Ibu bapa kurang ajar!
Saya cemburu dengan pelajar zaman sekarang. Sedikit terkesan dengan berita - 22 murid ditampar guru besar. Anak dipukul, laju saja ibu bapa membuat laporan polis. Mungkin guru besar itu sudah melampau, tetapi yang pasti jika saya yang ditampar atau dirotan, memang tak akan sekali-kali mengadu kepada ma dan abah!
Rasanya ibu bapa memang terlampau bersifat melindungi anak masing-masing sekarang ini. Kesannya anak-anak menjadi manja dan besar kepala. Maklumlah, guru tidak berkuasa untuk menghukum mereka. Apabila anak dihukum, pihak guru disalahkan. Tetapi kalau anak mereka menjadi seorang yang tidak berguna suatu hari nanti, guru juga disalahkan. Hukum salah, tak hukum pun salah, malangnya nasib guru. Memang patut digubal undang-undang menghalang campur tangan ibubapa yang busy body ni. Halang ibu bapa ganggu hukuman.
Kepada mereka yang bergelar ibu bapa, harap jangan terasa hati dengan tajuk entri kali ini. Cuma saya merasakan ibu bapa semakin melampau kebelakangan ini. Daripada pengalaman hidup saya yang sedikit ini, kemanjaan boleh memusnahkan masa depan anak anda. Sahabat saya yang kebanyakannya dimanjakan oleh ibu bapa, berakhir dengan menjadi seorang dewasa yang gagal membuat keputusan sendiri. Kurang mampu berdikari berbanding dengan mereka yang tidak ditatang oleh ibu bapa. Anda lebih memahami peribadi anak-anak anda. Tepuk dada, tanya akal.
Pada pelajar-pelajar, jangan rasa sendiri sudah cukup dewasa dan sudah besar. Guru-guru anda juga pernah menjadi pelajar suatu waktu dahulu. Malah mungkin lagi nakal daripada anda. Berani buat salah, beranilah mengaku, beranilah menerima hukuman. Kalaupun anda tidak bersalah tetapi menerima hukuman kerana sahabat anda tidak mahu mengaku, yang salah adalah sahabat anda itu. Walaupun kami di sekolah dulu sanggup dirotan bersama-sama, janji rahsia tidak pecah. Sahabat lebih penting dari guru. Ha ha.
Teman-teman sepersekolahan saya, saya rindu kalian!!