

Kisah di atas bukan ditujukan semata-mata untuk orang-orang yang bukan Islam. Bahkan adalah lebih penting bagi kita, untuk melihat kepada diri kita sendiri sebagai seorang Muslim. Sejauh manakah kita telah menjumpai Allah dengan hati kita?

Jika benar kita telah menjumpai Allah, maka apakah tindakan kita selanjutnya? Seperti mana seorang yang gemar pada durian, apabila dia berjaya menghidu bau durian dengan deria yang betul (hidung), dia pasti akan respond dengan mencari arah bau itu dan memakan durian itu. Tetapi, apakah respond diri kita apabila kita telah mengaku menjumpai Allah dengan deria yang betul, Hati? Adakah kita telah respond dengan melakukan apa yang diperintahkannya dan meninggalkan larangannya? Adakah hidup dan mati kita ditujukan semata-mata padaNya? Ini kerana, apabila seorang manusia telah mengesan sesuatu dengan deria yang betul, sudah pasti dia akan respond dengan respond yang yang sewajarnya. Adalah mustahil bagi seorang yang sangat gemar pada durian melarikan diri dari bau durian apabila dia menghidunya.

Jadi saudara-saudari, sudahkah kita menggunakan ‘deria’ kita?

Pejai@Leeds


Satu peringatan untuk saya. Juga pengunjung 'Bicara Kalam...'.



Saturday, February 02, 2008

Ainul Mardhiah

Lagu Ainul Mardhiah dendangan UNIC sedang berkumandang dari speaker komputer. Lantas teringat kata-kata adik lelaki saya baru-baru ini apabila saya bertanya, 'sudah ada yang tersangkutkah di kampus sana?'. Jawab adik saya dalam ketawa kecil ;

"Susah nak cari perempuan yang bagus, berkenan di hati. Lagipun tak minat couple couple ni. Mahu Ainul Mardhiah, tapi tak padanlah pula dengan diri. Nak jihad mata pun dah semakin susah sekarang ni. Banyak sangat yang open, sampai dah biasa. Apa lagi jihad yang lain untuk hantaran Ainul Mardhiah. Mahal..."

Oowh, sejuk hati saya mendengar. Tidak pula saya mempromosi adik lelaki saya di laman ini, sila jangan salah faham ye. Ha ha.

Ainul Mardhiah (mata yang diredhai), bidadari tercantik di syurga - hadiah buat seorang lelaki yang berjihad di jalan Allah. Dalam dunia kini (Malaysia/Jepun), masih adakah yang mampu berjihad sepenuh hatinya? Dengan pelbagai mehnah dan fitnah, sekadar menjaga mata sahaja sudah memerlukan semangat jihad yang maha hebat. Kadang-kadang saya tumpang simpati dengan kaum Adam. Tumpang simpati dengan adik-adik lelaki saya.

Ramai kaum Hawa cuba menegakkan persamaan dengan Adam di dunia ini. Tidak mahu diri ditindas dan dipandang lemah. Sedang tanpa disedari, bukan Adam yang mengeksploitasi Hawa bahkan Hawa dengan rela sudi mengeksploitasi diri sendiri. Maka salah siapa sekiranya berlaku banyak kes-kes yang tidak enak menjadi halwa telinga? Kucing yang lapar, kalau diacah dengan ikan (atau dibiarkan ikan itu terdedah) pastinya akan menerkam. Persamaan itu tidak pernah wujud kerana Hawa memang sentiasa dipandang tinggi dalam Islam - setinggi-tinggi suami, syurganya juga terletak di kaki ibu. Dan persamaan hak yang dituntut wanita zaman sekarang lebih merujuk kepada menjatuhkan taraf hidup sendiri. Sekadar pendapat.

Kemungkaran (baca;maksiat) itu banyak berlaku dalam hidup seharian kita. Sehingga sampai satu masa, kita sudah tidak merasakan itu adalah satu kemungkaran. Jiwa kita sudah tidak sensitif lagi dengan perkara yang salah. Sama seperti saya yang suatu waktu dahulu memberi sokongan pada sahabat yang berpakaian vogue dengan ayat; "kalau tak pakai tudung lagi cun kot". So how? Kerana sudah biasa melihat kemungkaran itu, saya diluar sedar membenarkan ia berlaku. Seharusnya saya merasa benci dengan kemungkaran sebegitu. 'Jiwa yang beriman itu peka dan sensitif - satu tajuk kecil dari al-Munthalaq tulisan Muhammad Ahmad ar-Rashid'. Sekiranya anda tidak sensitif dengan kemungkaran yang berlaku di sekeliling anda, tanya kembali fatwa iman pada hati anda. Sama juga kepada diri saya.

Coretan pendek sambil menanti sahabat saya tiba. Minggu ini saya ada tetamu (sebenarnya setiap minggu juga saya ada tetamu).

(Dark angel - blue rose)

**Jika lelaki dianugerahkan biadadari syurga - Ainul Mardhiah, kalau perempuan ada bidadara ke? Kalau ada pramugari, biasanya ada pramugara. Siapa nama bidadara untuk perempuan? Ha ha. Untuk anda fikir-fikirkan di hujung minggu ini.